[Video] Jemaah Umrah Kecewa, Ingat Dapat Pinjam Gunting Percuma Untuk Tahallul Rupanya Berbayar
Individu yang merakamkan insiden tersebut berkata dia diminta 5 Riyal untuk gunting tersebut sebagai bayaran tanpa diberitahu terlebih dahulu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam menunaikan haji dan umrah, terdapat rukun-rukun yang harus dilaksanakan bagi memastikan kesempurnaan ibadah.
Dalam masa sama, umat Islam yang sedang dalam ihram juga dikenakan 13 larangan antaranya memotong kuku, memakai wangi-wangian dan mencabut bulu atau rambut.
Kesemua larangan ini akan terbatal dan ibadah di tanah suci akan dikira sempurna selepas anda menyelesaikan rukun tahallul, iaitu bergunting atau bercukur rambut, dan tertib.
Jemaah kebiasaannya akan membawa gunting untuk melakukan tahallul. Namun ada juga yang tidak membawanya mungkin kerana terlupa atau tertinggal dan sebagainya.
Wanita Tiba-Tiba Bagi ‘Pinjam’ Gunting Untuk Tahallul
Satu video tular di TikTok (@yushadz) menyaksikan dua orang wanita yang berpudah dan memakai pelitup muka sedang memegang gunting di sekitar kawasan rukun tahallul dijalankan.
Menurut Yus yang memuat naik video tersebut, mereka tiba-tiba datang dan memberikan gunting untuk digunakan bagi tahallul tanpa diminta.
Namun sebaik selesai, mereka meminta 5 Riyal (sekitar RM6) sebagai bayaran.
Tambahnya, apabila dia tidak mahu membuat bayaran tersebut, mereka dengan nada mengugut berkata bahawa perkara itu haram.
“Ingatkan Nak Bagi Pinjam” – Pengguna TikTok
Dapat dilihat juga kedua-dua wanita itu memegang wang kertas yang dipercayai dibayar kepada mereka bagi ‘servis’ tersebut. Siap buat ‘peace’ lagi!
“Ini namanya scammer. Tak cakap pun kena bayar. Ingatkan nak bagi pinjam,” katanya ketika merakamkan kejadian itu.
Yus berkata insiden tersebut berlaku kepadanya ketika melakukan umrah pada November 2022.
Dia bagaimanapun tetap membuat bayaran tersebut, namun berasa tidak gemar dengan cara dan paksaan kedua-dua wanita itu.
Scammer Biasa Berlaku Ketika Tahallul
Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai tertarik kepada isyarat ‘peace’ yang dilakukan oleh salah seorang wanita tersebut di akhir video.
Di samping itu, orang ramai juga berkata scammer sewaktu tahallul biasa berlaku dan sepatutnya telah dijelaskan oleh para mutawif.
Malah ada yang membandingkan harga yang dikenakan kepada mereka iaitu sehingga 50 Riyal, 10 ganda lebih banyak berbanding yang terjadi terhadap Yus.
Beberapa individu berkata scammer sedemikian telah wujud sejak tahun 1993 lagi.
Manakala seorang wanita yang berdepan perkara itu mengambil tindakan tegas dengan memanggil pihak polis di sana.
“Aku pernah jumpa macam ni. Aku tarik purdah dia, panggil polis kat situ. Kena marah dia orang keluar dari situ. Ingat dah tak ada rupanya ada lagi,” katanya.
Seorang individu pula menceritakan pengalamannya kehilangan gunting akibat meminjamkannya kepada orang ramai. Namun dia menganggapnya sebagai satu sedekah.
Tahullul Rukun Dalam Umrah & Haji
Sebagai info, walaupun tahullul merupakan rukun dalam umrah dan haji, namun ia sedikit berbeza antara kedua-duanya.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, rukun itu dilakukan ketika umrah selepas melakukan ibadah saie’, iaitu berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali.
Bagi ibadah haji pula, tahallul boleh dibahagikan kepada dua. Tahallul awwal boleh disempurnakan apabila jemaah haji telah menyelesaikan dua daripada tiga perkara di bawah:
- Melontar jamrah al-kubra
- Tawaf rukun dan saie’ (jika saie’ masih belum dilaksanakan)
- Bercukur atau bergunting
Manakala tahallul thani pula akan dilakukan selepas jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara tersebut.
Allah SWT berfirman:
لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ
Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”
Surah al-Fath: 27
Bagi melaksanakan rukun tahallul, jemaah perlu memotong sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Namun jemaah lelaki disunatkan agar bercukur kepala.
Menurut Permata Holidays, antara lain-lain perkara sunat ketika tahallul adalah:
- Menghadap ke kiblat.
- Memulakan cukuran di sebelah kanan kepala.
- Bertakbir setelah selesai bergunting/ bercukur.
- Membaca doa setelah selesai bergunting/ bercukur.
- Menanam rambut yang digunting/ dicukur. Namun jika sukar, cukup sekadar dibuang dalam tong sampah yang disediakan.
- Bagi wanita, dicadangkan untuk membungkus rambut terlebih dahulu dengan kertas sebelum dibuang.
- Afdal bertahallul di Bukit Marwah. Namun bagi jemaah lelaki yang ingin bercukur, boleh ke mana-mana kedai gunting rambut.
- Afdal menggunting rambut sendiri dahulu sebelum membantu jemaah lain.
Diingatkan jika jemaah terlupa melakukan tahallul, mereka perlu membuat bayaran dam atau denda.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.