Wanita Sabah Menang Pertandingan Food Network’s Christmas Show Di Amerika Syarikat
Janet Tan muncul dalam episod Santa’s Seaside Holiday bagi dalam rancangan Amerika Syarikat iaitu Food Network’s Christmas Cookie Challenge Season 8.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila ada mana-mana individu berasal dari Malaysia yang mendapat anugerah atau kemenangan di luar negara, pastinya kita akan tumpang gembira dengan kejayaan mereka.
Meskipun tidak mengenali antara satu sama lain, namun ia tidak mematahkan semangat kita semua untuk saling memberikan sokongan kepada sesama masyarakat.
Kegembiraaan ini sekali lagi diraikan apabila seorang suri rumah berasal dari Lahad Datu, Sabah telah menempa nama di Amerika Syarikat atas kejayaannya baru-baru ini.
Wanita Dari Lahad Datu, Sabah Menang Dalam Pertandingan Di Amerika Syarikat
Seorang suri rumah dari Lahad Datu, Sabah yang kini terlibat dalam industri pembuatan pastri telah memenangi cabaran mingguan dalam rancangan Amerika Syarikat iaitu Food Network’s Christmas Cookie Challenge Season 8.
Janet Tan muncul dalam episod Santa’s Seaside Holiday yang menempatkan empat hingga lima peserta dalam dua pusingan bagi memilih pemenang bagi setiap minggu.
Pusingan pertama melibatkan proses untuk menghias biskut dengan tema bawah laut manakala cabaran kedua memerlukan peserta membina istana pasir Krismas dalam bentuk tiga dimensi.
Namun cabaran ini agak sukar apabila Tan terpaksa menggunakan bahan yang kurang digunakan iaitu buah kelapa.
Tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk menghasilkan hidangan yang siapa sangka boleh memukau para juri iaitu dengan menghasilkan kuih onde-onde.
Jelas Tan, perkara menarik yang membuatkan pengalamannya lebih diingati semasa menyertai pertandingan ini adalah apabila dapat bertemu dengan peserta-peserta lain yang juga mempunyai minat sama seperti dirinya.
Tan turut mendedahkan episod itu sebenarnya dirakam pada April lalu namun dia terpaksa merahsiakan perkara tersebut sehingga dua minggu ia disiarkan pada 5 Disember lalu.
Katanya, hanya suami dan anak-anak Tan sahaja yang mengetahui tentang kemenangan diperolehi wanita berkenaan sebelum ‘rahsia’ itu terbongkar.
Bagaimana Janet Tan Memulakan Perjalanan Hidup Di Amerika Syarikat
Tan berpindah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya untuk memberi sokongan kepada kerjaya suaminya.
Meskipun ramai wanita yang mempunyai impian untuk menjadi sepertinya iaitu bergelar suri rumah sepenuh masa, namun Tan meluahkan rasa tidak senang dengan perubahan tersebut lebih-lebih lagi apabila di negara asing.
Ini kerana dia sudah terbiasa bekerja dan berasa agak sunyi kerana tiada kenalan di sana.
Nak dijadikan cerita, secara kebetulan Tan terjumpa video YouTube satu video seseorang menghias biskut dan mula terfikir untuk membuatnya ketika sambutan hari jadi anak mereka.
Tidak lama selepas itu, Tan mendapat tawaran bekerja sebagai kakitangan di sebuah syarikat penerbangan dan menjadikan minatnya dalam menghias biskut sebagai hobi.
Namun ketika pandemik melanda, hobinya itu dilihat sebagai satu peluang untuk dijadikan sebagai kerjaya sepenuh masa sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan yang diberi nama Fairyland Pastry pada tahun 2020.
Selepas memenangi pertandingan Food Network, Tan berkata perniagaan semakin berkembang pesat apabila mendapat banyak pesanan memandangkan perayaan Krismas menjelang tiba tidak lama lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.