Ini 12 Perkataan Inggeris Yang Dipinjam Dari Bahasa Melayu
Antara perkataan bahasa Inggeris yang dipinjam daripada bahasa Melayu ialah ‘paddy’, ‘cockatoo’ dan ‘orangutan’.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan kebanyakan masyarakat global apabila berkomunikasi antara berlainan bangsa.
Bahasa yang berasal dari Great Britain ini dikatakan mempunyai asal-usul dalam keluarga bahasa Germanic Barat. Tapi mungkin anda ada menyedari beberapa perkataan Inggeris yang menyerupai bahasa lain seperti Latin dan Perancis.
Menurut laman web Dictionary, 80% daripada bahasa Inggeris sebenarnya disumbangkan daripada 350 bahasa lain dan dikenali sebagai ‘loanwords‘. Berikut merupakan 10 bahasa yang paling berpengaruh terhadap Inggeris:
- Latin
- Perancis
- Jerman
- Itali
- Sepanyol
- Belanda
- Scandinavia
- Jepun
- Arab
- Portugis
Untuk pengetahuan anda, bahasa Melayu pula berada di kedudukan ke-17. Jadi boleh dikatakan agak banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang dipinjam oleh bahasa Inggeris!
12 Perkataan Inggeris Dengan Asal-Usul Bahasa Melayu
Saysdotcom menerusi hantaran di TikTok telah berkongsi 12 perkataan Inggeris yang dipinjam daripada bahasa Melayu.
#1. Gingham
Merupakan sejenis kain kapas yang biasanya ditenun menggunakan dua warna benang menjadi corak dam (checkered) atau berjalur (striped).
Penggunaan ‘gingham’ dipercayai pertama kali diguna pada tahun 1615, yang diambil daripada ‘gingang’ dalam Belanda dan berasal dari ‘genggang’ bahasa Melayu.
Mungkin tidak biasa didengari, perkataan ‘genggang kuih’ turut digunakan bagi nama lain kuih lapis.
#2. Cooties
Sejenis serangga yang membiak di rambut manusia, ‘cooties’ diubah suai daripada perkataan ‘kutu’.
Penggunaan pertama kali yang diketahui adalah pada 1917 dan dipopularkan oleh askar British ketika Perang Dunia Pertama.
#3. Compound
Kumpulan bangunan kediaman yang tertutup kebiasaannya di kawasan yang berpagar atau berdinding.
Dipercayai pertama kali digunakan pada 1679, ‘compound’ diambil daripada ‘campo’ Portugis dan ‘kampoeng’ Belanda.
Menurut Singapura Stories, perkataan ‘kampung‘ dijadikan sebahagian daripada bahasa Portugis dan Belanda sekitar 1600-an dengan pelbagai ejaan, sebelum digunakan dalam bahasa Inggeris seperti berikut:
- Campong – menandakan daerah bandar
- Compound
- Kampong
#4. Caladium
Sejenis pokok tropika Amerika Selatan dari keluarga arum, namanya dipinjam daripada perkataan ‘keladi’ dalam bahasa Melayu.
Perkataan ‘caladium’ dipercayai pertama kali digunakan pada tahun 1881.
#5. Bamboo
Pertama kali digunakan pada tahun 1586, ‘bamboo’ adalah rumput berkayu gergasi yang tumbuh di kawasan tropika.
Nama tersebut berasal daripada perkataan ‘bamboes’ dalam bahasa Belanda yang berdasarkan kepada ‘semambu’.
Untuk info, semambu merupakan sejenis tumbuhan rotan yang digunakan untuk membuat tongkat jalan.
Ada juga yang mendakwa ia berasal daripada perkataan ‘bambu’ yang menyerupai bunyi dihasilkan oleh pokok bambu apabila meletup ketika dibakar.
#6. Attap
Jerami yang diperbuat daripada pelepah pokok palma di negara-negara Asia Tenggara. Perkataan ini dipinjam daripada bahasa Melayu ‘atap’.
Di Malaysia, jenis atap ini kebiasaannya diperbuat daripada pelepah pokok nipah atau sagu.
#7. Cockatoo
Mungkin kedengaran seperti ‘kekatu’, namun ‘cockatoo’ merujuk kepada sejenis burung nuri jambul Australasia.
Nama ‘cockatoo’ yang digunakan sejak 1634 diambil daripada ‘kaketoe’ dalam bahasa Belanda yang berasal daripada ‘kakaktua’ dalam Melayu.
#8. Amok
Seseorang yang di luar kawalan, dengan kelakuan liar, tidak terkawal atau merosakkan harta benda, yakni seperti seorang yang sedang mengamuk.
Diambil daripada perkataan ‘amouco’ Perancis yang berasal daripada ‘amuk’ dalam bahasa Melayu.
#9. Paddy
Tumbuhan yang diproses menjadi makanan ruji bagi rakyat Malaysia ini dikenali sebagai ‘paddy’ dalam bahasa Inggeris.
Sudah tentulah ia dipinjam daripada perkataan ‘padi’ dan dipercayai pertama kali digunakan pada tahun 1623.
#10. Pangolin
Sejenis mamalia yang mempunyai sisik keras dan muncung panjang bagi membantunya memakan semut dan anai-anai.
Nama ‘pangolin’ pertama kali digunakan pada 1774 dan diambil daripada bahasa Melayu ‘pengguling’ kerana ia akan menggulingkan badannya apabila terancam. Haiwan itu juga dikenali sebagai penggulung dan tenggiling.
Di Malaysia, tenggiling Sunda (manis javanica) diklasifikasikan sebagai haiwan terancam kritikal di bawah IUCN Red List of Threatened Species. Ia juga dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
#11. Orangutan
Hanya mendiami hutan di Borneo dan Sumatera, nama ‘orangutan’ pertama kali digunakan pada tahun 1691. Ia berasal daripada perkataan Melayu ‘orang’ dan ‘hutan’.
Orangutan Borneo juga diklasifikasikan sebagai haiwan terancam kritikal dan dilindungi sepenuhnya di Malaysia.
#12. Gong
Merupakan alat perkusi yang mula terkenal di Tanah Sunda ketika zaman pemerintahan Kerajaan Langkasuka, gong merupakan tulang belakang dalam persembahan gamelan.
Peralatan muzik ini turut digelar ‘gong’ dalam bahasa Inggeris yang mula digunakan pada tahun 1590.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.