“Patutlah Mahal” – Orang Ramai Terpesona Lihat Corak ‘Rahsia’ Dalam Pasport Malaysia
Sebaik menggunakan lampu jenis UV itu, corak bangunan-bangunan dalam halaman pasport Malaysia lebih terserlah dengan warna kuning kehijauan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali nak melancong ke luar negara, benda pertama yang akan ramai orang buat adalah menyemak tarikh luput pasport dan menyemak jika masih ada halaman kosong.
Kalau korang perasan, pasport Malaysia ini sememangnya menggambarkan budaya di negara kita dengan adanya corak seperti bunga raya dan beberapa bangunan bersejarah.
Tetapi ada satu lagi keunikan pada dokumen ini yang tak ramai orang tahu.
Pasport Muncul Dengan Corak Unik Di Bawah Lampu Cahaya UV
Menerusi video dimuat naik di laman X (@localrkyt), seorang individu menunjukkan corak ‘rahsia’ yang terdapat pada pasport Malaysia.
Sebelum menyelak setiap halaman, individu berkenaan telah membuka satu jenis lampu dipercayai jenis UV untuk mendedahkan corak hiasan pada dokumen berkenaan.
Hiasan tersembunyi yang dimaksudkan adalah bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia dan ianya berbeza bagi setiap helaian.
Namun semua corak ini hanya akan terserlah di bawah cahaya lampu UV.
Jika dilihat dengan mata kasar tanpa adanya lampu berkenaan, gambar-gambar bangunan tersebut hanya dilihat seperti tenggelam dengan corak bunga.
Namun dengan menggunakan lampu istimewa itu, corak bangunan itu lebih menyerlah dan ‘timbul’ dengan warna kuning kehijauan.
Baru tahu, cantik rupanya setiap helaian pasport Malaysia ni kan?
Patutla buat passport mahal 😅 pic.twitter.com/wai3iyGwey
— 🇲🇾 (@localrkyt) November 7, 2024
Masyarakat Teruja Lihat Kecantikan Corak Pada Halaman Pasport Malaysia
Perkongsian menarik itu membuatkan pengguna media sosial teruja kerana rata-rata daripada mereka baru mengetahui tentang keunikan pada pasport Malaysia itu.
Siap ada yang bergurau kononnya sanggup untuk membuat pasport semata-mata untuk melihat corak unik tersebut.
Pada masa yang sama, netizen juga mula menyedari mengapa harga untuk membuat pasport agak mahal.
“Patutlah mahal, rupa-rupanya bayar untuk servis premium,” kata pengguna X.
Selain itu, segelintir netizen pula mengatakan bahawa corak unik itu sebenarnya adalah ciri-ciri keselamatan bagi membezakan sama ada sesebuah pasport itu palsu atau tidak.
“Bukan saja-saja. Ini untuk keselamatan. Membezakan yang benar atau palsu,” kata seorang pengguna media sosial.
Carian kami mengesahkan perkara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Memetik JIM, setiap halaman mempunyai ciri keselamatan tambahan dan pengesahan dari segi ketulenan yang hanya didedahkan melalui cahaya ultra violet (UV).
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu berkata langkah penambahbaikan ciri keselamatan diambil bagi mengelakkan pasport tiruan atau palsu digunakan pihak penyeludup dan pendatang asing yang sering menukar ciri-ciri tertentu dalam pasport negara.
Jelas seorang lagi netizen yang mendakwa dirinya bekerja di bahagian pemeriksaan pasport, dokumen penting dari Malaysia ini antara yang terbaik dan syarat untuk membuatnya juga agak ketat berbanding negara lain.
“Sebagai orang yang hari-hari tengok dan pegang pasport dari serata dunia, Malaysia punya pasport antara yang terbaik dan syarat untuk buat pasport kita agak tegas berbanding yang lain. Contoh gambar pasport. Ada negara yang gambar dia tak pandang kamera pun boleh lepas,” ujar netizen.
Pasport Malaysia Ke-12 Paling Berkuasa Di Dunia
Majlis Keselamatan Negara pada Julai lalu memaklumkan bahawa pasport Malaysia kini berada pada kedudukan ke-12 paling berkuasa di dunia.
Berdasarkan laporan Indeks Pasport Henley 2024, Malaysia berkongsi kedudukan dengan Cyprus dan Liechtenstein.
Pencapaian tersebut sekaligus menunjukkan peningkatan positif selepas pasport negara kita sebelum ini berada di kedudukan ke-14 pada tahun 2023 dengan skor 179.
Sebagai info, pasport Malaysia pernah menduduki tempat kelapan pada tahun 2014.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.