Penduduk Tampil Beri Penjelasan Selepas Dikritik Korek Pasir & Buat Laluan Air Bertakung Ke Laut
Menurut Azahrul tindakan mengorek lubang untuk membuat laluan air itu adalah untuk mengelakkan air yang bertakung melimpah ke kawasan rumah penduduk berdekatan pesisir pantai.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, tular di media sosial satu video memaparkan tindakan penduduk di sebuah kampung di Terengganu sedang mengorek tanah sehingga membentuk aliran seperti longkang.
Perkara itu dilakukan agar air bertakung di kawasan itu dapat dilepaskan terus ke laut. Menerusi video tular itu kelihatan air bertakung tersebut mengalir dengan deras ke dalam laut mengikut saliran yang telah dibuat oleh penduduk berkenaan.
Tindakan yang dibuat oleh penduduk tersebut secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai yang bimbang sehingga ada yang mengkritik kononnya ia boleh menyebabkan ekosistem laut berubah.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: [Video] Aksi Penduduk Kampung Buat Lubang Untuk Alirkan Air ‘Mengabang’ Terus Ke Laut Cetus Perdebatan
Aktiviti buka aliran air bertakung dipanggil ‘bedah air’ bertujuan elak banjir di kawasan rumah
Terbaharu, seorang penduduk Kampung Seberang Tayor, Terengganu tampil menjelaskan aktiviti yang dilakukan oleh mereka sebelum ini dipanggil sebagai ‘bedah air’.
Perkara itu dilakukan sebagai langkah untuk mengelakkan air yang bertakung melimpah ke kawasan rumah penduduk berhampiran pesisir pantai ketika musim tengkujuh.
Video tersebut awalnya telah dikongsikan oleh salah seorang penduduk iaitu Mohd Azahrul Ab Rami yang berusia 36 tahun.
Aktiviti bedah air itu dilakukannya bersama 20 orang lagi rakan di Pantai Taping, Kemasik pada 22 November lalu.
Selain ‘bedah air’ aktiviti tersebut turut dipanggil ‘korek alur’
Memetik laporan Sinar Harian, Azahrul memaklumkan selain bedah air ada juga penduduk kampung yang memanggil aktiviti sebagai ‘korek alur’.
“Kawasan air bertakung dekat dengan Pantai Taping ini pada asalnya merupakan sungai kecil.
“Apabila strukturnya telah berubah dan tiada tempat untuk mengalir, ia akan melimpah. Kalau hujan tak berhenti selama dua hari, air akan bertakung dan melimpah ke rumah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu.
“Sebab itulah kita akan buka laluan air bagi memastikan tidak berlaku banjir di kawasan rumah berdekatan,” jelasnya.
Perlu tunggu 2-3 hari untuk air mengalir ke pantai, ada yang berhibur untuk bermandi-manda
Kata Azahrul lagi mereka perlu menunggu sekitar dua ke tiga hari untuk memastikan takungan air berkenaan habis mengalir ke kawasan pantai.
“Memandangkan jarak antara takungan air dengan kawasan pantai sejauh 12 meter, kesempatan yang ada ketika air mula-mula dilepaskan akan digunakan oleh anak muda di kawasan ini bermain air.
“Ada yang melakukan pelbagai gaya dan aksi seperti meluncur, meniarap dan lain-lain lagi. Masing-masing seronok dapat bermain air kerana situasi itu bukan sering terjadi.
“Selain bermain air, mereka juga mengambil kesempatan untuk menangkap ikan yang terdapat dalam takungan air tersebut.”
Selain Pantai Taping, Azahrul juga memaklumkan terdapat kawasan lain yang turut mengalami situasi sama yang membentuk takungan air hujan.
Saliran air yang dibina akan tertutup semula jika ombak besar
Walau bagaimanapun kawasan itu akan kembali dipenuhi air semula mengikut kepada taburan hujan pada ketika itu.
“Selepas air dilepaskan ke pantai, jika ombak pasang besar, alur yang dibina akan tertutup kembali dan air akan kembali bertakung lagi.
“Situasi itu akan berlaku antara tiga hingga empat kali sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL),” jelasnya lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram