[Video] Beruang Guling Atas Lebuhraya Di Terengganu, Dipercayai Sedang Tahan Sakit Selepas Dilanggar
Insiden beruang matahari yang dilanggar kenderaan ini berlaku di Kilometer (km) 422, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kalau anda perasan, sudah banyak haiwan liar yang kini mula kelihatan di kawasan terbuka berkemungkinan disebabkan oleh habitat mereka yang diceroboh individu tidak bertanggungjawab.
Lebih membimbangkan lagi apabila binatang ini muncul secara tiba-tiba di kawasan jalan raya sehingga boleh mengakibatkan kemalangan melibatkan haiwn itu sendiri dan pemandu.
Bahkan, pernah juga wujud kes di mana seorang lelaki maut selepas dikejar dan dilambung ketika diserang oleh seekor gajah di Mersing, Johor pada September lalu.
Beruang Dilihat Berguling Kesakitan Atas Lebuh Raya Di Terengganu
Berbicara tentang hidupan liar, baru-baru ini tular sebuah video dimuat naik di laman TikTok (@wnurulhusna) yang memperlihatkan seekor beruang berwarna hitam yang berguling di atas lebuh raya dipercayai sedang menahan kesakitan.
Jika dilihat dengan teliti, beruang itu berkemungkinan telah dilanggar oleh kenderaan kerana terdapat serpihan objek yang pecah akibat dirempuh.
Kereta-kereta yang berada di kawasan berhampiran juga dilihat memperlahankan kenderaan mereka berikutan aksi haiwan itu yang berguling ke kiri dan kanan.
Memetik laporan Sinar Harian, insiden ini berlaku di Kilometer (km) 422, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
“Dari jauh, ingatkan ada ‘rider’ kena langgar sebab saiz dia besar, sama besar dengan manusia. Dah dekat baru perasan beruang. Dia cuba nak bangun, tapi tak dapat, mungkin patah ke apa,” ujar pemilik video.
Difahamkan, pemandu berkenaan juga segera menghubungi pihak LPT2 untuk menghantar bantuan dari peronda.
Ramai Tumpang Kesian Dengan Beruang Tersebut
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan netizen meluahkan rasa simpati selepas melihat keadaan beruang berkenaan yang berguling sambil menahan kesakitan selepas dikatakan dilanggar.
“Kesiannya dia. Saya lalu sini semalam, masa tu dia baru kena langgar depan mata. Tak sampai hati tengok,” kata pengguna TikTok.
Sesetengah masyarakat turut prihatin dan bertanya sama ada haiwan berkenaan telah diambil oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN) untuk diberikan rawatan.
“PERHILITAN dah ambil ke ? Kesiannya. Sakit betul tu sampai berguling-guling dia. Harap-harap dia sempat dirawat dan diselamatkan,” ujar netizen.
Pihak PERHILITAN Sedang Mencari Beruang Yang Dilanggar Itu
Mesti anda juga prihatin dengan nasib beruang itu kan?
Sebagai info, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, enam kakitangan jabatan itu telah ke lokasi kejadian sekitar jam 1.30 tengah hari semalam (3 November).
Namun beruang tersebut sudah tiada di tempat kejadian dan pihak PERHILITAN meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung haiwan itu untuk segera melaporkannya kepada mereka.
Apa Perlu Buat Jika Ternampak Haiwan Liar Berkeliaran Di Kawasan Awam?
Keberadaan haiwan liar seperti ular, harimau, babi hutan, kera dan sebagainya di kawasan orang awam boleh memberi risiko keselamatan kepada masyarakat.
Jadi jika anda terjumpa haiwan berkenaan di kawasan awam, segera hubungi pihak berkuasa berikut untuk membuat laporan. Antaranya:
- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
- Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia
- Unit Kawalan Haiwan Majlis Perbandaran
- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.