[Video] Monyet Sesat Masuk Lapangan Terbang Changi, Staf Wanita Dipuji Tenang Uruskan Situasi
Seekor monyet yang dipercayai tersesat masuk ke dalam Lapangan Terbang Changi, Singapura itu dilihat berjalan dengan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada tahun 2023, Lapangan Terbang Changi di Singapura telah dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik di dunia.
Mana tidaknya, pelbagai kemudahan dan tarikan menarik yang disediakan di lapangan terbang berkenaan. Cakap je anda nak buat apa. Tengok wayang, bersukan, membeli-belah, semuanya ada.
Selain dipenuhi oleh pengembara yang dalam perjalanan untuk melancong dan menunggu penerbangan, siapa sangka ada ‘tetamu’ lain yang juga tertarik dengan keunikan di lapangan terbang tersebut.
Monyet Tersesat Masuk Ke Dalam Lapangan Terbang Changi
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@thesingaporeanson), individu ini sempat merakam situasi yang agak jarang dilihat apabila seekor monyet dipercayai tersesat masuk ke dalam Lapangan Terbang Changi di Singapura.
Kehadiran haiwan itu juga mendapat perhatian masyarakat di lokasi terbabit. Namun keadaan dilihat masih terkawal dan tenang.
Bagi mengawal keadaan daripada berlaku sebarang perkara tidak diingini, seorang kakitangan wanita di lapangan terbang tersebut dengan beraninya menghampiri monyet itu sambil menunjukkan jalan keluar.

Ada satu ketika, monyet tersebut dilihat mahu bergerak ke tempat lain namun ia berjaya dihalang oleh petugas lapangan terbang terbabit. Monyet itu kemudiannya dilihat berjalan dengan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Pemilik video ini sempat bergurau kononnya monyet itu juga mahu mendaftar masuk untuk penerbangannya.
Video tersebut telah meraih perhatian ramai sehingga mendapat 1.1 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
@thesingaporeanson Monkey wants to check-in for his flight… #singapore
♬ original sound – The Singaporean Son – The Singaporean Son
Orang Ramai Puji Tindakan Staf Wanita Yang Beri Layanan Baik Kepada Monyet Itu
Menjengah ke ruangan komen video berkenaan, rata-rata pengguna media sosial dilihat memberi pujian kepada kakitangan di lapangan terbang tersebut kerana melayan monyet tersebut dengan baik.
“Ini baru betul namanya servis pelanggan. Tak kisahlah manusia ke haiwan, dia dah tunjuk jalan keluar dengan penuh sopan,” ujar pengguna TikTok.
Malah, mereka turut kagum dengan kesabaran yang dimilik oleh wanita berkenaan untuk mengeluarkan haiwan itu tanpa menggunakan sebarang kekerasan.
“Wanita itu memang betul-betul orang yang banyak bersabar,” kata pengguna media sosial.

Haiwan Lain Yang Pernah Dilihat Di Kawasan Awam Sekitar Singapura
Kejadian seperti ini di mana haiwan dilihat di kawasan awam di Singapura bukanlah satu perkara baharu.
Sebelum ini, seorang penduduk flat di Choa Chu Kang, Singapura terkejut selepas salah satu tingkap di rumahnya itu dihinggap oleh burung hantu pada Ahad lalu (1 Disember).
Katanya burung hantu itu hanya tidur sepanjang berada di situ dan hanya berpaling melihat ke dalam rumah apabila ada seseorang menghampiri tingkap.
Baca Artikel Berkaitan: Penduduk Flat Di Singapura Terkejut Lihat Burung Hantu Tumpang Tidur Tepi Tingkap Rumah
Bukan itu sahaja, seekor biawak sepanjang 1.5 meter juga pernah memanjat sehingga ke tingkat tiga sebuah rumah flat di Blok 428 Bedok North Road, Singapura.
Baca Artikel Berkaitan: Penghuni Terkejut Jumpa Biawak ‘Panjat’ Hingga Tingkat 3 Rumah Flat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.