Video Sekumpulan Remaja Berbasikal Waktu Malam Tahun Baharu Raih 2 Juta Tontonan
Menurut individu yang memuat naik video menyaksikan sekumpulan remaja berbasikal itu, situasi tersebut berlaku di Kuantan, Pahang pada malam ambang tahun baharu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Rata-rata masyarakat dunia telah bersama-sama menyambut ambang tahun baharu sempena menyambut kedatangan 2025.
Mungkin ada yang memilih untuk duduk di rumah sahaja dan meluangkan masa bersama keluarga, namun ramai juga yang berkunjung ke perayaan demi menyaksikan persembahan bunga api.
Malah, remaja bawah umur juga tidak terlepas merayakan ambang tahun baharu bersama rakan-rakan karib mereka.
Remaja Di Kuantan Berbasikal Di Jalan Raya Pada Waktu Malam
Baru-baru ini, tular satu video TikTok menyaksikan sekumpulan individu dipercayai remaja bawah umur membawa basikal beramai-ramai di sekitar Kuantan, Pahang.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat mereka berbasikal melintas sebuah persimpangan empat di jalan raya pada waktu malam.
Malah, mereka dipercayai turut menunggu lampu isyarat bertukar menjadi hijau sebelum melintas jalan rata tersebut melihat kepada kenderaan dari arah lain yang sudah berhenti.
Pengguna TikTok yang memuat naik video tersebut dalam pada itu berpendapat bahawa ibu bapalah yang membentuk seorang anak menerusi didikan di rumah.
KLIK SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH.
Pengguna Media Sosial Berbeza Pendapat Melihat Remaja Berbasikal Pada Waktu Malam
Menjenguk ke ruangan komen, pengguna media sosial memberi reaksi yang berbeza berkenaan situasi tersebut. Ada yang mempersoalkan bagaimanakah ibu bapa boleh membiarkan anak-anak bawah umur di luar rumah pada waktu malam.
Namun, ada juga yang berasa gembira apabila melihat sekumpulan remaja itu bergembira dengan cara tersendiri sambil mencipta memori pada malam tahun baharu.
Dalam pada itu beberapa individu menjelaskan bahawa situasi tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi baru dikongsikan kepada umum dengan kewujudan teknologi masa kini.
Baca Artikel Berkaitan: Sam Ke Ting Bebas Dari Tuduhan, Ini Kronologi Penuh Tentang Kes Basikal Lajak
21 Remaja Berbasikal Di Kuala Lumpur Pada Malam Tahun Baharu Didenda
Situasi sedemikian sebenarnya turut berlaku di ibu kota negara apabila 21 remaja bawah umur didenda oleh pihak polis kerana menunggang basikal secara berbahaya dan tidak mengikut peraturan.
Berdasarkan laporan Awani, mereka telah ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur sempena operasi Ambang Tahun Baharu 2025.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, remaja yang terlibat adalah dalam lingkungan umur 14 hingga 17 tahun.
Tambahnya, mereka dikesan melakukan kesalahan berkaitan menunggang basikal termasuk menggunakan basikal yang tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara bersaing serta membahayakan.
Remaja Didenda Ketuk Ketampi Secara Sukarela
Remaja berkenaan sebenarnya boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 serta basikal boleh disita di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Namun apa yang menariknya, kesemua remaja tersebut tidaklah dikenakan tindakan undang-undang, sebaliknya didenda dengan melakukan ketuk ketampi.
“Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JSPT bersama seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit dengan memberi denda ketuk ketampi secara sukarela.
“Mereka seterusnya bersalaman dan meminta maaf kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya itu. Kumpulan remaja itu kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal tersebut dan terus pulang ke rumah masing-masing,” kata Zamzuri dipetik Awani.
Baca Artikel Berkaitan: Aksi Superman Bawa Padah, 3 Remaja Perempuan Dicekup
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Geng Basikal Kayuh Di Tengah Lebuh Raya Undang Kecaman
Baca Artikel Berkaitan: Tular ‘Cyclist’ Bawa Basikal Naik MRT, Boleh Atau Tidak Sebenarnya?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.