Lalamove & Bolt Kini Tawarkan Servis e-Hailing Di Lembah Klang
Kedua-dua syarikat Lalamove dan Bolt telah melancarkan servis e-hailing bermula minggu lepas bagi perjalanan di sekitar Lembah Klang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perkhidmatan e-hailing sememangnya memudahkan urusan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan dan perlu ke kawasan yang jauh daripada pengangkutan awam.
Berdasarkan laporan oleh MalayMail, kini terdapat sebanyak 34 servis e-hailing yang didaftarkan di dalam negara.
Dengan pengguna e-hailing di Malaysia dianggarkan mencecah 11.47 juta menjelang 2029, baru-baru ini dua lagi syarikat mula menawarkan servis ini bagi orang ramai.
Lalamove Perkenalkan Servis e-Hailing
Jika sebelum ini perkhidmatan Lalamove digunakan bagi urusan penghantaran dan pengambilan barang, namun bermula Rabu lepas (6 November) ia telah mula memperkenalkan servis e-hailing dalam aplikasinya.
Setakat artikel ini ditulis, perkhidmatan ini hanya tersedia dalam kawasan Lembah Klang sahaja. Namun Lalamove di laman webnya memaklumkan bahawa servis itu mungkin akan dikembangkan ke luar Lembah Klang tidak lama lagi.
Semakan kami juga mendapati ia hanya menyediakan satu pilihan kenderaan berjenis sedan buat masa ini dengan harga bermula dari RM6.
Menurut Lalamove, servis e-hailing yang ditawarkan tersedia sepanjang waktu iaitu 24 jam sehari.
Menggunakan aplikasi Lalamove yang sama, pengguna hanya perlu menekan pada ciri ‘Ride’ di skrin utama sebelum mengisi maklumat perjalanan.
Bolt Dilancarkan Di Lembah Klang
Selain Lalamove, Bolt juga telah melancarkan servisnya di sekitar Lembah Klang pada 7 November minggu lepas.
Syarikat mobiliti berasal dari Eropah itu turut menawarkan diskaun 50% (dengan had limit maksimum RM15) bagi tujuh perjalanan pertama buat para pengguna.
Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh memilih empat tawaran kenderaan yang tersedia bermula pada harga seperti berikut:
- Bolt (4 pax) – RM7
- Comfort (4 pax) – RM10
- XL (6 pax)- RM13
- Premium (4 pax) – RM15
Sebagai info, Malaysia merupakan negara kedua di Asia Tenggara yang menjadi pilihan Bolt selepas mula memperkenalkannya di Thailand pada 2020. Kini Bolt menawarkan servis e-hailing di lebih 50 negara.
Selain e-hailing, Bolt turut menawarkan servis lain termasuk sewaan skuter dan motosikal, sewaan kereta serta penghantaran makanan dan barangan. Namun kesemua servis ini masih tidak tersedia buat pasaran di Malaysia.
Perbandingan Antara Lalamove & Bolt
Mungkin ada yang tertanya-tanya, syarikat e-hailing manakah yang lebih bagus antara kedua-dua di atas. Ini beberapa perbezaan yang didapati berdasarkan pemerhatian kami.
Seperti yang dimaklumkan, Bolt menyediakan empat jenis pilihan kenderaan termasuk dengan enam tempat duduk, manakala Lalamove hanya mempunyai pilihan kereta sedan.
Di aplikasi Bolt, peta yang merangkumi waktu jangkaan tiba di destinasi dan tempoh perjalanan akan dipaparkan sebelum pesanan dibuat.
Sebaliknya bagi Lalamove pula, pengguna hanya ditunjukkan jarak dan tempoh masa perjalanan.
Dari segi harga, semakan kami bagi perjalanan dari KL Sentral ke Dataran Merdeka mendapati harga tanpa diskaun yang lebih kurang bagi kedua-dua syarikat e-hailing itu, iaitu RM7 bagi Lalamove dan RM8 bagi Bolt.
Semakan kami juga mendapati harga yang ditawarkan beberapa syarikat e-hailing lain juga hampir sama bagi perjalanan serupa.
Dengan diskaun 50%, Bolt pastinya akan menjadi pilihan utama sehingga kesemua tawaran itu digunakan atau tamat tempoh.
Namun diingatkan bahawa tambang bagi servis e-hailing ini akan berubah bergantung pada waktu dan keadaan trafik semasa di jalan raya.
“Lalamove Can Now Transport Humans!” – Pengguna Media Sosial
Pengumuman oleh Lalamove berkenaan penawaran khidmat e-hailing itu membuatkan orang ramai berseloroh mengenai servis asal syarikat berkenaan.
“Boleh pesan lori untuk hantar kita ke lapangan terbang tak?” soal seorang pengguna X.
Ada juga yang memohon agar kereta yang digunakan bagi servis e-hailing Lalamove ditapis, dan tidak menggunakan kereta lusuh yang mungkin sesuai untuk penghantaran barang.
Seorang ‘partner’ Lalamove berkongsi pengalamannya menerima pesanan menerusi aplikasi tersebut bagi kenderaan jenis motosikal. Namun apabila sampai ke tempat ‘pick-up’, rupa-rupanya dia dipanggil untuk bawa dua individu dari Thailand ke destinasi ‘drop-off’! Dia walau bagaimanapun menolak pesanan tersebut.
Dalam masa sama, beberapa individu berkongsi pengalaman mereka menggunakan servis Bolt.
Mereka berkata masih belum banyak pemandu Bolt yang tersedia apabila menggunakannya pada hari kedua dilancarkan.
Mereka juga mendapati bahawa harga yang dipaparkan pada Bolt sebelum dipesan telah termasuk bayaran tol. Namun pecahan tambang hanya boleh dilihat selepas perjalanan selesai.
Seorang individu berkata pelancaran Bolt memberi lebih banyak pilihan buat pengguna. Namun baginya, harga bagi servis itu pasti akan menyamai syarikat e-hailing lain selepas beberapa tahun.
Untuk info lanjut berkenaan servis e-hailing oleh kedua-dua syarikat tersebut, layari laman web di:
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.