Murid Kantoi Bawa Vape & Telefon Ke Sekolah, Orang Ramai Puji Ibu Benarkan Pengetua Ambil Tindakan
Sebelum ini, satu pemeriksaan mengejut oleh pengetua mendapati murid terbabit membawa vape, telefon pintar dan power bank ke sekolah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Orang ramai pasti tidak boleh melupakan kisah ketika zaman sekolah apabila cikgu melakukan ‘spot check’ ke atas para pelajar.
Kalau anda bawa sesuatu yang dilarang, pasti terasa gementar ketika itu. Lebih-lebih lagi kerana barang yang dirampas seperti telefon bimbit selalunya akan disimpan sehinggalah ke akhir sesi persekolahan.
Bukan itu sahaja, sebenarnya lagi takut apabila sekolah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa. Siap sedialah apabila pulang ke rumah nanti!
Pemeriksaan Mengejut Dapati Murid Bawa Banyak Barang Larangan
Satu hantaran di TikTok (@akuinsanbiasa2712) yang dikongsikan semula dari Facebook seorang guru kaunselor, Abdul Muiez, menceritakan kisah seorang pengetua di sebuah sekolah menengah yang melakukan pemeriksaan mengejut ke atas anak muridnya.
Menurutnya, pengetua tersebut jarang-jarang sekali bertindak sedemikian. Dia menyifatkan murid terbabit agak tidak bernasib baik ketika itu.
Pada mulanya, murid itu ditegur kerana rambutnya yang dipercayai melanggar peraturan sekolah. Namun pengetua yang digelar sebagai Cikgu Idris itu, alang-alang turut memeriksa beg pelajar terbabit.
Alangkah terkejutnya apabila pelbagai barangan larangan yang dibawa iaitu vape, telefon pintar dan power bank.
Ibu Izinkan Cikgu Rampas Telefon & Rotan Anak
Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah reaksi ibu kepada pelajar terbabit apabila dihubungi oleh cikgu disiplin yang memaklumkan anaknya membawa telefon pintar dan vape ke sekolah.
“Eloklah cikgu rampas. Telefonnya tu, cikgu simpan je. Biarkan dia,” kata wanita itu.
Cikgu disiplin tersebut turut meminta izin untuk merotan pelajarnya atas kesalahan membawa vape dan diizinkan oleh ibunya. “Bagus cikgu. Buat saja apa nak buat,” tambah wanita terbabit.
Abdul Muiez berkata amat jarang sekali untuk berjumpa seorang ibu yang berpemikiran sedemikian. Katanya kebiasaannya ibu bapa pasti akan segera ke sekolah membawa ‘geng’ apabila anak mereka ditangkap membawa telefon pintar.
“Murid ni budak baik. Dia mengaku kesilapan dia. Lepas kena rotan, dia minta maaf. Salam cikgu cium tangan. Bagus budaknya. Tapi mungkin tergelincir sikit. Harapnya hukuman ni akan menarik dia kembali ke landasan,” jelasnya.
“Ni Mak Bapak Tahun 80an, 90an” – Pengguna TikTok
Sikap ibu terbabit yang tidak melenting apabila dihubungi guru memaklumkan kesalahan anaknya sememangnya dipuji masyarakat, dengan segelintir daripada mereka berharap untuk mengikut jejak langkah wanita itu.
“Tu baru betul mak bapak. Yang datang marah cikgu balik tu spesies lain,” kata seorang individu.
Ramai juga yang beranggapan wanita terbabit mungkin dilahirkan pada tahun 80an atau 90an yang juga biasa berhadapan tindakan sedemikian oleh cikgu.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi kisah mengizinkan para cikgu mengambil tindakan ke atas anak mereka sekiranya melakukan kesalahan di sekolah.
“Kalau anak salah, terpulang pada cikgu. Janji anak saya tak patah riuk. Sebab itu tugas pendidik yang baik,” kata seorang bapa.
“Anak aku simpan rambut panjang tengah. Sekali balik, nah botak kepala! Seronok lah. Orang cakap taknak dengar,” cerita seorang lagi bapa.
Ada juga menceritakan mereka pernah menjadi pelajar ‘bermasalah’ sehingga diminta sendiri oleh ibu bapa agar dirotan cikgu.
“Dulu kantoi ponteng. Ayah escort pergi sekolah naik motor, saya jalan kaki. Sambil jerit suruh rotan sebab degil,” kata seorang individu.
Arahan Rampas Telefon Murid Di Sekolah Sejak Tahun 2009
Merujuk kepada satu hantaran blog pada tahun 2009, pihak sekolah sememangnya diarahkan agar merampas telefon pintar yang dibawa ke sekolah oleh pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun peraturan larangan membawa telefon ke sekolah telah lama diwujudkan, namun terdapat sekolah yang teragak-agak untuk mengambil tindakan.
Selain mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, telefon bimbit juga dikaitkan dengan masalah disiplin seperti pergaduhan apabila ia hilang serta menghantar dan menerima kandungan berunsur lucah.
Tambah Wee, hanya ibu bapa yang boleh menuntut kembali telefon pelajar yang dirampas pihak sekolah.
Dalam pada itu, vape juga boleh dirampas oleh pihak sekolah namun perlu dimaklumkan dan diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga murid.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tindakan Warden Sekolah Buang Rokok & Vape Yang Dirampas Raih Pujian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.