[Video] Penumpang ETS ‘Gatal Tangan’ Tarik Brek Kecemasan, Punca Perjalanan Lewat 2 Jam
Perbuatan yang dipercayai dilakukan dengan sengaja itu berlaku dalam tren ES9052 dari KL Sentral, Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak pada Sabtu lalu (12 Oktober).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebagai langkah keselamatan, sesetengah perkhidmatan menyediakan butang kecemasan bagi membolehkan sesuatu servis itu dihentikan serta merta sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Antara lokasi yang mempunyai butang kecemasan adalah di laluan tangga eskalator dan juga di kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ia hanya berfungsi ketika waktu kecemasan, namun ada juga sesetengah pihak yang menyalahgunakan butang kecemasan itu seperti mana yang terjadi baru-baru ini.
Penumpang Tren ETS Didakwa Sengaja Tarik Brek Kecemasan
Menerusi video rakaman CCTV dimuat di laman Facebook KTM Berhad, seorang penumpang tren ETS didakwa menarik brek kecemasan ketika ia sedang bergerak.
Perbuatan yang dipercayai dilakukan dengan sengaja itu berlaku dalam tren ES9052 dari KL Sentral, Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak pada Sabtu lalu (12 Oktober).
Susulan kejadian tersebut, kereta api itu mengalami kelewatan sehingga dua jam.

Bagi mengelakkan kejadian ini berulang, pihak KTMB menegaskan pengguna tren untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi.
“Video ini dikongsi sebagai langkah kesedaran agar insiden seperti ini tidak berulang.
“Pihak KTMB ingin menegaskan kepada semua pengguna tren KTMB untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan tren semasa ia sedang beroperasi,” kenyataan KTMB.
KTMB turut memberitahu bahawa mereka yang melanggar peraturan ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 122 Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.
“Mana-mana individu yang menggunakan secara tidak wajar alat isyarat kecemasan yang disediakan oleh seseorang pengendali berlesen dalam koc kereta api bagi kegunaan penumpang untuk memberhentikan tren kereta api itu dalam hal kecemasan melakukan suatu kesalahan,” jelas KTMB.
Orang Ramai Bengang Lihat Aksi Tidak Bertanggungjawab Oleh Penumpang ETS
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata masyarakat meluahkan rasa tidak puas hati melihat tindakan yang dilakukan oleh penumpang lelaki berkenaan kerana menganggapnya sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Malah netizen turut menggelar si pelaku sebagai ‘tangan gatal’ kerana tidak dapat menahan diri daripada melakukan aksi yang dipercayai boleh membahayakan keselamatn kesemua penumpang.
“Apa benda la, tak ada pasal cari pasal,” ujar pengguna media sosial.
Selain itu, ada juga segelintir netizen yang tidak menyangka individu yang melakukan perkara itu adalah golongan dewasa.
“Nak kata budak-budak pun bukan, kenapa tangan tu tak duduk diam sangat,” luah seorang pengguna X.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.