[Video] Lelaki Berang, Dakwa Pemilik Bezza Selamba Buang 2 Kucing Depan Kedai
Difahamkan, dua ekor kucing itu telah dibuang di hadapan kedai barangan haiwan dipercayai sekitar Jalan Rampai Niaga, Kuala Lumpur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, banyak pula kes melibatkan individu yang bertindak membuang haiwan peliharaan mereka khususnya di tempat awam. Lebih teruk lagi apabila mereka meninggalkan haiwan itu di tempat berbahaya.
Seperti sebelum ini, empat individu didakwa membuang dua ekor kucing di kawasan terbiar. Walaupun sudah dimaklumkan bahawa kucing dibuang di lokasi tersebut berisiko untuk diracun atau dilanggar oleh kenderaan lain, mereka dilihat seakan tidak kisah dengan maklumat tersebut.
Tidak terhenti di situ, ada juga kes di mana seekor anak kucing yang berada dalam sebuah beg sangkar haiwan dicampak keluar dari sebuah kereta dipercayai milik tuannya. Anak kucing itu kemudian ditinggalkan di tepi jalan begitu sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Bengang Lihat Individu Buang Kucing Atas Alasan ‘Tak Larat Nak Bela’ [Video]
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anak Kucing Didakwa Dicampak Keluar Dari Kereta Bikin Ramai Sebak
Pemilik Bezza Didakwa Buang 2 Kucing Depan Kedai Haiwan
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang lelaki dikenali sebagai Alif Syahir (@syahir97) meluahkan rasa berang terhadap individu tidak bertanggungjawab yang bertindak membuang kucing peliharaan.
Dakwa Alif, pemilik sebuah kereta jenis Perodua Bezza telah membuang dua ekor kucing berwarna kelabu di hadapan kedai barangan haiwan miliknya dipercayai sekitar Jalan Rampai Niaga, Kuala Lumpur.
“Kau kalau tak mampu jangan bela kucing!” kata Alif dalam video tersebut.
Alif yang kasihan terhadap nasib si bulus, berasa pelik mengapa individu tersebut sampai hati untuk membuang kucing yang mempunyai bulu yang sangat cantik.
Lelaki ini dalam masa sama meluahkan rasa sedih melihat kucing-kucing yang ditinggalkan dalam keadaan badan yang kurus seolah-olah tidak cukup makan.
Dalam klip berkenaan, kelihatan dua ekor kucing itu diletakkan di dalam sebuah sangkar di dalam kedai berkenaan. Difahamkan, Alif juga akan menjaga kucing-kucing itu buat sementara waktu.
@syahir97 Manusia dari neraka jahanam. Area sri rampai No flat kereta manusia ni VJX 4438 Hidup dah miskin jangan belagak nak bela haiwan. #fyp #virał #buangkucing #srirampai #fyp #fypage #fypp #page #pageforyou #cat #catlover #catvideo #catviral #pageforyou🦋 #pageviral #tiktokviral #pageforyou_🔥 #fyppppppppppppppppppppppp ♬ APT. – ROSÉ & Bruno Mars
Ramai Rasa Hiba Lihat Nasib Kucing-kucing Yang Dibuang
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut meluahkan rasa kasihan terhadap kucing-kucing yang dibuang di tempat lain oleh pemiliknya.
“Kesiannya. Sampai hati diaorang buang ya. Benci golongan pembuang kucing. Semoga Allah balas setiap perbuatan manusia yang tiada hati buang kucing sesuka hati ni,” kata seotang individu.
Malah ada juga segelintir yang berkata mereka tidak akan tergamak untuk membuang kucing peliharaan walau sesulit mana pun keadaan pada ketika itu.
“Biar susah macam mana pun aku tak akan buang haiwan-haiwan aku,” kata seorang wanita.
Ramai juga yang mendakwa bahawa individu tersebut mungkin membuang kucing-kucing jirannya.
Sementara itu, ramai juga berharap agar Alif membuang laporan kepada pihak berkuasa atas kesalahan pemilik Bezza yang bertindak membuang haiwan berkenaan.
“Kalau ada bukti yang dia buang kucing tu boleh buat laporan. Sebab dah ada akta pasal buang kucing ni. Boleh dikenakan tindakan,” jelas seorang pengguna TikTok.
Kesalahan Buang Kucing Boleh Dipenjara Maksimum 3 Tahun
Untuk info, perbuatan membuang kucing dikira sebagai satu kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman penjara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr Muhammad Safaruddin Md Dawam berkata, tindakan membuang atau meninggalkan kucing walaupun dengan alasan haiwan berkenaan bukan milik mereka merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Di bawah Seksyen 29(1)(p), akta terbabit menjelaskan bahawa meninggalkan haiwan di suatu tempat sehingga menyebabkan trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit merupakan satu kesalahan.
Manakala Seksyen 29(1)(r) pula menetapkan pemilik sama ada sengaja ataupun tidak, telah melakukan kesalahan jika membiarkan haiwan yang berpenyakit, tidak berupaya atau cedera, mati di mana-mana.
Individu boleh dikenakan denda RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Buang Kucing? Ini Penjelasan Pegawai Agama
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram