Now Reading
“Terima Kasih Bapak”- Anak Bangga Ada Ayah Sanggup Berniaga Jual Beg Untuk Masuk Universiti

“Terima Kasih Bapak”- Anak Bangga Ada Ayah Sanggup Berniaga Jual Beg Untuk Masuk Universiti

Menurut Sandra meskipun bapa hanya belajar sehingga peringkat sekolah atas disebabkan kesempitan hidup namun dia berjaya menyekolahkan anak sehingga ke peringkat universiti.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap anak yang berjaya di dunia ini adalah kerana usaha dan doa dari ibu bapa yang tidak pernah putus buat mereka.

Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan si anak dapat menimba ilmu sehingga ke menara gading dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Meskipun terpaksa berkorban namun ibu bapa tahu itu adalah tanggungjawab mereka yang sudah diamanahkan oleh tuhan.

Wanita luah bangga dengan bapa sanggup berniaga di jalanan untuk sekolahkan anak

Baru-baru ini, seorang wanita di Indonesia dikenali sebagai Sandra meluahkan rasa bangganya terhadap bapa yang sanggup mengusahakan perniagaan di jalanan demi memastikan dia dapat belajar ke peringkat universiti.

Menerusi carousel yang dimuat naik oleh Sandra di TikTok, awalnya dia menunjukkan gambar dirinya memakai jubah konvokesyen dan mengatakan terdapat cerita tersembunyi di sebalik foto tersebut.

Katanya di sebalik kejayaannya yang berjaya menamatkan pelajaran itu terdapat seorang bapa yang sanggup menjual tas tangan di jalanan untuk menyekolahkan anak-anaknya.

Ayah sifatkan dia individu paling kaya ketika melihat anak bergraduasi

Malah apa yang membuatkan dia lebih sebak apabila si ayah turut menitiskan air mata ketika hari konvokesyennya.

“Kayanya ayah yang paling miskin dari semua orang tua (ibu bapa) yang hadir di sini (majlis konvokesyen),” kata si ayah kepada anaknya.

Menurut Sandra lagi, meskipun bapa hanya belajar sehingga ke peringkat sekolah namun dia boleh menyara anak perempuannya sehingga ke peringkat sarjana.

“Bukan bapak tak nak sekolah, tapi dari kecil dah jadi yatim piatu dan harus berjuang untuk hidupnya.

“Bapak di Sumatera, aku (Sandra) belajar di Kalimantan. Disebabkan jualan adakalanya tidak laku, bapak akhirnya memutuskan untuk menukar kerja lain.

“Seminggu sebelum aku konvokesyen, bapa membuat panggilan video dan memaklumkan nak datang ke majlis konvo (walhal sebelum ini dia mengatakan tidak boleh kerana tiada wang). Rupanya bapak datang sekali untuk cari kerja di Kalimantan,” kata Sandra.

Bapa siap pakai sut lengkap ketika majlis konvokesyen anak

Sandra turut berkongsi beberapa foto bapanya ketika ingin datang ke Kalimantan dan mengakui terpaksa meminjam wang dari orang lain untuk perjalanan tersebut.

Sewaktu di majlis konvokesyen kelihatan si bapa segak memakai sut lengkap berwarna hitam.

Malah dia turut memesan kepada Sandra untuk mereka bersama-sama semangat mencari kerja agar boleh menyara adiknya pula sehingga ke peringkat universiti.

“Terima kasih bapak ku yang hebat dah berjuang untuk hidup mu dan hidup kami anak-anakmu. Bahkan diumur mu yang sudah tua masih semangat mencari kerja demi mengubah kehidupan kita.

“Semoga bapak cepat dapat pekerjaan di tanah Kalimantan ini.”

Di ruang kapsyen, Sandra turut mengatakan satu dunia perlu mengetahui bapanya seorang yang hebat.

Ramai puji bapa Sandra kerana sanggup lakukan apa sahaja untuk keluarga

Melihat di ruangan komen, ramai yang memuji si bapa kerana sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan anak-anaknya ilmu pengetahuan.

Tidak kurang juga ada yang mengatakan mereka bangga dengan Sandra yang sangat menghargai jasa orang tuanya.

Malah ada yang memuji bapa Sandra mempunyai rupa paras yang elok dan boleh dijadikan sebagai model produk.

“Bangga dengan kamu”

“Superhero (bapa) kita. Bila besar baru faham apa itu kasih sayang seorang ayah. Semoga pakcik sihat selalu ya.”

“Kak aku menangis, kamu berjaya selalu ya. Kamu (bapa dan Sandra) semua hebat”

“Lelaki paling kaya di dunia! Semoga tuhan sentiasa memberkati anda berdua”


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd