Pemuda Kongsi Pengalaman Bekerja Di Korea Sewaktu Bertemu PM Buat Ramai Kagum [Video]
Menerusi video tersebut, Naufal memaklumkan dia turut mengambil cuti setengah hari untuk bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap di antara kita pasti berasa gembira apabila berpeluang berjumpa dengan individu penting atau terkenal seperti pemimpin negara, penyanyi, serta banyak lagi.
Apa yang lebih membuatkan seseorang itu teruja apabila pertemuan dengan insan penting itu berlangsung di luar negara sekali gus menjadikan ia satu kenangan yang mahal buat mereka.
Lelaki kongsi pengalaman dapat berjumpa PM
Perkara sama turut dirasai oleh seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Korea ini apabila dia berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Naufal Omar, kelihatan dia berpeluang untuk menghadiri jamuan makan malam bersama Anwar Ibrahim sewaktu pemimpin itu berkunjung ke Korea Selatan.
Sempat berbual mesra dengan PM dan kongsi pengalaman bekerja di Korea
Dalam video itu, kelihatan Naufal berkesempatan untuk berbual dengan Perdana Menteri ke-10 Malaysia itu dengan memaklumkan dia bekerja di sebuah syarikat kecantikan kulit (skincare) di Korea.
“Saya bekerja di sini (Korea) dalam pemasaran global untuk sebuah syarikat kecantikan kulit,” katanya sewaktu disoal Anwar. Malah dia turut dilihat memberikan kad perniagaan kepada pemimpin berkenaan.
Anwar Ibrahim turut bertanya produk apakah yang dijalankan oleh syarikat tersebut dan Naufal menjelaskan ia adalah Glutathione yang lebih memberi fokus kepada pemutihan dan anti penuaan kulit.
Ambil cuti setengah hari kerana nak jumpa PM
Naufal turut menceritakan dia perlu mengambil cuti setengah hari untuk menemui pemimpin berkenaan dan memaklumkan kepada ketua eksekutif syarikat (CEO) jenama Glutanex bahawa dia ingin bertemu dengan Anwar Ibrahim.
Susulan itu CEO Naufal memberikan syarat kepadanya, di mana dia perlu memberikan produk mereka kepada Perdana Menteri itu.
Naufal kemudian menyerahkan beg yang terdapat produk kecantikan itu kepada Anwar Ibrahim serta menjelaskan mengenai produk berkenaan.
“Ambil gambar, ambil gambar dia nak tunjuk dekat bos dia,” kata Anwar Ibrahim.
Naufal turut menjelaskan mengenai syarikatnya yang menjadikan Watson sebagai pengedar sah produk mereka di Malaysia.
“Kami (syarikat) sedang menuju ke pasaran Asia Tenggara termasuk mengeksport produk kami. Saya adalah satu-satunya individu berasal dari negara lain dalam syarikat terbabit yang mengendalikan perkara tersebut.”
Kongsi cabaran dihadapi ketika cari kerja di Korea, Anwar sempat bergurau
Selain itu, Naufal turut menceritakan serba sedikit pengalamannya belajar serta cabarannya dalam mencari pekerjaan di Korea.
Anwar Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan sambil berseloroh beliau mungkin akan kelihatan lain kerana produk berkenaan.
“Walau bagaimanapun, terima kasih. Esok awak akan nampak saya seperti orang lain,” katanya sambil ketawa.
Gurauan tersebut turut disambut oleh individu yang berada di meja sama yang mengatakan mungkin beliau akan kelihatan bersinar-sinar di hadapan kamera.
“Perbualan saya bersama Perdana Menteri. Saya sangat gementar. Ia adalah satu penghormatan dapat berkongsi momen bersama Anwar Ibrahim.
“Perkara itu membuatkan saya- mengapa tidak mempunyai impian besar? Mungkin suatu hari nanti saya boleh menjadi duta Malaysia ke Korea,” ujar Naufal di ruang kapsyen.
Ramai bangga dengan pencapaian anak muda di Korea
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut menumpangkan rasa bangga dengan pencapaian Naufal menerusi pengalaman yang dikongsikan bersama Anwar Ibrahim.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat ia memerlukan keberanian untuk bercakap dengan Perdana Menteri.
“Ala cakaplah Melayu, aku suka dengar PMX cakap Melayu sebab dia kaya dengan kosa kata. Apapun tahniah bro dapat jumpa PMX.”
“Datuk Seri Dr Wan Azizah tak pakai skincare, kenapa dia glowing? Cantik… penatlah aku pakai macam-macam.”
“Betuahnya awak dik dapat duduk dan sembang dengan PMX yang kami sanjungi. Kami yang duduk dekat Malaysia pun tak sempat nak jumpa dia, semoga Allah lindungi DSAI.”
“Saya boleh nampak muka gementar awak, apapun tahniah. Saya bangga dengan awak.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram