“Selagi Tak Runtuh, Selagi Itulah Pahala Mengalir” – Lelaki Hasilkan Replika Al-Quran Gergasi Dengan Tulisan Tangan
Tertulis ayat 164 hingga 176 surah Al-Baqarah pada replika Al-Quran gergasi tersebut yang terletak di Gua Musang, Kelantan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Al-Quran merupakan kitab suci agama Islam yang menjadi petunjuk buat sekalian umatnya. Ia merupakan kumpulan ayat-ayat suci yang diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Allah SWT seperti firmanNya:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
Surah al-Hijr: 9
Seseorang yang membaca Al-Quran bukan sahaja akan diberi ganjaran pahala, tetapi kitab itu juga akan hadir sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat baginya.
Selain Al-Quran dalam bentuk kitab atau buku, terdapat juga ayat suci yang diukirkan atau ditulis pada papan tanda dan replika, yang secara tidak langsung menyebabkan umat Islam sekeliling membacanya dan mendapat pahala.
Lelaki Hasilkan Replika Sama Seperti Al-Quran Betul
Seorang lelaki baru-baru ini telah menghasilkan sebuah replika Al-Quran gergasi di Masjid Buluh, Gua Musang, Kelantan.
Lebih menarik lagi, ayat suci pada replika Al-Quran tersebut bukanlah cetakan, tetapi merupakan tulisan tangan.
Menerusi gambar yang dikongsi di TikTok (@fatihahhussin1), dapat dilihat lelaki tersebut sedang berada di atas ‘scaffolding’ sambil menulis ayat suci Al-Quran itu.
Malah, bukan sahaja ayatnya, dia turut melukis sendiri kerawang pada bahagian tepi mukasurat replika Al-Quran tersebut.
Melihat pada replika Al-Quran tersebut, turut tercatat nama surah dan muka surat, sama seperti yang terdapat pada Al-Quran sebenar.
“Replika Al-Quran Jadi Simbol Pemerkasaan Syiar Islam” – Majlis Daerah Gua Musang
Di ruangan komen, seorang individu menjelaskan bahawa ayat Al-Quran yang ditulis adalah daripada surah Al-Baqarah. Menurut Majlis Daerah Gua Musang, ia merupakan ayat ke 164 hingga 176 surah tersebut.
“Replika Al-Quran gergasi di Masjid Buluh Gua Musang menjadi tarikan dan mendapat perhatian pengunjung dan pelancong yang berkunjung ke Gua Musang.
“Replika ini menjadi simbolik kepada pemerkasaan syiar islam di Gua Musang dan seterusnya menjadi daya tarikan pelancongan pada masa hadapan,” jelas Majlis Daerah Gua Musang.
Selain daripada replika tersebut, terdapat juga bongkah batu marmar yang diukir dengan zikir dan ayat suci Al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, berkata bongkah batu marmar tersebut merupakan produk kuari keluaran Gua Musang.
“Pahala Terus Mengalir” – Pengguna TikTok
Memindai ke ruangan komen, masyarakat memuji hasil seni dan kebolehan lelaki tersebut menghasilkan sebuah replika Al-Quran secara ‘free hand’. Malah ada yang menyifatkannya sama seperti dicetak menggunakan mesin.
Dalam pada itu, orang ramai juga memuji keindahan ayat suci Al-Quran itu dan berkata pasti banyak pahala yang mengalir atas usaha lelaki tersebut menghasilkan replika berkenaan.
“Selagi tak runtuh ayat di situ, selagai itulah pahala mengalir,” kata seorang pengguna media sosial.
“Untungnya abang ini. Tangan dan jari dia pasti akan tolong di kat sana (akhirat) nanti,” kata seorang lagi individu.
Replika Al-Quran Gergasi Dihasilkan Di Kampung Di Yala Tahun Lepas
Dipercayai replika Al-Quran di Masjid Buluh Gua Musang itu merupakan replika gergasi pertama di Malaysia dengan tulisan ayat suci.
Sebelum ini, sebuah replika sedemikian turut dihasilkan di Kampung Pak Pungoh, Yala, Thailand. Ia menjadi tumpuan orang ramai setelah tular di media sosial sekitar Ramadan tahun lepas.
Pencetus idea pembinaan replika tersebut, Imam Mat Rokey Wan Kechik berkata replika itu telah menjadi terkenal dan dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk Arab Saudi.
“Sebelum ini semua kampung di kawasan ini membuat pintu gerbang sebagai tradisi menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi saya inginkan kelainan dan memberi idea untuk membina replika al Quran yang dibuat menggunakan batu, simen serta papan lapis,” katanya.
Menurut Penghulu Kampung Pak Pungoh, Tolib Mustofa, kedatangan pengunjung ke kampung itu sekaligus membawa rezeki kepada penduduk kampung yang berniaga makanan dan minuman.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.