[Video] Mat Saleh Gelar Malaysia Negara ‘Tergemuk’, Buat Perbandingan Dengan Vietnam
Menurut Tinjauan Kebangsaan dan Kesihatan Morbiditi (NHMS) 2023, sekitar 54.4% rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan (32.6%) dan mengalami obesiti (21.8%).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat disangkal bahawa diet atau pemakanan setempat dipengaruhi oleh budaya sesebuah tempat tersebut.
Sebagai contoh di Malaysia, terdapat pelbagai hidangan tempatan yang menjadi kegemaran masyarakat seperti nasi lemak, roti canai dan nasi kandar.
Namun, perkara ini menjadikan Malaysia terkenal dengan hidangan yang ‘tidak sihat’ berbanding beberapa negara jiran yang mengamalkan diet lebih banyak sayur-sayuran.
Malah, negara ini juga mempunyai pelbagai cawangan restoran makanan segera, kedai aiskrim dan kafe yang tumbuh bagaikan cendawan, lebih-lebih lagi dari jenama terkenal.
Mat Saleh Dakwa Kadar Obesiti Di Malaysia Tertinggi Di Asia
Menerusi satu video yang dimuat naik ke TikTok, pengembara Alex Wanders, berkongsi pengalamannya ke negara yang didakwa ‘terkurus’ dan ‘tergemuk’ di Asia, iaitu Vietnam dan Malaysia.
Bukan itu sahaja, dia turut membandingkan pemakanan dan gaya hidup di antara kedua-dua ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu.
Dia berkata, Vietnam merupakan negara dengan kadar obesiti 2%, sebaliknya Malaysia pula dikatakan berada di hujung spektrum yang lain dengan kadar obesiti yang ‘tidak masuk akal’.
“Kebanyakan Makanan Di Vietnam Penuh Sayuran & Protein Tanpa Lemak” – Alex
Menurut Alex, masakan di Vietnam adalah segar, sihat dan berkalori rendah. Malah, kebanyakan makanan di sana dipenuhi sayur-sayuran serta protein tanpa lemak (lean protein).
Dari segi gaya hidup pula, Alex berkata rakyat Vietnam sangat aktif dengan pelbagai aktiviti harian.
“Pergi ke pantai pada jam 6 pagi. Anda akan melihat orang ramai berjoging, berlari dan melakukan aktiviti yoga,” katanya.
“Malaysia Banyak Makanan Segera & Minuman Bergula” – Alex
Alex kemudiannya telah berkunjung ke Malaysia dan berkata pemakanan di sini amat bertentangan dengan hidangan yang terdapat di Vietnam.
“Makanan segera, minuman bergula dan makanan diproses di merata-rata tempat. Mereka turut menambah gula pada hidangan salad,” katanya apabila bercakap tentang diet di Malaysia.
Di samping itu, dia turut menyifatkan Malaysia sebagai negara yang paling sukar untuk pejalan kaki yang pernah dikunjunginya.
“Melintas jalan raya di Kuala Lumpur adalah satu cabaran tersendiri,” jelasnya.
Pada akhir video, Alex berkata kadar obesiti di Malaysia adalah 54%.
“Watch This While Eating Double Special Ramly Burger” – Pengguna TikTok
Ramai rakyat Malaysia secara berseloroh meninggalkan komen dan berkata mereka sedang makan ketika menonton video berkenaan.
“Video ni lalu time aku tengah melantak nasi dua pinggan,” kata seorang pengguna TikTok.
Ada juga yang berkata mereka baru tahu Malaysia adalah negara tergemuk di Asia, dan bahawa mereka turut sama-sama menyumbang pada kadar obesiti 54% yang disebut oleh Alex.
Namun dalam masa sama, seorang pengguna media sosial berkata Alex tidak berkunjung ke taman-taman yang turut dipenuhi orang ramai untuk bersenam pada waktu pagi.
“Tempat saya ni hari-hari penuh orang exercise pagi-pagi,” katanya.
Malaysia Masih Negara ‘Tergemuk’ Di Asia?
Data terbaharu dalam Tinjauan Kebangsaan dan Kesihatan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati sekitar 54.4% rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan (32.6%) dan mengalami obesiti (21.8%).
Terdahulu, satu kajian dalam jurnal perubatan British The Lancet pada 2014, menggelar Malaysia sebagai negara paling obes di Asia.
Namun satu kajian yang diterbitkan pada September 2024 mendapati bahawa prevelans berat badan dan obesiti di Brunei adalah lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu 62.8%.
Malah, Survei Kesehatan Indonesia (SKI) 2023 melaporkan kadar obesiti 23.4% di republik tersebut, iaitu lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia.
Vietnam pula sememangnya negara di Asia Tenggara dengan prevelans berlebihan berat badan dan obesiti paling rendah.
Dalam masa sama, harus diingat bahawa Malaysia menjadi negara di Asia Tenggara dengan kadar diabetes tertinggi, malah kelima tertinggi di dunia.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Kuah Banjir’ Punca Berat Badan Naik, Malaysia Negara Obesiti Tertinggi Di Asia Tenggara
Baca Artikel Berkaitan: “Diabetes Malaysia Tertinggi Di Asia Tenggara Bukan Perkara Membanggakan” – Perdana Menteri
Jalan Raya Di Bandar Vietnam Juga Sukar Dilintas
Di samping itu, agak tidak adil apabila Alex membandingkan gaya hidup dan pemakanan di Vietnam dengan bandar Kuala Lumpur yang mewakili Malaysia.
Umum sedia maklum bahawa Kuala Lumpur merupakan sebuah pusat bandar yang sesak dengan kenderaan. Malah, kawasan ‘outdoor’ bagi menjalankan aktiviti fizikal agak terhad.
Jika dia berkunjung ke kawasan di luar bandar atau kampung, sudah tentu dia dapat merasai gaya hidup yang lebih sihat dengan hidangan yang dipenuhi ulam-ulaman.
Di samping itu, Vietnam sendiri juga mempunyai jalan raya yang sesak dan sukar dilintas apabila pemandu tidak menghentikan kenderaan, sebaliknya hanya mengelak pejalan kaki.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Suasana Ketika Melintas Jalan Raya Di Vietnam Buat Ramai Seram [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.