Tular Video 68 Pasangan Kembar ‘Catwalk’ Untuk Gucci Twinsburg Fashion Show, Macam Mana Boleh Jumpa?
Namun klip catwalk melibatkan 68 pasangan kembar itu adalah video lama semasa Milan Fashion Week (MFW) 2022.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kalau terjumpa kembar seiras, mesti korang akan ada masalah yang sama iaitu tak tahu nak membezakan mereka berdua lebih-lebih jika sama jantina. Maklumlah, paras rupa mereka dikatakan hampir 100% serupa.
Tapi walaupun rupa paras fizikal dikatakan hampir 100% serupa, pasti akan ada perbezaan dari segi perwatakan dan personaliti.
Siapa sangka keunikan ini boleh memberi peluang kerjaya kepada seseorang terutamanya dalam bidang permodelan.
Jenama Gucci Ambil 68 Pasangan Kembar Seiras Di Serata Dunia Sebagai Model Pertunjukan Fesyen
Baru-baru ini, tular sebuah video dimuat naik di laman TikTok (@xfashionworld) memperlihatkan satu pertunjukan fesyen oleh jenama mewah Gucci yang cukup unik berbanding kebiasaan.
Di dalam video itu, Gucci telah menampilkan 68 pasangan kembar seiras dari seluruh dunia untuk dijadikan sebagai model bagi memperagakan pakaian mereka. Memang ikonik sungguh!
Kalau korang perhatikan dengan teliti, muka setiap pasangan kembar itu memang seiras betul dan agak sukar untuk membezakan antara kedua-duanya.
Bila mereka mengenakan pakaian sama ketika pertunjukan fesyen tersebut, lagilah sukar untuk mengenal pasti identiti mereka.
Video memperlihatkan keunikan dalam ‘fashion show’ Gucci ini meraih tumpuan ramai sehingga mendapat 4.3 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Ramai Teruja Lihat Kembar Seiras Seluruh Dunia Jadi Model Gucci
Perkongsian video itu telah membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana jenama itu boleh menjumpai beberapa pasangan kembar seiras berkenaan.
Apa yang menarik perhatian ramai netizen adalah mereka semua kelihatan profesional seolah-olah sudah lama bergelar model. Cara jalan pun sama ya!
Masyarakat turut berpendapat bahawa pertunjukan fesyen berkenaan adalah sesuatu yang cukup genius dan ikonik.
Video Berkenaan Adalah Video Lama Sewaktu Milan Fashion Week
Namun untuk pengetahuan semua, video tersebut adalah video lama iaitu ketika Milan Fashion Week (MFW) 2022.
Ia dinamakan ‘Twinsburg SS23 Show’ iaitu persembahan catwalk khas melibatkan 68 pasangan kembar, lapor ELLE.
Persembahan yang diaturkan oleh Pengurus Kreatif Gucci pada ketika itu, Alessandro Michele adalah diinspirasikan daripada ibunya yang juga mempunyai pasangan kembar.
Macam Mana Jenama Gucci Boleh Jumpa Semua Pasangan Kembar Ini?
Mesti korang pun tertanya-tanya, bagaimana jenama mewah ini boleh mencari kesemua pasangan kembar ini?
The Guardian melaporkan bahawa Gucci menghantar sekumpulan pekerjanya secara senyap-senyap ke Twins Day iaitu sebuah konvensyen tahunan kembar yang berlangsung di Twinsburg, Ohio untuk membuat ‘connection’.
Sleek Magazine turut sempat menemu ramah salah satu pasangan kembar tersebut dan menceritakan pengalaman sebelum dipilih sebagai model Gucci.
Ketika menerima e-mel daripada pihak Gucci, mereka berulang kali memberitahu bahawa dia bersama pasangan kembarnya tidak mempunyai pengalaman sebagai model.
Namun, pihak jenama mewah itu tetap mahu berjumpa secara bersemuka dengan 220 pasangan kembar seiras di sebuah hotel sebelum akhirnya memilih 68 pasangan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.