Polis Sahkan Terima Satu Lagi Laporan Penemuan Bangkai Kucing Di UM
Semalam (25 Disember), bangkai seekor kucing telah ditemui di Pusat Sukan Universiti Malaya, manakala bangkai anjing ditemui di satu perhentian bas di luar Kolej Kediaman ke-9.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penemuan beberapa bangkai kucing di sekitar kampus Universiti Malaya (UM) dalam keadaan kaki terpotong menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai.
Pihak polis sebelum ini mengesahkan dua ekor kucing yang ditemui mati telah menjadi mangsa serangan anjing liar.
Namun begitu, laporan perubatan yang disediakan oleh pihak veterinar swasta mendedahkan bahawa tubuh badan salah seekor kucing bernama Lily (dikatakan mangsa kelima) telah dipotong menggunakan senjata yang tajam.
Situasi yang berlaku menyebabkan sekumpulan sukarelawan dan para pelajar telah menyelamatkan 22 kucing jalanan di sekitar UM demi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa seterusnya.
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan 2 Kucing Mati Di UM Diserang Anjing, Bukan Kerana Didera
Baca Artikel Berkaitan: “Tak Nampak Macam Kena Gigit Anjing” – 1 Lagi Kes Kucing Mati Tanpa Kaki Di UM Undang Perhatian
Bangkai Anjing & Kucing Ditemui Di UM
Dalam perkembangan terkini, polis semalam (25 Disember) mengesahkan menerima satu lagi laporan melibatkan penganiayaan haiwan di kampus sama.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, siasatan awal sedang dijalankan terhadap kes terbabit yang melibatkan penemuan bangkai seekor kucing dan anjing.
Laporan tersebut telah dibuat oleh Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) sejurus selepas menemukan bangkai kucing di sekitar Pusat Sukan institusi pengajian tinggi itu.
Melihat kepada gambar yang tular di media sosial, bangkai kucing tersebut tidak kehilangan kakinya seperti dalam kes lain. Namun kelihatan perutnya terbelah sehingga ususnya terburai.
Bangkai Kucing Diambil Oleh Polis Bagi Post Mortem
Menerusi satu kenyataan di Instagram, KMUM memaklumkan bangkai kucing tersebut telah diambil oleh pihak polis bagi tujuan post mortem.
Di samping itu, pihaknya turut memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Kesalamatan UM dan meminta agar kawalan masuk ke dalam kampus diperketatkan.
Tambahnya lagi, tiada CCTV yang dipasang di kawasan bangkai kucing itu ditemui.
Bangkai Anjing Didakwa Mangsa Kemalangan
Dalam masa sama, KMUM memaklumkan bangkai seekor anjing turut ditemui di satu hentian bas di luar kawasan Kolej Kediaman ke-9.
Aktivis haiwan Shima Aris bagaimanapun mendakwa haiwan tersebut merupakan mangsa kemalangan jalan raya dan tidak seharusnya dikaitkan dengan insiden pembunuhan kucing.
Pihak Polis Buka Kertas Siasatan Kes Kematian Kucing Di UM
Terdahulu, media pada Selasa (24 Disember) melaporkan pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes kematian kucing di UM itu.
Ini selepas Shima mendedahkan bahawa hasil pemeriksaan perubatan veterinar mendapati kucing-kucing tersebut dibunuh menggunakan senjata tajam.
“Polis membuka kertas siasatan berhubung kematian kucing dan kenyataan yang dikeluarkan seorang aktivis haiwan seperti yang dilaporkan dalam media,” kata Rusdi dipetik Awani.
Rusdi dalam pada itu memberi jaminan walaupun mangsa hanya membabitkan kucing, namun siasatan akan dijalankan secara terperinci dengan tindakan tegas akan diambil tanpa menyembunyikan fakta.
Shima Aris Beri Keterangan Di IPD Brickfields
Sehubungan itu, Shima telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini (26 Disember) bagi memberi keterangan berhubung isu kematian kucing di universiti terkenal itu.
“Anak guam saya memberi kerjasama dengan penuh dan menjawab semua soalan yang ditujukan kepadanya,” ujar peguamnya, Rajesh Nagarajan.
Menurut Rajesh, aktivis haiwan tersebut mengulangi dakwaan bahawa kaki kucing-kucing berkenaan dipotong dengan senjata tajam dan merupakan kes pembunuhan.
Dia turut meluahkan bahawa mereka gembira memandangkan pihak polis telah membuka semula siasatan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tindakan Sukarelawan & Pelajar Selamatkan Kucing Terbiar Di UM Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: Kelab Kucing Malaysia Mahu Siasatan Lebih Terperinci Selepas Polis Sahkan Kes Kematian Kucing Di UM Kerana Anjing Liar
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Kucing Di UM: Pensyarah Kongsi Gambar Dengan Si Bulus Raih Perhatian Ramai
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



