[Video] KPDN Melaka Serbu Premis Makan, Sorok Minyak Masak Paket & Didakwa Guna Tangkal
Premis yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing turut diberi dua kompaun oleh Kementerian Kesihatan yang turut bersama dalam serbuan berkenaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Minyak masak paket yang berharga RM2.50 sekilogram sememangnya lebih murah berbanding minyak masak botol. Bagi yang tidak tahu, bahan ini adalah barang kawalan yang disubsidi oleh kerajaan.
Oleh yang demikian, minyak masak paket hanya boleh digunakan bagi isi rumah dan tidak boleh digunakan bagi tujuan komersial seperti di kedai makan.
Namun begitu, masih ada peniaga yang degil dan diam-diam menggunakan bahan subsidi ini. Malah ada yang sehingga menyembunyikan banyak minyak masak paket yang dibeli.
KPDN Melaka Serbu Kedai Makan
Satu video yang tular di TikTok (@kpdnmelaka) menyaksikan pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka menerjah sebuah premis penyediaan makanan di negeri itu. Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut bersama-sama dalam serbuan itu.
Pada awal video, kedengaran seorang penguatkuasa bertanyakan tentang minyak masak paket yang terdapat di premis tersebut.
Seorang individu warga asing dipercayai pemilik kedai kemudiannya memaklumkan bahawa mereka kadangkala diberi satu atau dua minyak masak paket apabila membeli barangan di kedai runcit.
Premis Kantoi Sembunyikan Minyak Masak Paket
Hasil siasatan bagaimanapun menemui lebih banyak minyak masak paket yang disimpan dalam tong di dalam almari.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar, menjelaskan bahawa tindakan sedemikian merupakan suatu kesalahan memandangkan ia ialah barang kawalan.
Tambahnya lagi, perniagaan tidak boleh menggunakan minyak masak paket dan kesemua barang kawalan itu telah disita.
“Lesen tempatan, tetapi dikendalikan oleh warga asing. Minyak yang sepatutnya diguna oleh rakyat, masuk dalam kedai makan yang dioperasikan oleh orang bukan tempatan,” kata Norena.

KKM Kenakan 2 Kompaun Ke Atas Premis
Selain itu, premis tersebut juga ditegur kerana tidak menjaga kebersihan dan meletakkan barangan di atas lantai.
Exco Kesihatan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem, memaklumkan bahawa dua kompaun telah dikenakan oleh KKM ke atas premis berkenaan
Apa yang lebih mengejutkan adalah premis tersebut didakwa meletakkan tangkal di setiap penjuru kedainya.
Turut terdapat beberapa kertas yang dipercayai tangkal dilekatkan pada pintu di bahagian dapur. Namun begitu, perkara itu dinafikan oleh pekerja kedai berkenaan.
Orang Ramai Minta Jabatan Siasat Penjualan Minyak Masak Paket Di Kedai
Tindakan oleh KPDN Melaka ke atas premis berkenaan raih pujian masyarakat yang turut meminta agar jabatan kerajaan tersebut di negeri lain turut bersikap proaktif.
Dalam masa sama, orang ramai berkongsi pengalaman mereka yang tidak berjaya mendapatkan minyak masak paket. Mereka turut meminta perkara itu disiasat memandangkan warga asing yang dapat membeli barang kawalan itu berbanding orang tempatan.
“Pernah nampak pekerja pasar raya beli 10 paket minyak masak depan mata. Orang lain boleh beli satu je,” dakwa seorang individu.
Seorang pekerja pasar raya pula mendakwa terdapat pelanggan yang datang dua, tiga kali sehari untuk membeli minyak paket.
Di samping itu, beberapa pengguna TikTok turut berseloroh mengenai penggunaan tangkal yang ‘menarik’ kedatangan pihak KPDN.
“Guna tangkal nak panggil pelanggan, tapi KPDN yang datang,” seloroh seorang individu.










Baca Artikel Berkaitan: [Video] Warga Asing Ditegur & Dihalang Kerana Beli 6 Paket Minyak Masak, Tarik Perhatian Ramai
Baca Artikel Berkaitan: [Video] KPDN Melaka Dedah Kedai Runcit Simpan Sayur Jualan Dalam Tandas Bikin Ramai Loya Tekak
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.