Now Reading
[Video] Wanita Berjaya Jumpa Semula Kucing Lepas Lebih 2 Tahun Hilang Bikin Ramai Sebak

[Video] Wanita Berjaya Jumpa Semula Kucing Lepas Lebih 2 Tahun Hilang Bikin Ramai Sebak

Menurut pengguna TikTok tersebut, kucing miliknya yang bernama Jerry itu telah hilang pada tahun 2022.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi seorang pencinta kucing, pasti luluh hati apabila si bulus kesayangan hilang dari rumah dan tidak ditemukan lagi.

Walaupun bermacam cara dilakukan untuk mencari kucing tersebut, namun ia tidaklah semudah yang disangka.

Namun bagi seorang wanita, dia menerima kejutan yang tidak disangka apabila tiba-tiba bertemu semula dengan kucingnya yang telah lebih dua tahun hilang.


Wanita Jumpa Semula Kucing Di Kedai Makan

Satu video viral di TikTok (@podedoshh) menyaksikan seekor kucing berwarna putih jingga di sebuah kedai makan.

Dia kelihatan sihat namun sedikit comot dengan bekas luka di muka yang mungkin disebabkan kerana dicakar kucing lain.

Menerusi kapsyen pada video berkenaan, wanita yang merakam kucing tersebut pada mulanya perasan mukanya menyerupai si bulus yang dipelihara olehnya suatu ketika dahulu.

Melihat pada gambar kucing yang ditunjukkan dalam telefon pintar, kucing tersebut memang kelihatan serupa!

Sumber gambar: @podedoshh

Apabila wanita berkenaan melihat aada ekor si bulus itu yang sedikit bengkok, barulah dia perasan haiwan itu merupakan kucingnya yang telah bertahun hilang dari rumahnya.

“Rupanya kucing aku yang sudah bertahun hilang dan jumpa di kedai makan. Dia masih tau nama dia Jerry,” katanya yang sebak dengan keadaan tersebut.

https://www.tiktok.com/@podedoshh/video/7447917885760081159

Kucing Hilang Selepas PKP 2022

Tambah pengguna TikTok itu, Jerry mungkin telah dicakar oleh kucing lain kerana dia bersifat lembut. Dia kemudiannya membawa Jerry pulang ke rumah.

Dalam satu hantaran lain, dia berkata Jerry telah hilang sejak 2022 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 ketika itu.

Malah, dia sempat merakamkan saat Jerry meminum air hujan, mungkin kerana tiada sumber air lain di situ.


“Ya Allah, Sebaknya Tengok Dia Minum Air Hujan” – Pengguna Media Sosial

Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai kelihatan sebak dengan situasi tersebut dan menyifatkannya sebagai suatu keajaiban.

Ada juga yang berasa sebak melihat Jerry meminum air hujan sahaja.

Seorang individu pula berseloroh bahawa kucing tersebut pasti berasa rindu untuk makan ‘wet food’.

Mereka turut berkongsi pengalaman bertemu semula dengan kucing kesayangan setelah lama hilang dari rumah.

“Kucing saya dah hilang lebih empat tahun. Jumpa dekat kedai motor. Panggil nama terus dia datang,” kata seorang pengguna TikTok.

Dalam pada itu, ramai juga yang berharap agar mereka mendapat peluang bertemu semula dengan kucing kesayangan yang telah lama terpisah.


Tips Untuk Cari Kucing Hilang

Kucing yang hilang sememangnya satu situasi yang meruntun jiwa buat pemiliknya. Oleh itu, ini tujuh tips bagi anda mencari semula kucing kesayangan yang hilang.

#1. Cari Segera

Sebaik sahaja perasan kucing telah hilang, ia perlu dicari dengan segera kerana mungkin masih berada di kawasan berdekatan.

#2. Bawa Makanan Kegemaran

Makanan kegemaran perlu dibawa ketika mencari kucing supaya dapat memujuknya keluar dari tempat persembunyian. Boleh juga membawa mainan kegemarannya.

#3. Memanggil Kucing Dengan Lembut

Walaupun sedang mencari kucing hilang, namun pemilik dinasihati agar tidak menjerit sekuat hati kerana mungkin boleh menyebabkannya ketakutan. Cuba panggil kucing dengan suara yang lembut seperti memujuknya.

#4. Pasang Telinga

Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling ketika proses pencarian untuk mendengar bunyi kucing. Diingatkan juga supaya mengambil masa ketika mencari kucing supaya ia dapat mendengar suara dan mencium bau anda.

#5. Minta Bantuan Orang Ramai

Maklumkan pada jiran tetangga tentang kehilangan kucing supaya mereka cakna dengan situasi itu. Dengan teknologi masa kini, media sosial juga boleh digunakan untuk menyebarkan berita tersebut kepada orang ramai. Perkara ini dapat meluaskan radius pencarian.

#6. Meletakkan Baju Di Luar Rumah

Boleh cuba letakkan baju yang telah dipakai di luar rumah atau kawasan kucing terakhir kali dilihat. Ini dikatakan dapat menyebarkan bau badan pemiliknya bagi menarik perhatian kucing.

#7. Berkomunikasi Dengan Kucing Lain

Walaupun kedengaran pelik, namun ini adalah tips yang paling kerap digunakan. Dipercayai dimulakan oleh orang Jepun, anda boleh cuba bercakap dengan kucing lain di kawasan berdekatan untuk meminta mencari kucing yang hilang dan memesannya supaya pulang ke rumah.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd