[Video] Mahu Uji Jika Masyarakat Ambil Peduli, YouTuber Buat Eksperimen Sosial Culik Budak
Kesemua individu yang ‘diuji’ dalam eksperimen sosial berkenaan bertindak melindungi kanak-kanak tersebut daripada menjadi mangsa culik.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Keselamatan kanak-kanak bukanlah hanya tanggungjawab ibu bapa dan keluarga, tetapi seluruh isi masyarakat dalam suatu komuniti.
Dalam pada itu, kanak-kanak juga perlu dididik sejak awal mengenai bahaya orang yang tidak dikenali atau dalam Bahasa Inggeris ‘stranger danger’.
Sebelum ini, satu eksperimen sosial telah dijalankan oleh pusat beli-belah IOI City Mall yang menguji sama ada kanak-kanak akan mengikuti orang yang tidak dikenali apabila ditawarkan sesuatu.
Eksperimen tersebut mendapati majoriti kanak-kanak akan mengikut orang yang tidak dikenali.
Baca Artikel Berkaitan: Eksperimen Sosial Uji Kanak-Kanak Ikut Orang Yang Tak Dikenali Jadi Perhatian [Video]
Wanita Panggil Kanak-Kanak Duduk Di Sebelahnya Apabila Didatangi Penculik
Baru-baru ini, tular satu video TikTok (@akupeduliofficial) yang menyaksikan eksperimen sosial dijalankan mengenai tindakan seorang ‘penculik’ yang ingin mengajak seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun agar mengikutinya.
Difahamkan eksperimen sosial itu dihasilkan oleh Youtuber AkuPeduli dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2024.
Pada awal video, kelihatan seorang wanita segera memanggil kanak-kanak berkenaan agar duduk di sebelahnya apabila didatangi penculik terbabit.
Penculik itu kemudiannya memberi alasan bahawa bapa kanak-kanak tersebut yang telah menyuruhnya mengambil dia di situ kerana sedang menguruskan hal kereta rosak.
Wanita berkenaan selepas itu bertanya kepada ‘mangsa’ jika mengenali lelaki itu sebelum diberitahu tidak.
“Masalahnya dia tak kenal awak. Kami tak boleh bagi. Ayah dia cakap duduk sini, jangan pergi mana-mana,” katanya.
Wanita Minta Panggil Ayah Kepada Kanak-Kanak Jika Ingin Mengambilnya
Dia bersama seorang lagi wanita lain yang merupakan anaknya, menegaskan agar penculik itu memanggil ayah kepada kanak-kanak terbabit terlebih dahulu jika ingin mengambilnya.
“Kalau saya lepas, saya menyesal nanti jadi apa-apa,” tegasnya.
Apabila individu yang berlakon sebagai bapa kepada kanak-kanak berkenaan kembali, kedua-dua wanita itu memaklumkan apa yang terjadi kepadanya.
“Tadi ada orang nak ambil anak awak. Saya terpaksa tahan. Dia kata awak yang suruh dia ambil,” katanya.
Wanita itu juga menegaskan agar tidak sesekali meninggalkan anak, terutamanya kanak-kanak perempuan, berseorangan.
Lelaki Mengekori Penculik & Kanak-Kanak
Dalam satu situasi lain pula, kelihatan seorang lelaki berbaju hitam menyaksikan sahaja kanak-kanak tersebut diajak ke tempat lain oleh penculik.
Namun dia kemudiannya mengekori penculik dan kanak-kanak terbabit sebelum bertanya jika mereka saling mengenali.
“Saya nampak dia takut-takut tadi. Kau jangan nak macam-macam. Jangan buat macam ni. Tak baik. Baik kau pergi je la sekarang,” katanya kepada penculik berkenaan yang segera meninggalkan tempat itu.
Sejurus itu, lelaki tersebut segera membawa kanak-kanak berkenaan kembali ke tempat asal dia ditinggalkan oleh ayahnya dan menemaninya.
Pihak AkuPeduli dalam pada itu menjamin bahawa kanak-kanak tersebut selamat dan di bawah pengawasan mereka sepanjang rakaman dijalankan.
Video penuh telah dimuat naik ke akaun YouTube AkuPeduli.
“Alhamdulillah Masih Ramai Yang Peduli” – Pengguna TikTok
Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai didapati memberikan reaksi yang berbeza terhadap video tersebut.
Ada yang meminta agar eksperimen sosial sedemikian dihentikan kerana risau jika masyarakat tidak mahu membantu kanak-kanak dalam keadaan culikan sebenar kerana menyangkakan ia sekadar ‘prank’.
Namun ramai juga yang memandangnya daripada sudut positif iaitu bertujuan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dan supaya ibu bapa sendiri lebih berwaspada dengan keselamatan anak-anak.
Mereka turut memuji tindakan individu dalam eksperimen sosial berkenaan yang peduli tentang keselamatan kanak-kanak tersebut.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial berkongsi bahawa mereka pasti tidak akan membiarkan anak-anak keseorangan apabila berjalan ke luar. Siap bawa masuk tandas sekali!









79 Kes Penculikan Berlaku Tahun Ini Sehingga Julai
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata sebanyak 541 kes culik dan melarikan orang direkod Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2020 sehingga Julai lalu.
Daripada jumlah itu, kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 148 kes diikuti 2020 (119 kes), 2021 (104 kes), 2022 (91 kes), dan 79 kes dari Januari sehingga Julai lalu.
Razarudin memaklumkan bahawa majoriti kes iaitu sebanyak 246 melibatkan tindakan melarikan orang dengan salah di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, diikuti dengan 251 kes menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya menurut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Kes culik atau melarikan orang di negara ini tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Bagaimanapun pihak PDRM sentiasa memantau secara khusus jenayah melibatkan culik,” katanya dipetik Utusan.
Purata 2 Kanak-Kanak Hilang Setiap Hari
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengesahkan bahawa terdapat purata dua kanak-kanak yang hilang setiap hari sejak 2020 sehingga September lalu.
“Untuk rekod, tahun 2020 kes kanak-kanak hilang adalah 792, tahun 2021 adalah 594, tahun 2022 adalah 902, tahun 2023 adalah 779 dan tahun 2024, setakat September 780 (orang). Jadi jumlah (keseluruhan) 3,847 (orang),” katanya dipetik Harian Metro.
Daripada jumlah itu, 96% kanak-kanak yang hilang berjaya dijumpai semula oleh PDRM.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



