123456 Password Paling Popular Di Malaysia, Boleh ‘Crack’ Dalam Masa Kurang 1 Saat
Ini menjadikan ‘123456’ kata laluan paling banyak digunakan dalam lima daripada enam analisis yang dijalankan oleh NordPass.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam mendaftar sebagai pengguna di mana-mana laman web atau aplikasi, orang ramai perlulah memasukkan kata laluan atau ‘password’ yang akan digunakan ketika ‘log in’.
Kombinasi kata laluan haruslah dibuat mengikut ciri-ciri yang ditetapkan seperti perlu mempunyai huruf besar, nombor, simbol dan sebagainya.
Namun, ada juga laman web yang tidak menetapkan sebarang ciri-ciri tersebut, membuatkan pengguna mengambil jalan mudah dan menggunakan sahaja kata laluan yang senang diingat.
‘123456’ Paling Banyak Digunakan Sebagai Password Di Malaysia
Dalam laporan ‘Top 200 Most Common Passwords’, ‘123456’ menjadi kata laluan yang paling banyak digunakan di seluruh dunia, menjadikan kombinasi itu sebagai password nombor satu selama dua tahun berturut-turut.
Di seluruh dunia, kata laluan tersebut digunakan lebih tiga juta kali, yang turut menjadi kombinasi paling popular di Malaysia digunakan sebanyak 14,396 kali.
Perkara itu didapati menerusi analisis ke atas pangkalan data 2.5TB yang diambil daripada pelbagai sumber awam, termasuk ‘dark web’ oleh NordPass bersama NordStellar.
Menurutnya, tiada sebarang data peribadi yang diambil atau dibeli bagi menjalankan kajian tersebut.
Data tersebut dibahagikan kepada beberapa kategori untuk dianalisis mengikut 44 buah negara.
‘123456’ Password Paling Popular Dalam 5 Analisis
Kombinasi kata laluan ‘123456’ telah menjadi pilihan utama dalam lima daripada enam analisis yang dilakukan oleh NordPass saban tahun.
Pada 2022, ‘123456’ jatuh kedudukan dalam carta tersebut apabila ‘password’ menjadi kata laluan paling popular.
Selain kombinasi nombor sebagai kata laluan, password popular lain termasuk ‘password’, ‘qwerty123’ dan ‘secret’. Kesemua ini memerlukan masa kurang satu saat untuk dibuka (crack).
Majoriti kombinasi kata laluan yang disenaraikan memerlukan masa hanya beberapa mili saat untuk dibuka. Kata laluan yang memerlukan masa paling lama iaitu 12 hari ialah ‘g_czechout’ yang berada di tempat ke-157.
‘starwars’ & ‘pokemon’ Pilihan Popular Sebagai Password
Selain itu terdapat juga kata laluan yang dipilih berdasarkan perkara yang popular seperti ‘dragon’, ‘pokemon’, ‘liverpool’, ‘starwars’ dan ‘naruto’. Ada juga yang menggunakan nama panggilan masing-masing.
Di Malaysia, 10 kata laluan yang paling banyak digunakan ialah:
- 123456
- qwerty123
- 123456789
- qwerty1
- 12345678
- 12345
- abc123
- password
- 1234567890
- abcd1234
Manakala, kata laluan ‘sayang’ pula menduduki tangga ke-13.
Di negara jiran, Indonesia, antara kata laluan popular termasuk ‘bismillah’, ‘rahasia’, ‘admin’ dan ‘indonesia’.
Gunakan Kata Laluan Unik Bagi Akaun Berbeza
Orang ramai diingatkan agar mencipta kombinasi kata laluan yang unik agar akaun sukar digodam, sekaligus menjamin keselamatan data peribadi.
Selain kata laluan yang popular, Cybersecurity & Infrastructure Security Agency (CISA) berkata maklumat pengenalan diri seperti tarikh lahir dan nama haiwan peliharaan juga tidak selamat. Ini termasuk juga nombor pada kad pengenalan.
Berikut merupakan tiga tips dalam menghasilkan kata laluan yang selamat:
- Menggunakan kata laluan yang panjang dengan sekurang-kurangnya 16 karakter.
- Hasilkan kata laluan yang rawak dengan menggabungkan huruf, nombor dan simbol atau menggunakan ‘passphrase’.
- Gunakan kata laluan yang unik bagi setiap akaun berbeza seperti media sosial, bank dan emel.
Selain itu, pengguna juga boleh menjanakan kata laluan yang unik menerusi ‘password manager’ seperti di Google. Kata laluan akan dijana serta disimpan, dan boleh digunakan dengan hanya satu klik pada masa akan datang.
Orang ramai juga diingatkan agar mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) atau multifaktor (MFA) bagi akaun yang membenarkan perkara itu, terutama sekali akaun bank.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.