Now Reading
Ini Penerangan PHM Tentang Bunjut Kecil Di Kawasan Air Bertakung. Sihir Ke?

Ini Penerangan PHM Tentang Bunjut Kecil Di Kawasan Air Bertakung. Sihir Ke?

Bunjut-bunjut kecil tersebut kebiasaannya diletakkan di kawasan bertakung seperti tangki septik atau longkang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bunjut kecil merupakan sesuatu yang sinonim dengan sihir ataupun perkara khurafat.

Apabila menonton drama, mungkin anda perasan ada bungkusan bunjut yang ditanam di dalam tanah atau disorokkan di sekeliling rumah bagi tujuan sihir.

Namun, jangan terkejut jika anda benar-benar menjumpai beberapa bunjut-bunjut kecil ini di kawasan tertentu!


Bunjut Kecil Mengandungi Racun Abate Bagi Membunuh Jentik-Jentik

Menurut Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di akaun Facebook, bunjut-bunjut kecil yang diletakkan di kawasan bertakung seperti tangki septik atau longkang sebenarnya mengandungi racun abate.

Bunjut racun abate itu direka khas bagi membebaskan racun secara perlahan (slow release) ke dalam air.

Tujuan ia diletakkan di kawasan yang bertakung dengan air adalah bagi mengawal pembiakan nyamuk, lebih-lebih lagi semasa musim nyamuk Aedes.

PHM menerangkan bahawa racun tersebut akan larut sedikit demi sedikit. Pembebasan racun secara perlahan ini akan dapat memastikan nyamuk tidak dapat bertelur dan membiak di kawasan yang diletakkannya.

“Jika anda menemui bunjut seperti ini, ketahuilah ia adalah langkah kawalan vektor yang bertujuan menjaga kesihatan dan keselamatan kita semua,” katanya.


Selain Abate, BTI Juga Dapat Membunuh Jentik-Jentik

Menjenguk ke ruangan komen, ada yang mencadangkan agar bungkusan berbentuk bunjut itu dilabel sebagai racun agar diketahui oleh orang awam.

Namun ada yang berkata ia mungkin tidak sempat dilakukan kerana bunjut tersebut perlu dihasilkan dengan cepat bagi membanteras nyamuk, terutamanya ketika musim Denggi.

Seorang pengguna Facebook pula berkata racun sedemikian boleh dihasilkan sendiri. Menurutnya, hanya letakkan serbuk kayu dan abate atau BTI di dalam kain yang dipotong empat segi.

Seperti abate, BTI merupakan sejenis bakteria yang boleh membunuh jentik-jentik sebelum ia membesar. BTI ini tidak berbahaya kepada manusia.

Sumber gambar: PHM/ Facebook

Air Dicampur Abate Dengan Sukatan Tertentu Selamat Diminum

Merujuk kepada laman web BASF, abate merupakan sejenis racun larva dengan bahan aktif temephos yang berkesan dalam mengawal pembiakan pelbagai jenis serangga penyebab penyakit sebelum ia menetas.

Abate kebiaasannya digunakan di peringkat komuniti, dan dapat meningkatkan keberkesanan lain-lain kaedah kawalan penyakit, termasuk di dalam rumah.

Walaupun racun ini dapat membunuh larva, namun ia diluluskan untuk digunakan dalam air minuman dan turut dipraktikkan di Malaysia.

Pada tahun 2016, Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan ketika itu, Dr Rose Nani Mudin berkata air yang dicampur abate mengikut sukatan yang ditetapkan adalah selamat untuk diminum.

“Maka, antara langkah pencegahan, kita menggalakkan masyarakat menggunakan serbuk abate apabila menakung air kerana ia bertindak membunuh jentik-jentik, selain air tadahan yang telah dibubuh abate mengikut sukatan adalah selamat untuk diminum,” katanya.


Letakkan 1 Sudu Teh Abate Bagi 100 Liter Air Setiap 3 Bulan

Berdasarkan risalah Denggi oleh KKM, abate boleh diletakkan di dalam bekas mengandungi air yang tidak dapat dicuci seperti tangki air, tempayan, kolah air dan pasu bunga untuk membunuh jentik-jentik.

Ukuran abate yang biasa digunakan adalah 1 sudu teh (10 gram) bagi 100 liter air dan diletakkan ke dalam air setiap tiga bulan sekali atau apabila bekas dicuci.

Baca Artikel Berkaitan: Hadkan Penggunaan Racun Serangga! Boleh Beri Kesan Pada Perkembangan Saraf Kanak-Kanak

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Racun Beruk Gara-gara Masuk Ke Dalam Rumah? Ini Penjelasan UAI


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd