[Video] Polis Buru 2 Lelaki, Pecah Masuk Rumah Waktu Ada Penghuni
Menerusi rakaman CCTV, kelihatan seorang wanita sedang tidur bersama-sama bayi di atas kerusi sofa di ruang tamu sewaktu rumah dimasuki perompak.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Insiden rompakan kini semakin menjadi-jadi dengan perompak menjadi lebih berani untuk melakukan jenayah tersebut secara terang-terangan.
Lebih merisaukan lagi apabila penjenayah ini melakukan samun secara bersenjata, sekaligus mendatangkan risiko kecederaan, malah kematian, terhadap mangsa.
Seperti dalam kes yang tular baru-baru ini, penjenayah telah memecah masuk ke dalam sebuah rumah yang mempunyai penghuni ketika itu.
Rompakan Berlaku Sewaktu Penghuni Wanita Tidur Bersama Bayi Di Ruang Tamu
Beberapa video tular di media sosial semalam (18 Disember) menyaksikan aksi dua penjenayah merompak sebuah rumah dengan membawa senjata kelihatan seperti parang.
Apa yang lebih menggerunkan adalah jenayah itu dilakukan di siang hari dan ketika terdapat seorang penghuni wanita bersama bayi di dalam rumah tersebut.
Menjenguk kepada salah satu rakaman CCTV, dilihat wanita terbabit sedang tidur di atas kerusi sofa di ruang tamu bersama-sama bayi sewaktu rumah dimasuki perompak.
Turut menarik perhatian ramai apabila kumpulan perompak berkenaan telah meletakkan kenderaan yang digunakan, iaitu jenis Myvi, di tempat parkir dalam kawasan rumah sewaktu melakukan jenayah.

Perompak Tidak Berjaya Dihalang Oleh Orang Awam
Menerusi video rakaman CCTV terbabit, dapat dilihat salah seorang perompak melompat masuk ke dalam kawasan rumah sebelum pintu pagar dibuka.
Kemudian kereta Myvi yang dipandu salah seorang daripada mereka telah dibawa masuk ke tempat parkir.
Tidak berapa lama kemudian, rakaman menunjukkan pintu pagar dibuka sekali lagi dan dua individu menyerbu masuk ke dalam kawasan parkir rumah untuk cuba menghalang perompak.
Namun perompak telah masuk ke dalam kenderaan jenis Myvi dan memandunya sebelum merempuh sebuah kenderaan lain yang diletakkan di hadapan rumah. Mereka kemudiannya berjaya melarikan diri.
TRIGGER WARNING pic.twitter.com/bNBN44fqK6
— @ (@anthraxxx781) December 18, 2024
Pihak Polis Buru 2 Lelaki Kes Samun Bersenjata
Sehubungan itu, media melaporkan pihak polis sedang giat memburu dua lelaki yang terlibat dalam kes samun bersenjata.
Insiden berlaku sekitar 6.20 petang Selasa (17 Disember) di Taman Sri Treh, Muar, Johor.
Memetik laporan Awani, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata pihaknya segera bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada orang awam.
Namun kedua-dua suspek didapati telah melarikan diri dari lokasi kejadian.
Kenderaan Suspek Ditemui Di Jasin
Tambahnya, kenderaan yang digunakan suspek telah ditemui oleh pihak polis setelah ia ditinggalkan di Jasin, Melaka.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan denda serta sebatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkannya kepada Insp P S Seventhi di talian 011-1625 1909 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-952 6001 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.