“Starting To See More Proton & Perodua” – Komen Lelaki Ini Di Google Maps Dikecam Ramai
Individu yang dikenali sebagai Robert Ng itu juga berharap agar kumpulan B40 tidak membanjiri Sunway 163 Mall setelah perubahan pada namanya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Terdapat pelbagai pusat beli-belah yang dibina di seluruh negara, terutamanya kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, yang bertujuan untuk menjadi tempat tumpuan orang ramai.
Masyarakat tidak kira latar belakang kerap membanjiri pusat beli-belah pada hujung minggu bagi meluangkan masa bersama keluarga, sama ada menjamu selera, membeli-belah atau menonton wayang.
Namun ada pula individu yang merasakan sesetengah pusat beli-belah sepatutnya hanya dibuka bagi golongan tertentu dan mengecualikan kumpulan lain termasuk mereka dari keluarga B40.
Lelaki Harap Pusat Beli-Belah Tidak Dibanjiri Kumpulan B40
Satu hantaran yang tular di laman X (@chairmanGLC) berkongsi tangkap layar review yang dilakukan di Google Maps.
Seorang individu dikenali sebagai Robert Ng berkata dia kecewa melihat pusat beli-belah 163 Retail Park di Mont Kiara kini membawa jenama Sunway.
Katanya, nama asal pusat beli-belah itu kedengaran lebih mewah dan dia berharap agar kumpulan B40 tidak membanjiri kawasan itu setelah perubahan pada namanya.
Malah dia juga meluahkan rasa risau apabila mula melihat lebih banyak kereta jenama tempatan iaitu Proton dan Perodua yang dipandu di kawasan tersebut.
“Next Gathering Spot For Proton & Perodua Owner’s” – Pengguna X
Melihat kepada perkongsian tersebut, orang ramai sudah tentunya berasa kurang senang dengan apa yang dikatakan oleh Robert.
Ada yang berseloroh (atau mungkin juga serius) mahu membawa kereta berjenama tempatan mereka ke pusat beli-belah terbabit supaya Robert berasa jengkel.
“Kalau dia nampak Perodua aku kat sana, mesti dia tangkap gambar dan viralkan,” kata seorang pengguna X.
Malah ramai juga yang berkata bahawa kereta jenama tempatan tidak semestinya hanya dipakai oleh mereka dari golongan B40. “Ada jutawan naik Proton Wira je kot!” kata seorang individu.
Seorang individu mengecam personaliti Robert yang kuat membenci hanya kerana dia merasakan dirinya kaya. Namun ada juga yang beranggapan lelaki itu bukanlah seorang yang kaya dengan berkata, “Ramai je orang kaya sempoi hidup”.
163 Retail Park Dijenamakan Semula Sebagai Sunway 163 Mall
Dalam pada itu, segelintir pengguna X turut menerangkan tentang penjenamaan semula pusat beli-belah itu kepada Sunway yang mungkin terjadi akibat tidak ramai ‘orang kaya’ yang melawatnya sebelum ini.
Untuk makluman, 163 Retail Park telah diperolehi oleh Sunway REIT Management Sdn Bhd sepenuhnya pada bulan lalu dan dijenamakan semula sebagai Sunway 163 Mall.
“Jenama Sunway bukannya benda yang buruk. Semua pusat beli-belah di bawah Sunway adalah bagus dan mempunyai jenama mewah,” seorang wanita berkongsi pendapatnya.
Berdasarkan laman web Sunway Malls, kini terdapat lapan pusat beli-belah di bawah jenama tersebut iaitu:
- Sunway Pyramid, Selangor
- Sunway Velocity, Kuala Lumpur
- Sunway Carnival, Pulau Pinang
- Sunway Putra, Kuala Lumpur
- Sunway Big Box, Johor
- Sunway 163, Kuala Lumpur
- Sunway Giza, Selangor
- Sunway Citrine, Johor
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.