Now Reading
Wira & Manja Jadi Maskot Bagi Visit Malaysia 2026, Ini Info Tentang Beruang Matahari

Wira & Manja Jadi Maskot Bagi Visit Malaysia 2026, Ini Info Tentang Beruang Matahari

Kedua-dua maskot beruang matahari bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 itu menggayakan kain batik dengan corak dan warna yang mewakili lima komuniti utama di Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, Tourism Malaysia telah memperkenalkan maskot beruang matahari bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Maskot sepasang beruang matahari dengan gelaran Wira (jantan) dan Manja (betina) itu telah memenangi hati ramai dengan rupanya yang comel.

Wira dan Manja telah dipilih sebagai maskot bagi mencerminkan komitmen negara terhadap pemuliharaan kehidupan liar, apatah lagi apabila beruang matahari Malaya merupakan sejenis spesies terancam.

Melihat kepada maskot yang diperkenalkan itu, Wira menggantungkan selendang batik di lehernya, manakala Manja pula menggayakan selempang batik dan reben dengan corak sama pada telinga kirinya.

Corak Batik Mewakili Komuniti Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak

Apa yang lebih menariknya, corak dan warna batik yang digayakan oleh kedua-dua beruang tersebut dipilih dengan teliti bagi mewakili lima komuniti utama di Malaysia yakni Melayu, Cina, India, serta masyarakat Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, tulisan ‘Malaysia’ pada logo Visit Malaysia 2026 pula diinspirasikan daripada ukiran kayu tradisional yang turut mengetengahkan bunga kebangsaan negara, bunga raya.

Malah, tagline popular ‘Truly Asia’ yang diperkenalkan pada tahun 1999 dikekalkan, namun mempunyai sedikit perubahan pada coraknya.

Difahamkan bahawa pakaian seragam khas Visit Malaysia 2026 akan turut digunakan oleh tiga syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air.

Orang Ramai Teruja Dengan Wira & Manja, Siap Minta ‘Merchandise’

Pengenalan maskot beruang matahari itu sememangnya mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum. Memang cute!

Terdapat beberapa pengguna media sosial yang sudah bertanyakan tentang produk seperti patung, topi, reben batik dan rantai kunci yang memaparkan pasangan tersebut.

Ada juga yang mencadangkan Tourism Malaysia agar memperkenalkan figura ‘blind box’ bagi maskot beruang matahari itu. Malah, beberapa individu turut menunjukkan kreativiti mereka dengan melukis semula Wira dan Manja sebagai tanda sokongan.

Sebelum ini, maskot Tourism Malaysia bagi tahun 2020 ialah seekor burung enggang. Lain-lain maskot termasuklah monyet belanda bagi tahun 2014 dan orang utan juga bernama Wira pada 1990.

Beruang Matahari Unik Di Kawasan Asia Tenggara Termasuk Malaysia

Untuk info, beruang matahari juga dikenali sebagai beruang madu kerana amat gemarkan manisan itu.

Merupakan spesies beruang yang paling kecil di dunia, beruang matahari juga adalah yang paling jarang ditemui berbanding mana-mana saudaranya dan unik di kawasan Asia Tenggara.

Beruang matahari mudah dikenal pasti menerusi bentuk seperti alas dada (bib) berwarna emas atau tompok putih pada dadanya.

Seperti lain-lain hidupan liar tempatan, spesies beruang ini berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk kehilangan habitat dan pemburuan haram bagi perubatan tradisional serta untuk dimakan.

Malah, ada juga yang disimpan secara haram sebagai haiwan peliharaan kerana rupanya yang comel.

Sumber gambar: Fail TRP

Beruang Matahari Bersifat Ganas Apabila Diancam

Walaupun beruang matahari kelihatan comel sebagai maskot, namun ia tidak seharusnya didekati, apatah lagi yang bebas berada di dalam hutan.

Jangan terkejut, tetapi beruang matahari boleh membunuh apabila berasa terancam. Pada September 2024, seorang lelaki maut di Gua Musang, Kelantan akibat kecederaan yang dialami apabila diserang beruang tersebut.

Namun jika anda berminat untuk mempelajari tentang mahkhluk yang comel itu dengan selamat, bolehlah melawat ke kandang beruang matahari di Zoo Negara, Kuala Lumpur.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd