[Video] Bos Nekad Bakar Motosikal Yang Dihadiahkan Selepas Pekerja Kantoi Hisap Dadah
Lelaki itu dikatakan memberikan motosikal kepada pekerjanya itu kerana mahu memudahkan pergerakan untuk ke tempat kerja.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebagai majikan, pastinya mereka mahu menjaga kebajikan dengan memberikan yang terbaik kepada para pekerja agar dapat melakukan tugas dengan lebih mudah.
Antara pemberian yang biasa diberikan kepada pekerja adalah seperti kereta, laptop, elaun pengangkutan, makan minum dan sebagainya.
Namun di sebalik kebaikan majikan itu, wujud sesetengah individu yang mengambil kesempatan di atas kemudahan yang diberikan untuk melakukan perkara tidak sepatutnya.
Majikan Bakar Motosikal Pekerja Yang Kantoi Guna Pemberian Itu Untuk Hisap Batu
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@alongboss_garage_motor), seorang pemilik bengkel meluahkan rasa kecewa selepas mengetahui pekerjanya ditahan polis kerana mengambil dadah jenis metaphetamine atau juga disebut sebagai batu, syabu dan ais.
Lebih kesal lagi apabila pekerjanya itu dikatakan pergi ke lokasi aktiviti berkenaan menaiki motosikal yang diberikan oleh majikan tersebut bagi memudahkan pergerakannya ke tempat kerja.
Oleh kerana bengang dengan perkara yang terbongkar itu, pemilik bengkel yang dikenali sebagai Along bertindak membakar motosikal jenis Yamaha LC tersebut untuk dijadikan sebagai pengajaran.
“Sayangkan pekerja jadi saya belikan moto, tapi hampa nak hisap batu, ini ubat dia,” ujar pemilik video berkenaan.
Video tersebut telah mendapat perhatian ramai sehingga meraih 2.3 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Ramai Sokong Tindakan Majikan Beri Pengajaran Kepada Pekerja
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan majikan itu yang berbuat demikian kerana ia dianggap seolah-olah memecahkan kepercayaan yang diberikan.
“Bagus buat macam ni, baru orang tahu yang kita betul-betul nak marah dan tak suka dia main benda tu,” ujar netizen.
Namun ada juga pengguna media sosial yang menganggap aksi itu tidak sesuai untuk dilakukan dan mereka turut tertanya-tanya mengapa majikan itu bertindakan sedemikian.
“Kenapa nak marah sangat?” soal netizen.
“Motor tu tak salah pun,” kata seorang lagi pengguna TikTok.
Kadar Penagih Dadah Dalam Kalangan Pemuda Di Malaysia Semakin Membimbangkan
Terbaharu, statistik oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan peningkatan dalam kes penyalahgunaan dadah oleh murid dan pelajar sekolah dari 2020 hingga 2023.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok, kes penyalahgunaan dadah oleh murid sekolah rendah pada tahun 2020 adalah sebanyak 10,456, yang meningkat kepada 10,712 kes pada 2021.
Trend yang membimbangkan ini dilihat berterusan apabila angka tersebut meningkat ke 11,611 pada 2022 dan 12,755 tahun lepas, peningkatan tertinggi dalam tempoh empat tahun.
Lebih merisaukan lagi apabila AADK mengesan murid seawal 11 tahun telah menjadi penagih dadah.
Baca Artikel Berkaitan: Murid 11 Tahun Jadi Penagih Dadah, Trend Dilihat Makin Meningkat Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Individu Ini Dakwa Ada Akaun Media Sosial Selamba Jual Dadah Dalam Bentuk Lolipop Di TikTok
Baca Artikel Berkaitan: Guna Dron Seludup Dadah Ke Penjara, Kantoi Bila Dron Jatuh Terhempas
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.