Now Reading
[Video] Pengerusi MARA Terjah MRSM Langkawi, Pintu Tandas Tercabut Ketika Disentuh

[Video] Pengerusi MARA Terjah MRSM Langkawi, Pintu Tandas Tercabut Ketika Disentuh

Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dia telah menerima aduan daripada ibu bapa yang meminta agar melakukan pemeriksaan mengejut di MRSM Langkawi.

https://www.tiktok.com/@drasyrafwajdi/video/7435655460608412936

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah asrama demi mendapatkan pendidikan yang dirasakan lebih berkualiti.

Dalam masa sama, keselesaan dan keselamatan anak-anak juga menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa tinggal jauh dari keluarga tercinta.

Sebelum ini, beberapa kali tular dewan makan menghidangkan makanan yang tidak selamat kepada murid-murid di asrama.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pengerusi MARA Terjah Kantin MRSM, Respon Tidak Profesional Pengusaha Kantin Buat Ramai Ternganga

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar MRSM Alami Keracunan Makanan Lepas Makan Telur Rebus ‘Buruk’ Di Dewan Selera


Ibu Bapa Buat Aduan Tentang Keadaan Di MRSM Menerusi Facebook

Terbaharu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@drasyrafwajdi) telah menerjah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi.

Menurut beliau, banyak aduan telah diterima daripada ibu bapa di Facebook antaranya tandas rosak yang dibiarkan tidak dibaiki, gangguan air yang dialami calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu serta dulang makanan yang tidak dibersihkan dengan betul.

Melihat kepada tangkap layar mesej yang diterima oleh pihaknya, salah seorang ibu bapa pelajar di MRSM tersebut meminta agar melakukan pemeriksaan atas institusi tersebut berhubung masalah keracunan makanan yang menimpa ramai pelajar.

Malah pelajar juga didakwa pernah dihidangkan dengan ayam dan ikan yang telah busuk.

Menerusi video yang dimuat naik, Dr Asyraf telah hadir ke MRSM Langkawi semalam (10 November) tanpa pengetahuan pihak pengurusan.


Pelajar Maklumkan Ada Yang Pernah Dapat Ikan Busuk

Sewaktu Dr Asyraf tiba di perkarangan institusi berkenaan, dia telah berjumpa dengan beberapa pelajar yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Salah seorang daripada mereka mengadu mengalami cirit-birit, manakala seorang lagi memaklumkan bahawa terdapat pelajar yang pernah mendapat ikan busuk.

Apabila ke dewan makan, beliau mendapati dulang makanan tidak dibersihkan sepenuhnya, sama seperti aduan ibu bapa pelajar.

Beliau juga telah melakukan pemeriksaan ke atas peti sejuk tempat simpanan makanan.

Dalam pada itu, Dr Asyraf telah melawat kawasan tangki air dibina yang bertujuan untuk memastikan bekalan air tidak terputus buat murid-murid, terutamanya dalam menghadapi SPM.

“Masalah air di Pulau Langkawi yang tiada berkesudahan juga menyebabkan pihak Majlis MARA dan Pengurusan telahpun meluluskan peruntukan khas bagi memastikan bekalan air tidak putus seperti penambahan penyediaan tong menyimpan air dan juga membiayai kos lori air SEDA,” maklumnya.


Tandas Di Asrama Rosak, Lampu Tak Berfungsi & Pintu Roboh

Sewaktu melakukan tinjauan di tandas di blok asrama, beliau mendapati banyak paip singki yang rosak dan tidak dapat digunakan. Terdapat juga tandas yang tidak mempunyai pintu dan pintu rosak sehingga terjatuh apabila dibuka.

Tambah Dr Asyraf, banyak lampu di tandas tersebut juga yang tidak berfungsi.

Beliau mengingatkan kepada pihak sekolah bahawa penyelenggaraan berkala perlu dijalankan ke atas tandas-tandas berkenaan.

Namun apabila beliau memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa banyak tandas telah rosak, dia diberitahu perkara itu terjadi kerana terdapat banyak murid-murid di asrama berkenaan.

“Sebab dia duk banyak tangan,” katanya memberi alasan.

“Masalahnya ada yang dekat setahun lebih dah. Bukan seorang, dua budak-budak yang cakap. Saya pergi tengok sendiri tu,” balas Dr Asyraf.


Dr Asyraf Uji Hafazan Pelajar

Dr Asyraf juga sempat bertemu dengan murid-murid yang sedang minum petang di dewan makan sekolah. Sewaktu bercakap kepada sekumpulan pelajar lelaki, beliau turut menguji tahap hafalan ayat al-Quran mereka.

Beliau juga sempat menasihati para pelajar di sana agar belajar bersungguh-sungguh dan menghormati para guru.

“Ternyata sebahagian aduan mereka ada kebenarannya. Berkali-kali saya pesan pada pihak pengurusan MRSM mahupun Institusi Pendidikan MARA lain termasuk IKM, KKTM, KPTM, UniKL dan lain-lain agar beri keutamaan permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti asas yang melibatkan kebajikan pelajar dan guru termasuk tandas, peralatan belajar, asrama, dan kelas-kelas,” katanya.


“Ingatkan MRSM Macam Deluxe Sikit, Rupanya…” – Pengguna TikTok

Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan oleh pihak pengurusan apabila ditanya soal tandas rosak.

“Banyak tangan. Memang la budak asrama berapa ratus masuk keluar tandas. Mudah betul jawapan,” kata seorang pengguna TikTok.

Ada juga yang terkejut melihat keadaan tandas di asrama MRSM berkenaan malah membandingkan keadaan itu dengan sekolah harian.

“Kalau tandas MRSM macam itu. Apa lagilah sekolah harian biasa,” katanya.

Seorang pengguna media sosial pula berkata murid-murid pasti serba salah untuk memberitahu perkara yang sebenar kepada Dr Asyraf sepanjang ditanya memandangkan terdapat guru bersama ketika itu.

Dalam pada itu, seorang individu mempersoalkan mengapa tandas di sana tidak dibaiki sedangkan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan bagi semua sekolah untuk tujuan tersebut.

Dia mempersoalkan juga jika MRSM tidak menerima peruntukan sedemikian.

Malah ada juga yang berseloroh meminta Dr Asyraf agar melakukan juga pemeriksaan mengejut ke atas Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Namun seperti yang kita semua sedia tahu, UPNM bukanlah terletak di bawah penguasaan pihak MARA.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pelajar Dedah Tandas Kolej Kediaman Kotor & Berkerak, Sanggup Tahan Dari ‘Lepaskan Hajat’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd