Now Reading
Pengguna Waze Seluruh Dunia Lapor Aplikasi Berubah Ke Bahasa Hebrew

Pengguna Waze Seluruh Dunia Lapor Aplikasi Berubah Ke Bahasa Hebrew

Carian kami pada hari ini bagaimanapun mendapati tiada lagi masalah perubahan bahasa yang berlaku di aplikasi Waze.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sistem Kedudukan Sejagat atau GPS merupakan fungsi yang berguna bagi membantu orang ramai mencari jalan untuk ke suatu tempat terutamanya apabila memandu kenderaan.

Antara jenama GPS yang terkenal dan banyak digunakan di dalam negara adalah Google Maps, Apple Maps, Garmin dan Waze.

Bagi aplikasi Waze, pengguna boleh melakukan pemilihan bahasa selain Inggeris termasuklah Bahasa Melayu.


Wanita Kongsi Tulisan Pada Aplikasi Waze Bertukar Ke Bahasa Hebrew

Semalam, tular satu hantaran di X (@wnaidanz) oleh seorang wanita yang berkongsi bahawa tulisan dalam aplikasi Waze yang digunakan olehnya tiba-tiba bertukar menjadi bahasa Hebrew.

Melihat pada paparan tangkap layar yang dimuat naik, kesemua bahagian di dalam aplikasi tersebut adalah dalam bahasa Hebrew kecuali nama jalan.

Perkongsian itu telah meraih sekitar 767 ribu tontonan setakat artikel ini ditulis. Di ruangan balas, orang ramai turut berkongsi bahawa mereka juga mengalami masalah yang sama.


Masalah Perubahan Bahasa Pada Waze Berlaku Di Seluruh Dunia

Masalah perubahan pada bahasa dalam Waze bukan sahaja dialami di Malaysia, tetapi di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Arab, Portugal, Perancis dan Sepanyol.

Terdapat juga pengguna berkata aplikasi Waze yang digunakan mereka turut bertukar ke bahasa lain seperti Arab, Perancis dan Sepanyol.

Malah, bagi beberapa individu lain, masalah itu turut menyebabkan gangguan pada mod siang atau malam, kiraan jarak di peta serta icon kereta.

Sesetengah pengguna memaklumkan bahawa mereka telah memadam aplikasi berkenaan sebelum memasangnya semula di dalam peranti masing-masing untuk menyelesaikan isu tersebut. Namun masalah itu tetap berulang kembali.

https://twitter.com/wnaidanz/status/1854126106049495087
https://twitter.com/aviador65jazz/status/1854126076340891743
https://twitter.com/alexonline888/status/1854143350578012318

Timbul Spekulasi Waze Digodam

Melihat keadaan ini, terdapat pengguna X yang membuat spekulasi ia mungkin terjadi disebabkan oleh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia bercadang untuk mencadangkan resolusi bagi menyingkirkan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, ada juga yang mempercayai bahawa aplikasi tersebut telah digodam dan segera memadamkannya daripada peranti mereka.

Dalam pada itu, beberapa individu menegaskan bahawa Waze merupakan produk Israel yang tidak sepatutnya digunakan lagi.

Untuk info, aplikasi Waze (Waze Mobile Ltd) telah dibangunkan oleh sebuah syarikat di Israel pada 2008 dengan nama FreeMap Israel ketika itu. Ia kemudiannya diambil alih Google pada 2013.

https://twitter.com/KhabirM/status/1854139114695836036

“Waze Alami Masalah Pepijat Dalaman” – Jurucakap

Seorang jurucakap bagi syarikat Waze walau bagaimanapun menyangkal dakwaan aplikasi itu digodam dan memaklumkan bahawa ia disebabkan oleh pepijat dalaman (internal bug).

“Kami menyedari isu yang memberi impak kepada pilihan bahasa pengguna Waze dan sedang bekerja untuk menyelesaikannya dengan cepat,” katanya dipetik The Sun.

Semakan kami pada hari ini mendapati tiada lagi masalah sedemikian yang berlaku di aplikasi Waze.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd