Now Reading
Elak Ungkit Aib & Kekurangan Pasangan, Terutamanya Lepas Berpisah – Dr Zulkifli

Elak Ungkit Aib & Kekurangan Pasangan, Terutamanya Lepas Berpisah – Dr Zulkifli

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata jika penceraian adalah jalan terbaik buat sesuatu hubungan, maka lakukannya dengan cara yang baik dan menjaga harga diri pasangan.

Dr Zulkifli nasihat jaga aib pasangan

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, isu penceraian sudah menjadi salah satu topik bualan ramai di media sosial. Hal ini kerana, ada sesetengah pihak yang bertindak mendedahkan masalah rumah tangga mereka walaupun dengan individu tidak dikenali.

Ada yang berbuat demikian kerana mahukan pendapat individu lain tentang konflik dihadapi, namun secara tidak langsung individu tersebut berkemungkinan menyebarkan kekurangan pasangannya.


Dr Zulkifli Nasihat Jangan Aibkan Pasangan Terutamanya Jika Dah Berpisah

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Instagram apabila bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan nasihat buat mereka yang sedang mengalami pergolakan rumah tangga.

Menerusi hantaran tersebut, beliau menegaskan tentang kepentingan seseorang individu menjaga aib dan nama baik pasangan tidak kira jika masih bersama ataupun sudah berpisah.

Menurut Dr Zulkifli, Islam mengajar umatnya untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan. Bagaimanapun tidak dapat dinafikan, boleh wujudnya cabaran dan onak duri yang kadangkala menguji sesebuah hubungan.

“Islam mengingatkan bahawa meskipun penceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah dalam kalangan yang halal.

“Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan. Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan,” ujar beliau.

Diriwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ”

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

[Riwayat Abu Daud (2178)]


Elak Ungkit Kebaikan Atau Kekurangan Pasangan

Tanpa merujuk kepada sebarang individu, beliau menjelaskan bahawa menceraikan seseorang dengan cara yang baik adalah penting agar ia tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak suami isteri tetap terjaga.

Malah, pasangan juga diharapkan tidak menyimpan sebarang dendam dan memulakan kehidupan baru dengan tenang.

“Sebagai manusia kita digalakkan untuk mengelak daripada mengungkit kebaikan atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan. Islam mengajar untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang berkahwin.

“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali menjadi hal yang diangkat-angkat (diaibkan),” tambah bekas mufti tersebut.


Penting Untuk Ibu Bapa Jaga Hati Anak-anak

Dalam hantaran berkenaan, Dr Zulkifli turut menyentuh kepentingan melindungi maruah untuk menjaga kesejahteraan serta emosi anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.

“Anak-anak adalah amanah dari Allah dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian,” ulas beliau lagi.


Setiap Individu Perlu Berusaha Jadi Insan Yang Baik

Di akhir perkongsian, beliau turut mengingatkan semua pihak yang berdepan konflik untuk sentiasa menjadi individu yang mendamaikan serta menasihati dengan kebaikan dan bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

“Kita sebagai manusia pasti tidak sempurna, tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik itu yang paling utama. Kepada Allah SWT jua kita memohon,” kata beliau.


Ramai Setuju Bahawa Jaga Aib Pasangan Adalah Penting

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Instagram bersetuju dengan pandangan dilontarkan Dr Zulkifli.

“Bersama-samalah kita menjaga aib pasangan. Kita tak tahu bila-bila masa je Allah boleh buka aib kita. Setiap daripada kita tidak terlepas melakukan kesilapan,” kata seorang individu.

Malah ada yang berpendapat bahawa dunia ini terlalu singkat untuk berdendam atau membenci sesiapa.

Sumber: Instagram (@drzulkifli.albakri)

Baca Artikel Berkaitan: ‘Seperti Satu Trend’- Mufti Kedah Beri Peringatan, Jangan Buka Buka Aib Pasangan Di Media Sosial

Baca Artikel Berkaitan: Fattah Amin & Fazura Sah Bercerai Talak Satu Selepas 7 Tahun Bina Rumah Tangga

Baca Artikel Berkaitan: Fazura Boleh Dikenakan Tindakan Jika Buka Aib – Peguam Bela Fattah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd