Kes Pakej Pelancongan Ke Korea Selatan: Kim Seri Mohon Maaf, Polis Sahkan Terima 5 Laporan
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy kes bagaimanapun dijadikan laporan luar kawasan kerana Kim Seri didakwa masih di Korea Selatan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak minggu lalu, tular beberapa video individu yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa penipuan pakej percutian ke Korea Selatan yang dikendalikan oleh influencer dikenali sebagai Kim Seri.
Malah ada yang mendakwa aktiviti ketika percutian mereka menjadi kucar-kacir disebabkan pengurusan yang tidak teratur dan sebagainya.
Perkongsian yang tular secara langsung telah menjadi perhatian orang ramai yang mahu influencer terbabit memberi penjelasan atau bertanggungjawab.
Polis dedah terima keterangan dari 10 individu berhubung penipuan pakej pecutian ke Korea Selatan dibuat Kim Seri
Terbaharu, polis memaklumkan pihaknya telah menerima laporan mengenai penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang diuruskan oleh Kim Seri atau nama penuhnya Seri Azlina.
Jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman sehingga 17 Disember sekitar 10 individu telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan serta membuat laporan mengenai wanita itu.
“Polis telah menerima lima laporan setakat malam semalam melibatkan kes berikut.
“Bagaimanapun, kes tersebut dijadikan laporan luar kawasan kerana individu yang didakwa masih berada di Korea Selatan,” ujarnya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, mangsa mendakwa Kim Seri telah menawarkan pakej percutian di negara tersebut sekitar RM4,000 selama lima hari.
Kim Seri beri jaminan pulangkan duit pada 1 Februari 2025
Dalam pada itu, Kim Seri di Instagram rasminya tampil memohon maaf atas perkara yang berlaku dan memberi jaminan akan memulangkan semula wang tunggakan kepada pelanggan yang terkesan sebelum atau pada 1 Februari 2025.
“Pertama sekali saya ingin meminta maaf atas dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan. Namun begitu, saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.
“Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025,” katanya.
Dia dalam masa sama turut berjanji akan memikul tanggungjawab berhubung insiden yang berlaku serta meminta kerjasama daripada mereka yang terkesan.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.