Mufti Perjelas Hukum Isteri ‘Tipu’ Suami Untuk Dapat Duit Lebih
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isteri tidak boleh mengambil duit tanpa izin suami jika diberi nafkah secukupnya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, isu nafkah suami terhadap isteri hangat diperbincangkan, lebih-lebih lagi susulan kes penceraian pasangan artis dengan isteri mendakwa suami tidak menyediakan nafkah.
Akan tetapi, sebenarnya wujud salah faham dalam isu nafkah apabila ada yang menganggap bahawa ia merangkumi wang belanja bagi isteri membeli sesuatu yang diingininya.
Lebih menggusarkan lagi apabila ada segelintir wanita yang tidak segan silu menceritakan mereka mengambil wang suami tanpa pengetahuannya.
Ada Isteri Tak Beritahu Harga Barang Sebenar Pada Suami
Baru-baru ini, tular satu hantaran oleh seorang wanita yang berkata dia sering ‘berkongsi separuh’ dengan suaminya apabila ingin membeli sesuatu.
Namun sebenarnya dia telah memberitahu harga asal kepada suami agar menerima duit yang cukup untuk menampung keseluruhan kos suatu barang atau produk.
Sebagai contoh, bagi suatu barang berharga RM100, dia memaklumkan pada suaminya ia berharga RM200 dan ingin berkongsi separuh (RM100). Namun sebenarnya suaminya telah membayar sepenuhnya bagi barang tersebut tanpa disedari.
Tidak pasti jika perkara ini benar-benar dilakukan olehnya atau sekadar gurauan, namun ia semestinya mendapat maklum balas para wanita yang telah menggunakan ‘trick’ sama ke atas suami mereka.
Cara Tersebut Salah Kerana Menipu Suami
Dalam satu hantaran balas, penulis buku agama, Yazid Hamka, berkata trick sedemikian yang dilakukan terhadap suami ialah haram.
Katanya, walaupun seorang suami perlu berusaha untuk kesenangan ahli keluarganya, namun cara penipuan tersebut adalah salah.
Bukan sahaja menipu, malah seorang isteri dikira telah mengambil duit suami yang bukan haknya dengan cara itu.
Haram Ambil Duit Suami Tanpa Izin Jika Diberi Nafkah
Yazid turut memetik penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, iaitu isteri tidak boleh mengambil duit tanpa izin suami jika diberi nafkah secukupnya.
Malah, Rasulullah SAW telah menasihati para isteri agar mengambil daripada kekayaan suaminya dengan berpatutan dan yang mencukupi untuk dirinya serta anak-anak.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA ketika Hindun Binti ‘Utbah mengadu perihal suaminya, Abu Sufyan:
Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah? Sabda Rasulullah SAW, “Ambillah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.”
Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (4574)
Ustaz Azhar Idrus sebelum ini berkata jika tidak diberi nafkah dan mengambil duit suami untuk membeli barang keperluan, isteri perlulah mengembalikan baki wang tersebut.
Duit Belanja Bukan Nafkah Isteri
Mungkin ada juga yang beranggapan seorang lelaki kedekut dengan isterinya jika berkira apabila diminta wang untuk membeli sesuatu yang dikehendaki. Walhal jika mengikut tafsiran nafkah, ia hanyalah merangkumi keperluan dan bukannya kehendak.
Ustaz Farid Rashidi pernah berkata bahawa banyak orang salah faham dengan maksud nafkah suami ke atas isteri dan menganggap ia merangkumi duit belanja.
Walhal majoriti ulama bersetuju bahawa terdapat tujuh jenis nafkah yang wajib diberi kepada isteri, tidak termasuk duit belanja, iaitu:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Alat-alat untuk membersihkan diri
- Barangan rumah
- Pembantu rumah jika isterinya mempunyai seorang sebelum berkahwin
Di samping itu, segelintir wanita sering berseloroh bahawa kesemua wang suami adalah miliknya. Namun hak isteri ke atas wang suami sebenarnya dalam bentuk nafkah, iaitu merangkumi keperluan dan bukannya kehendak.
Suami dalam pada itu bolehlah memberi wang sebagai duit belanja atau upah kerana isteri melakukan kerja rumah.
Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Duit Suami Hak Milik Isteri Sepenuhnya?
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Nafkah Isteri Merangkumi Duit Belanja?
Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Suami Bagi Upah Pada Isteri Sebab Susukan Anak?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.