Now Reading
[Video] Pesawat Dari Subang Ke Pulau Pinang Patah Balik, Didakwa Dimasuki Asap Dalam Kapal Terbang

[Video] Pesawat Dari Subang Ke Pulau Pinang Patah Balik, Didakwa Dimasuki Asap Dalam Kapal Terbang

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat yang dalam perjalanan dari Subang ke Pulau Pinang itu mengalami masalah yang memerlukan mereka untuk berpatah balik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila menaiki kapal terbang untuk ke sesuatu destinasi, penumpang dan kru yang bertugas perlu bersiap sedia dengan apa jua situasi yang tidak dijangka akan berlaku.

Antara perkara yang sering terjadi ketika penerbangan adalah masalah teknikal pada pesawat, gelora (turbulence), dan sebagainya.

Sesetengah kapal terbang akan mengambil keputusan untuk berpatah balik ke lokasi pelepasan mereka bagi tujuan keselamatan, seperti mana yang berlaku baru-baru ini melibatkan sebuah syarikat penerbangan domestik Malaysia.


Kapal Terbang Dari Subang Berpatah Balik Selepas 15 Minit Berlepas

Menerusi video dimuat naik di laman Facebook Harrel Erik Wong, lelaki ini yang dipercayai salah seorang penumpang di dalam sebuah kapal terbang mendakwa bahawa telah berlakunya satu kebakaran di bahagian ‘compartment’ dalam pesawat.

Dalam video tersebut, kelihatan asap berwarna putih berlegar-legar dalam ruang kabin.

Katanya lagi, pesawat itu baru sahaja berlepas dari Subang selama 15 minit dan kejadian yang berlaku telah menyebabkan mereka dikatakan terpaksa berpatah balik.

Susulan itu, beberapa penerbangan telah ditangguhkan berikutan situasi yang terjadi.

Walau bagaimanapun, tarikh dan waktu insiden ini berlaku tidak dapat dipastikan. Namun, video berkenaan telah dimuat naik semalam (3 Oktober) pada jam 7 pagi.


Ini Penjelasan Dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)

Memetik laporan NST, video tular yang memaparkan keadaan pesawat dipenuhi asap putih itu melibatkan sebuah penerbangan milik Firefly yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di Subang ke Pulau Pinang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengesahkan bahawa pesawat dengan pendaftaran 9M-FYG itu mengalami masalah ketika penerbangan yang memerlukan mereka untuk berpatah balik.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud menjelaskan bahawa penerbangan tersebut mengalami kegagalan kipas pengekstrakan (extraction fan failure) sewaktu berlepas.

Kerosakan itu sekaligus mengakibatkan sistem penghawa dingin dalam kapal terbang menjadi terlalu panas sehingga menyebabkan asap memenuhi kabin.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan direkodkan melibatkan kru mahupun penumpang.


Pernah Tular Kapal Terbang Dipenuhi Wap Putih

Sebelum ini, tular juga satu video menunjukkan suasana asap putih yang tiba-tiba menyelubungi kapal terbang ketika mereka mendarat sehingga menghalang penglihatan.

Situasi yang berlaku telah menyebabkan kekecohan dalam kalangan penumpang sebelum ditenang oleh kru kabin.

Sumber: TikTok @ernibougas

Sebagai info, wap putih tersebut mempunyai kaitan dengan proses kondensasi di mana ia berlaku apabila penghawa dingin di dalam kapal terbang yang kebiasaannya dipasang dalam purata 18 sehingga 21 darjah Celcius mempunyai perbezaan suhu dengan luar kawasan mendarat.

Perbezaan tersebutlah yang menyebabkan terhasilnya wap putih yang memasuki ruangan kapal terbang.

Baca Artikel Berkaitan: Asap Putih Tiba-tiba Muncul Dalam Kapal Terbang? Ini Sebab Kenapa Ia Boleh Berlaku


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd