Wanita Sweden Dakwa Penduduk Kuala Lumpur Sentiasa Nampak Bahagia, Betul Ke?
Malah, wanita Sweden ini turut membandingkan masyarakat di negaranya yang dikatakan tidak kelihatan gembira seperti penduduk di Malaysia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila cakap pasal bahagia, setiap orang ada definisi yang berbeza.
Mungkin bagi sesetengah orang, bahagia itu bila mereka dapat menikmati hidangan yang dimasak oleh isteri atau dapat berjumpa dengan kekasih hati.
Suasana aman dan gembira itu bukan sahaja boleh diperolehi daripada seseorang, malah pengalaman dalam kehidupan juga diraih dengan cara melancong ke lokasi pilihan sama ada secara solo atau bersama rakan-rakan.
Wanita Sweden Tertanya-tanya Mengapa Penduduk Kuala Lumpur Selalu Gembira?
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@blondethinks), seorang pelancong wanita dari Sweden telah berkongsi pengalamannya ketika berada di Kuala Lumpur.
Namun sepanjang berada di Malaysia, ada satu perkara yang menarik perhatiannya iaitu dia berpendapat kebanyakan penduduk di Kuala Lumpur sentiada kelihatan gembira.
Malah, dia turut membandingkan masyarakat di negaranya yang dikatakan tidak kelihatan gembira sebagaimana di Malaysia.
“Adakah saya je yang perasan atau memang orang di Kuala Lumpur sentiasa gembira setiap masa?” soal wanita Sweden itu.
Ujarnya lagi, keadaan itu mula disedarinya semasa sedang makan malam di sebuah restoran dan tempat duduknya berada bersebelahan dengan sebuah keluarga besar.
Menurutnya, keluarga tersebut nampak cukup meriah dan gembira walaupun anak-anak mereka membuat bising serta melompat di merata tempat.
Gelagat si kecil yang dilihatnya itu membuat pelancong itu berasa ia sesuatu yang manis dan turut terhibur.
“Di Sweden, saya tak nampak kanak-kanak dan orang dewasa sama-sama macam ni. Dan mereka pun tak gembira macam orang di sini,” kata pengguna TikTok tersebut.
Ramai Rakyat Malaysia Beri Reaksi Selepas Baca Pendapat Wanita Sweden Ini
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen berkaitan pendapat pelancong wanita berkenaan yang mendakwa penduduk Kuala Lumpur sentiasa kelihatan gembira.
Segelintir masyarakat berpendapat bahawa mungkin rakyat Malaysia nampak bahagia kerana mempunyai banyak cuti umum melibatkan banyak perayaan dan sambutan.
“Kami ada bilangan cuti umum paling banyak. Saya sayang Malaysia,” kata netizen.
Namun ada juga penduduk media sosial yang menganggap faktor gaya hidup masyarakat yang berpegang teguh dengan agama dan tidak mengamalkan minuman alkohol menjadi punca kebahagiaan di Kuala Lumpur.
“Kami orang Melayu tak ‘minum’ sebab kami beragama Islam. Jadi kami cipta kebahagiaan sendiri. Cara ini lebih positif,” ujar pengguna TikTok.
Selain itu, wujud juga pendapat lain bahawa cuaca di sini turut memainkan peranan dalam mengawal perasaan bahagian masyarakat.
“Mungkin sebab kami tak ada cuaca yang sejuk melampau. Atau mungkin sebab makanan kami atau budaya kami yang sentiasa bersyukur,” kata netizen.
Betul Ke Rakyat Malaysia Gembira?
Pada tahun 2021 yang lalu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) mencatatkan skor 6.48.
Skor tersebut menunjukkan tahap ‘Bahagia’ rakyat Malaysia secara keseluruhan. Sebagai info, skor 10 adalah tahap yang paling tinggi.
Memetik laporan Sinar Harian, laporan MHI itu turut memaparkan bahawa Labuan sebagai negeri yang ‘Sangat Bahagia’ dengan skor 9.29.
Kuala Lumpur dan Putrajaya pula menunjukkan skor pada tahap ‘Bahagia’ manakala Selangor menunjukkan tahap ‘Sederhana Bahagia’.
Kajian MHI itu mengandungi 73 indikator yang dirangkumkan kepada 13 komponen iaitu:
- Keluarga
- Perumahan dan alam sekitar
- Penyertaan sosial
- Kesihatan
- Kemudahan komunikasi
- Pendidikan
- Persekitaran kerja
- Pendapatan
- Keselamatan awam
- Penggunaan masa
- Amalan kerohanian
- Kebudayaan
- Pengalaman emosi
Sebagai manusia, pasti kita semua mahukan kehidupan yang bahagia kan?
Semoga kita semua diberikan kemudahan dalam kehidupan untuk terus berasa gembira dan bersyukur dengan persekitaran bersama orang di sekeliling.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Duduki Tangga Kedua Di Asia Tenggara Sebagai Negara Paling Ramai Pekerja Tidak Gembira
Baca Artikel Berkaitan: Penduduk Selangor Paling Tak Bahagia Antara Semua Negeri, Labuan Paling ‘Happy’ – MHI 2021
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.