[Video] Ramai Puji Remaja Gigih Tolong Ibu Berniaga Untuk Beli Telefon
Menerusi video tersebut, anak lelaki itu telah mengumpul duit sebanyak RM400 dalam masa sebulan bagi membeli telefon baharu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kebiasaannya, ibu bapalah yang akan membelikan segala kelengkapan termasuklah keinginan si anak tidak kiralah dari segi pakaian, makanan, permainan, barangan elektronik dan sebagainya.
Namun ramai juga golongan ibu bapa yang tidak memanjakan anak-anak dengan sikap, ‘asal mintak terus dapat’.
Ramai berpendapat bahawa anak-anak ini lebih menghargai dan pandai berdikari sekiranya pandai menggunakan duit sendiri bagi membeli sesuatu yang diinginkan.
Anak Bantu Ibu Niaga Untuk Kumpul Duit Beli Telefon Sendiri
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila kedai telefon pintar KLIKI (@kliki.my) berkongsi kisah kegigihan salah seorang pelanggan mereka yang mahu membeli sebuah telefon.
Menerusi video perkongsian, kelihatan anak lelaki berumur 15 tahun itu sedang mencari telefon pintar dengan bajet lebih kurang RM400.
Lebih mengharukan adalah lelaki itu menggunakan duit simpanannya sendiri hasil daripada menolong ibunya meniaga. Jelas si anak, dia telah membuat tabungan lebih kurang sebulan bagi membeli ‘gajet’ berkenaan.
“Telefon pertama dah rosak. Saya kata dekat dia, ibu tak ada duit, tolong ibu meniaga. Duit tu kamu simpan baru boleh beli. Saya nak dia tahu susah nak cari duit tu macam mana,” kata si ibu.
Penjual tersebut dalam masa sama turut menasihati anak muda itu untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Ingat adik belajar elok-elok, mak dah bagi pengajaran yang bagus ni,” kata peniaga berkenaan.
Titik peluh anak lelaki berkenaan nyata membuahkan hasil yang mana dia berjaya mendapatkan sebuah telefon menggunakan simpanan sedia ada bersama dua hadiah percuma diberikan oleh kedai tersebut.
@kliki.my Tolong ibu meniaga, simpan duit hasil untuk beli phone baru. Adik memang terbaik. Bagus didikan ibu, nak anak rasa susah payah cari duit 🥹 btw nak cari iPhone atau Android mengikut bajet sendiri boleh la datang ke KLIKI ✌🏻
♬ Backsound Puisi – ENCENG HARIS SUYUDI
Ramai Puji Anak Muda Kerana Bantu Ibu Untuk Jana Pendapatan Sendiri
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ramai memuji anak muda tersebut kerana sudah berusaha untuk mencari pendapatannya sendiri tanpa mengharapkan duit orang lain.
“Bagus adik ni. Dah pandai usaha cari duit sendiri. Jaga mak baik-baik, nasihat ibu tu penting,” ujar seorang pengguna TikTok.
Malah segelintir individu turut memuji didikan si ibu yang tidak memanjakan anak bagi mendapatkan sesuatu barangan.
“Tahniah kak. Biarkan anak belajar, kalau nak apa-apa kena cari duit sendiri. Insya-Allah anak akan berjaya,” kata sorang lelaki.
Sementara itu, seorang individu turut meluahkan hasrat untuk menyokong perniagaan si ibu di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Kanak-kanak Terima Upah RM250 Bantu Ayah Tebar Roti Canai Ketika Cuti Sekolah
Sebelum ini, tular satu hantaran menunjukkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dikenali sebagai Adli Nur Iman sedang menebar roti canai buat para pengunjung di kedai makan bapanya.
Difahamkan, Adli membantu ayahnya menebar roti canai selama tiga hari sewaktu cuti sekolah dipercayai bersempena Awal Muharram.
Dengan hasil penat-lelah Adli, si ayah telah memberikannya upah sejumlah RM250 untuk perkhidmatannya selama tiga hari. Sekali pandang, macam orang dewasa pun ada, memang cekap betul si cilik ni menebar roti canai!
Perkongsian berkenaan telah mencuri perhatian ramai, yang mana rata-ratanya memuji kanak-kanak itu kerana menghabiskan cuti sekolah dengan membantu si ayah menguruskan kedai makan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Kanak-kanak Bantu Ayah Tebar Roti Canai Ketika Cuti Sekolah Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: Sedih Tengok Remaja Gigih Niaga Burger Dalam Hujan, Pak Azad Ajak Orang Ramai Untuk Beli Sekali
Baca Artikel Berkaitan: Kumpul Duit Selama 3 Tahun, Peniaga Apam Balik Beli Rumah Guna Duit Syiling [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram