Individu Kongsi 10 Kajian Tentang Siti Nurhaliza Yang Dihasilkan Penyelidik Dalam & Luar Negara
Salah seorang penyelidik yang menghasilkan kajian tentang Siti Nurhaliza adalah Profesor Bart Barendregt dari Leiden’s Institute of Cultural Anthropology and Sociology.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Para penyelidik sering menjalankan kajian bagi memahami tentang sesuatu perkara atau ilmu dengan lebih mendalam.
Malah, kajian sedemikian turut dijalankan ke atas individu yang dikenali ramai, terutamanya tokoh dalam sesuatu bidang, termasuklah pengkarya seni.
Sudah tentu penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, juga tidak dikecualikan daripada menjadi subjek kajian bidang nyanyian, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga oleh penyelidik dari negara-negara luar.
10 Kajian & Penerbitan Melibatkan Siti Nurhaliza
Satu akaun di laman X (@h4ll4nd) yang sering berkongsi mengenai Siti Nurhaliza menyenaraikan pelbagai kajian yang telah dijalankan tentang tokoh tersebut.
#1. Princess Siti and the Particularities of Post-Islamist Pop
Bart Barendregt yang merupakan seorang Profesor Antropologi Digital di Leiden’s Institute of Cultural Anthropology and Sociology telah menghasilkan buku bertajuk ‘Vamping the Stage’.
Namun, di dalam buku tersebut, terdapat satu topik khas tentang Siti. Malah, penyanyi itu turut digelar sebagai ‘Princess Siti’ dan gambarnya dipilih bagi kulit buku tersebut.
Bart turut berkata Siti mungkin seorang diva Asia Tenggara terlaris berbanding sesiapa sahaja.
#2. Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin As Human Brand: Idol Attachment And Loyalty Amongst Young Consumers
Profesor Madya Dr Thoo Ai Chin dari Universiti Teknologi Malaysia merupakan pengarang koresponden bagi satu kajian tentang Siti di Asia International Multidisciplinary Conference 2017.
Dia bersetuju bahawa tokoh dalam bidang muzik itu boleh dipertimbangkan sebagai sebuah ‘human brand’.
#3. Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin: Biduanita Mahligai Permata Nusantara
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik negara, pasti tahu bahawa terdapat pihak yang mencadangkan gelaran Biduanita Negara buat Siti.
Inilah yang turut dikaji oleh Dr Mohd Hariz Shah dari Universiti Utara Malaysia yang menganalisis Siti sebagai Biduanita Negara.
Artikel jurnal ini baru sahaja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Ogos lalu.
#4. Malaysian Web Search Engines: A Critical Analysis
Berdasarkan satu kajian oleh Prof Dr Kiran Kaur dan Hananzita Halim dari Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya pada 2006, Siti merupakan individu kedua yang paling banyak dilakukan carian Google di Malaysia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tahun itu.
Malah, Siti berada di tempat ke-12 keseluruhan bagi pertanyaan yang dilakukan menerusi carian Google.
#5. Unsupervised Discovery of Biographical Structure from Text
Dalam satu kajian yang dilakukan Carnegie Mellon University, nama Siti turut dibangkitkan atas kejayaannya mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall di London pada 2005.
Malah, dapatan mendapati konsert tersebut sebagai salah satu acara yang mempunyai kebarangkalian posterior tinggi (high posterior probability).
Menurut pengguna X, dapatan tersebut merupakan sebahagian daripada kajian ‘Unsupervised Discovery of Biographical Structure from Text’ yang dilakukan oleh dua penyelidik David Bamman dan Noah A. Smith.
#6. Composing Malaysian Music for the Orchestra in the Early 21st Century
Siti turut menjadi antara salah seorang tokoh muzik tanah air yang dianalisis dalam sebuah kajian tesis di Middlesex University, London.
Penyelidik Isabella Pak berkata Siti merupakan penyanyi paling penting dalam ‘Konsert Raja & Rakyat Tiada Berpisah’ berdasarkan kepada jualan album tertinggi dan kemenangan anugerah dalam industri hiburan.
#7. Constructing a sustainable great performer framework for vocal guide in the Malaysian music industry
Komposer terkenal tanah air, Dr Mohd Azhar bin Abu Bakar yang lebih dikenali sebagai Dr Azmeer, turut menyebut nama Siti Nurhaliza dalam tesisnya.
Dia telah menemubual Siti dan membincangkan ‘signature tone’ dan ’emulator’ dari teknik vokal penyanyi itu di dalam tesisnya.
Dr Azmeer sendiri pernah menghasilkan lagu untuk Siti antaranya ‘Purnama Merindu’ dan ‘Mekar Hari Raya’.
#8. Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif
Malah, terdapat juga penyelidik yang menjalankan analisis ke atas lirik lagu-lagu Siti.
Sebagai contoh, satu kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2021 melakukan analisis semantik inkuisitif ke atas lirik ‘Jaga Dia Untukku’ dan ‘Seluruh Cinta’ yang merupakan lagu terkini ketika itu.
Hasil kajian mendapati kedua-dua lagu tersebut sememangnya mempunyai bahasa kiasan yang menjadi mesej dan makna yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat.
#9. Satu Tinjauan Muzikologi Lagu Melayu Asli
Ini merupakan sebuah buku tentang muzikologi lagu Melayu asli yang diterbitkan oleh para penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Nama Siti Nurhaliza telah dinyatakan sebanyak tujuh kali dengan lagu ‘Damak’ dan ‘Patah Hati’ menjadi antara lagu yang dianalisis.
#10. Wisdom and Islamic Thoughtsin the Lyrics of Siti Nurhaliza’s Hari Raya Songs
Dr Abd Ganing Laengkang dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya bersama penyelidik dari University of Andalas, Indonesia telah menjalankan analisis ke atas lirik lagu di dalam album ‘Anugerah Aidilfitri’ oleh Siti Nurhaliza.
Mereka merumuskan bahawa kesemua lagu raya yang dikaji mempunyai sepuluh pemikiran dan nilai Islam termasuk monoteisme, bersyukur, keikhlasan dan penyucian jiwa.
Malah mereka berkata lirik lagu di dalam album Anugerah Aidilfitri itu dapat membantu individu dalam mengejar dunia dan akhirat.
Siti Nurhaliza Artis Asia Ke-3 Adakan Konsert Di Royal Albert Hall
Sebagai info, Tokti merupakan artis Asia ketiga dalam sejarah yang pernah mengadakan konsert di Royal Albert Hall sejak 1871.
Walaupun pendidikannya hanya sehingga peringkat sekolah menengah, tokoh penting negara itu kini memegang pelbagai jawatan dalam bidang pendidikan termasuk:
- Pakar dalam Voice Instrument (UMCCED)
- Tokoh Karyawan Muda (USM)
- Penasihat Antarabangsa (LimKokWing)
- Duta Suara University
- Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pintar & ASWARA
Dari 2015 hingga 2022, Siti turut mendapat penghormatan apabila tersenarai sebagai 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia berikutan sumbangannya dalam bidang Kebudayaan dan Kesenian.
Malah,Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun lepas mendedahkan bahawa Siti Nurhaliza merupakan pembayar zakat tertinggi bagi kategori penyanyi tempatan.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Kejayaan Siti Nurhaliza Sebagai Bukti Beliau Layak Digelar ‘Biduanita Negara’
Baca Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Pembayar Zakat Tertinggi Sebagai Penyanyi, Tak Culas Sejak 2019
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Saya Bagi Sedekah RM100, Esoknya Saya Dapat Rezeki RM100,000” – Siti Nurhaliza
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.