Polis Tahan Individu Bakar Motosikal & Tak Bayar Pinjaman Selama 20 Bulan
Kes wanita membakar motosikal miliknya itu berlaku di Jalan Masjid, Pokok Assam di Taiping.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui setiap hutang perlulah dibayar semula. Jika membuat sesuatu pinjaman, adalah tanggungjawab anda untuk melunaskannya dalam tempoh masa ditetapkan.
Pun begitu, segelintir individu gagal melakukan perkara tersebut malah menimbulkan kekecohan selepas pihak peminjam ingin menarik semula aset berkenaan.
Seperti sebelum ini, seorang wanita telah bertindak memecahkan cermin kereta gara-gara tidak puas hati kenderaannya ditarik. Dia juga berkata kepada ejen penarik kereta bahawa aksi merosakkan kenderaan itu dianggap bukan satu kesalahan.
Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Wanita Pecahkan Cermin Kereta Gara-Gara Bengang Kereta Kena Tarik Undang Pelbagai Reaksi [Video]
Wanita Bakar Motosikalnya Di Khalayak Ramai
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook Aiman Tak Kesah menyaksikan situasi yang kecoh melibatkan orang awam sekitar Jalan Masjid, Pokok Assam di Taiping.
Menerusi video tular, kelihatan seorang wanita sedang mencurahkan sebotol cecair dipercayai petrol pada motosikal miliknya. Tidak lama selepas itu, dia kemudian membakar kenderaan berkenaan walaupun dengan keberadaan orang ramai di sekeliling kawasan tersebut.
Kelihatan motosikal terbabit rentung dijilat api marak. Difahamkan, aksi itu dilakukan kerana pemilik motosikal tidak berpuas hati kenderaannya ditarik oleh pihak berkaitan.
Pemilik Motosikal Tak Bayar Pinjaman Selama 20 Bulan
Menurut lelaki dikenali sebagai Aiman, pemilik kenderaan dua roda itu sudah tidak membayar pinjaman selama 20 bulan. Hal ini menyebabkan syarikat pinjaman berlesen, JCL Credit Leasing perlu menarik motosikal milik wanita itu.
“Ini bukan cerdik. Ini kerja b*odoh nama dia. Habis motor rentung terus,” kata lelaki yang berada di lokasi kejadian.
Walaupun dalam keadaan kelam kabut, si pemilik motosikal kelihatan tenang selepas melakukan aksi berkenaan sambil mengangkat tangannya dan berkata, “Saya yang bakar.”
Ramai Bengang Dengan Aksi Berbahaya Oleh Pemilik Motosikal
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai dilihat berang dan tidak berpuas hati dengan tindakan melulu pemilik motosikal.
“Entahlah. Pelik-pelik sangat cara pemikiran sesetengah orang ni. Makan apa tak tahulah jadi huru-hara sangat. Ikut rasa binasa, ikut hati mati,” kata seorang wanita.
Malah, ramai juga berkata aksi tersebut hanya membawa padah dan tidak menyelesaikan sebarang masalah.
“Dia ingat selesai masalah kalau bakar. Lagi dapat masalah dekat diri dia. Dengan bangganya angkat tangan. Tu dia rasa dia hebat,” ujar seorang pengguna Facebook.






Wanita Bakar Motosikal Ditahan Polis
Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan wanita terbabit susulan video tular yang memaparkannya sedang membakar motosikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, pada jam 7.30 petang semalam (26 Disember) polis berjaya menahan wanita yang berusia lingkungan 40-an itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 (khianat dengan api) Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman 14 tahun penjara atau denda.
“Terdahulu pada jam 4.27 petang polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kenderaan berhubung tindakan seorang wanita membakar sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.
“Susulan laporan itu polis berjaya menahan wanita berkenaan dan motif kejadian berpunca dari tangkapan yang tidak berpuas hati apabila motosikal itu mahu ditarik.
“Difahamkan bayaran bulanan motosikal berkenaan tertunggak selama lebih 20 bulan dan motosikal itu dibeli atas nama anaknya,” kata Mohamad Nasir, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan dan proses reman akan dibuat pada pagi ini.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Wanita Tak Puas Hati Kereta Ditarik, Polis Cari 3 Lelaki Angkat Pagar & Ceroboh Masuk Dalam Rumah [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Macam Mana Kena Lelong Kalau Dekat Tangan Saya?” – Pengasas Choii Tampil Perjelas Isu Kereta Ditarik [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram