“Tak Perlu Hantar MC!” – Lelaki Kongsi Pengalaman Sakit Ketika Bekerja Di Jepun
Menurut lelaki dikenali sebagai Asraff Jeffery itu, doktor dan ahli farmasi di Jepun tidak memahaminya sewaktu diminta dokumen sijil sakit.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, sijil cuti sakit atau medical certificate (MC) merupakan dokumen sah yang boleh dikeluarkan oleh pengamal perubatan bertauliah buat para pesakit.
Kebiasaannya, MC ini diberikan agar pekerja boleh memohon cuti untuk berehat di rumah sepanjang waktu sakit. Pun begitu, masih ramai di kalangan masyarakat yang menyalahgunakannya.
Seperti sebelum ini, seorang jurujual wanita didenda sebanyak RM700 selepas mengemukakan sijil cuti sakit palsu. Tertuduh didakwa menggunakan sijil cuti sakit palsu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Cheras.
Baca Artikel Berkaitan: Jurujual Wanita Didenda RM700 Kerana Tipu MC
Lelaki Kongsi Pengalaman Sakit Ketika Bekerja Di Jepun
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang lelaki dikenali sebagai Asraff Jeffery (@asraffjeffery) bercerita tentang pengalamannya sewaktu bekerja di Jepun.
Menurutnya, dia sebelum ini pernah bekerja di bandar Fukuoka, Jepun. Pada satu hari, dia mengalami sakit pada bahagian kelenjar air liur seperti beguk dan membuatkannya kurang selesa selain tidak dapat pergi ke kerja.
Oleh disebabkan itu, majikan Asraff terus memintanya untuk pergi mendapatkan rawatan di hospital. Selepas selesai mendapatkan konsultasi pakar dan ubat-ubatan, lelaki ini kemudian bertanya tentang sijil cuti sakit.
Namun jelasnya, si doktor tidak memahami perkara yang diminta oleh Asraff lalu mengabaikannya. Lelaki tersebut kemudian pergi ke farmasi lain bagi mendapatkan MC berkenaan.
Bagaimanapun, Asraff mendapat reaksi yang sama daripada petugas farmasi tersebut.
“Tunjuk preskrepsi yang doktor bagi tadi. Saya pun tanya ahli farmasi tu, tak ada MC ke? Dia kata apa benda MC ni? Dia pun tak tahu,” katanya.
Budaya MC Tak Wujud Di Jepun
Pada keesokan hari, Asraff kemudian bertanya kepada bos tentang tindakan yang perlu dilakukan kerana sudah cuti pada hari sebelumnya.
Namun majikannya berkata lelaki tersebut hanya perlu bercuti dan tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen memandangkan dia memang betul-betul sakit.
“Dekat Jepun budaya MC ni tak ada. Saya ingat bila saya balik kerja dekat Shah Alam, ketika tu saya sakit perut. Saya pun pergi dekat sebuah klinik di kawasan tempat saya kerja.
“Pergi je sana, doktor tak nak jumpa saya. Dia kata nak MC berapa hari? Saya terkejut. Budaya jual MC dekat Malaysia ni memang ‘kaw-kaw’ punya. Saya pergi ke klinik tu untuk dapatkan rawatan tapi soalan pertama yang dia tanya saya nak MC berapa lama,” dakwa Asraff.
Di akhir perkongsian, lelaki ini menasihati orang ramai terutamanya pekerja di Malaysia untuk tidak menipu dan membeli sijil sakit. Hal ini kerana ia akan menyebabkan rezeki diterima adalah tidak berkat.
@asraffjeffery Pengalaman saya kerja di Jepun dulu,pernah sakit tapi takda MC. Bahkan, orang tak tahu pun MC apa.
♬ original sound – Asraff Jeffery
Pekerja Kongsi Pengalaman Sijil Sakit Tak Diluluskan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata berpendapat bahawa orang di Jepun bersikap disiplin yang mana isu pekerja mahu ‘curi tulang’ dan mengambil cuti sakit adalah kurang.
Malah ada juga yang berkongsi pengalamannya apabila majikan tidak meluluskan cuti sakitnya.
“Masa Covid-19 dulu bang, saya selsema. HR tak luluskan MC saya. Selang dua hari semua (pekerja) kena Covid. Saya gelak kuat-kuat dekat rumah, pejabat kena tutup seminggu,” ujar seorang pekerja.
Sementara itu ada yang berpendapat segelintir pekerja di Malaysia tidak jujur ketika mahu memohon cuti sakit.
“Dia ada dua benda, kejujuran dan kepercayaan. Dua benda ni kurang dalam warga Malaysia berbanding Jepun,” dakwa seorang pengguna TikTok.
Untuk info, membeli sijil sakit palsu juga dianggap satu kesalahan rasuah. Pihak yang menjual sijil sakit palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dipenjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.
Baca Artikel Berkaitan: Individu Beli MC Palsu Dianggap Satu Kesalahan Rasuah – SPRM
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ambil MC, Tapi Selamba Keluar Jalan-jalan?
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram