Ancom Nylex Sediakan Tempat Tinggal Buat Kucing Jalanan
Menurut Edlyn Cheah yang memulakan insiatif tersebut, kucing-kucing jalanan yang diselamatkan akan dijaga dan ditempatkan di sebuah kawasan kecil di belakang pejabat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kucing yang tidak bertuan dan berkeliaran di jalanan terdedah kepada bahaya dan kecederaan. Malah, kucing sedemikian yang kebiasaannya tidak dimandulkan akan menghasilkan lebih banyak kucing jalanan lain.
Lebih teruk lagi apabila terdapat pula individu tidak bertanggungjawab yang membuang atau tidak mensterilkan kucing peliharaan mereka sehingga jumlah si bulus di jalanan semakin meningkat.
Namun ada juga pihak yang menggalas tanggungjawab demi menyelamatkan kucing-kucing jalanan, walaupun terpaksa menggunakan wang sendiri.
Ancom Nylex Selamatkan Kucing Jalanan
Inilah yang dilakukan oleh syarikat Ancom Nylex yang terletak di Petaling Jaya dalam satu inisiatif terhadap kucing jalanan yang berada di kawasan tersebut.
Menyedari jumlah kucing liar yang semakin meningkat di kawasan itu, seorang kakitangan syarikat, Edlyn Cheah, memulakan inisiatif untuk menyelamatkan mereka.
Dia menganggap bahawa menghubungi pihak majlis bandaraya tidak akan menyelesaikan masalah itu.
Cheah sedar bahawa kesemua kucing dan anak kucing di situ kelihatan sakit walaupun diberi sedikit penjagaan oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tersebut.
Berasa kasihan dengan keadaan itu, dia berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh membawa faedah buat semua pihak.
Belanja RM1,600 Untuk Hasilkan Ruangan Khas Bagi Kucing Jalanan Di Belakang Pejabat
Kini, matlamat mereka bukan hanya untuk meningkatkan kehidupan kucing-kucing jalanan tersebut.
Sebaliknya, mereka turut ingin menjadi inspirasi kepada perniagaan dan individu lain agar mengambil bahagian dalam mewujudkan komuniti masyarakat yang lebih penyayang.
Berkat usaha dan kegigihan Cheah, dia akhirnya mendapat sokongan pihak pengurusan yang membawa kepada pelancaran projek Environment, Social & Governance (ESG) sulung syarikat yang membabitkan kebajikan haiwan bulan lalu.
Berbekalkan RM1,600, Cheah dan rakan sekerjanya mewujudkan sebuah kawasan kecil di belakang pejabat untuk kucing-kucing jalanan hanya dalam masa sebulan.
Mereka telah membeli sangkar yang lebih elok, bekas makanan dan minuman, permainan, makanan kucing dan bekas pasir kucing demi mewujudkan tempat yang selesa bagi kucing.
Bukan itu sahaja, malah Cheah turut memastikan kesemua kucing itu disunatkan. Sesetengah kucing yang memerlukan rawatan perubatan telah dirawat sehingga kembali sihat.
Salah satu perubahan besar yang dapat dilihat adalah apabila seekor kucing yang dahulunya kehilangan bulunya kini mempunyai bulu yang berkilat selepas dijaga dengan begitu bagus.
Pengawal Keselamatan & Pekerja Bergilir Menjaga Kucing
Cheah juga memberi kredit kepada seorang pengawal keselamatan, Nanda, dan Ketua Reka Bentuk, Azrul, yang bergilir membantu untuk menjaga kucing di sana dengan membersihkan kandang mereka setiap hari.
Melihat Nanda bersikap lemah-lembut dengan kucing-kucing yang diselamatkan itu sememangnya mendatangkan kegembiraan. Tindak-tanduknya tidak ubah seperti seorang ‘cat whisperer’ apabila kucing paling garang pun akan menjadi manja apabila berinteraksi dengannya.
Cheah sama sekali tidak menyangka bahawa projek mini itu juga dapat membantu rakan sekerjanya untuk mendapatkan ketenangan ketika waktu rehat.
Mereka akan bermain dengan dan menyaksikan telatah lucu kucing-kucing jalanan itu sebelum kembali bekerja.
Bermula dengan hanya empat ekor kucing, kini terdapat sembilan lagi si bulus yang berada di bawah jagaan mereka.
Daripada kesemua kucing itu, hanya seekor kucing betina digelar ‘Ashley’ yang dibiarkan merayap setiap hari kerana dia sudah biasa bebas. Dia akan kembali ke sebuah sangkar yang dibiarkan terbuka untuknya serta dibekalkan dengan air dan makanan.
Kesemua kucing akan dikeluarkan daripada kandang mereka oleh Nanda pada hujung minggu sahaja supaya tidak mengganggu sesiapa yang bekerja di sana pada hari biasa.
Orang Ramai Boleh Adopt Kucing Yang Diselamatkan
Jika anda seorang pencinta kucing yang sejati, pasti anda tahu lebih baik untuk mengambil dari jalanan daripada membeli mereka. #adoptdontshop
Cheah berkata mereka yang berminat dialu-alukan untuk berkunjung ke sana dan mengambil kucing yang diselamatkan. Orang ramai juga boleh datang untuk bermain dan menjaga si bulus di sana.
Tambahnya lagi, mereka kini membelanjakan wang sebanyak RM200 sebulan untuk membeli makanan kucing. Oleh itu, sebarang tajaan makanan kucing akan amat membantu.
Jika anda berminat untuk menaja makanan kucing atau sebarang keperluan lain, atau untuk mengambil kucing di sana, Cheah boleh dihubungi di talian +60172644117.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.