“Lagi Berapa Hari Je” – Orang Ramai Kesal Diwajibkan Miliki MyDigital ID Sebelum 10 Oktober
Masyarakat berpendapat bahawa pelaksanaan MyDigital ID ini akan semakin menyukarkan golongan warga emas untuk melakukan urusan melibatkan JPJ.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Rakyat Malaysia kini diwajibkan untuk mempunyai akaun MyDigital ID bagi tujuan log masuk ke dalam aplikasi MyJPJ mulai 10 Oktober 2024.
Keperluan tersebut mula disedari oleh orang ramai selepas pengumuman itu dipaparkan menerusi notifikasi pada aplikasi terbabit.
Dalam paparan berkenaan, ia menjelaskan bahawa pembaharuan log masuk akan diwajibkan bermula 10 Oktober 2024 dan mereka yang enggan mendaftar di MyDigital ID tidak boleh menggunakan aplikasi MyJPJ selepas tarikh itu.
Baca Artikel Berkaitan: Pengguna Aplikasi MyJPJ Perlu Ada MyDigital ID Untuk Log Masuk Mulai 10 Oktober
Masyarakat Kurang Setuju Dengan Pelaksanaan MyDigital ID Untuk Log Masuk MyJPJ
Pemberitahuan tentang penggunaan MyDigital ID untuk melog masuk ke dalam aplikasi MyJPJ ini telah menyebabkan ramai masyarakat memberikan pelbagai reaksi terhadap perkara tersebut.
Boleh dikatakan kebanyakan masyarakat kurang bersetuju dengan pelaksanaan tersebut lebih-lebih lagi apabila tempoh masa yang diberikan agak singkat.
Selain itu, apa yang menjadi kebimbangan masyarakat adalah apabila kemajuan teknologi seperti ini akan lebih menyukarkan golongan warga emas untuk melakukan urusan melibatkan pihak JPJ.
“Bagilah masa. Berapa hari lagi nak 10 Oktober. Ingat makcik pakcik atuk nenek kat kampung tu tahu ke nak pakai aplikasi ni? Aduh bebal betul buat keputusan macam ni,” luah seorang netizen.
Mereka turut mendakwa perkara ini seolah-olah suatu paksaan untuk memiliki MyDigital ID dan ia dikatakan agak merumitkan.
“Tak cukup ke dengan MyJPJ? Kenapa nak rumitkan lagi dengan MyDigital ID pula? Kalau tahu macama ni, baik renew lesen fizikal je hari tu,” kata netizen.
Orang ramai turut berpendapat bahawa tiada kempen yang menguar-uarkan mengenai penggunaan MyDigital ID sebelum ia mahu diwajibkan kepada masyarakat.
“Kejam dan secara mengejut. Macam mana korang expect orang tua nak menyesuaikan diri dengan benda ni. Macam kempen?” ujar pengguna X.
Sementara itu, sesetengah individu juga sudah mula mahu mendaftar di MyDigital ID bagi mengikuti pelaksanaan yang bakal dilakukan tidak lama lagi.
Namun, mereka mendakwa bahawa aplikasi MyDigital ID itu seolah-olah tidak dicipta dengan baik kerana sering mengalami masalah dan berharap ia dapat dibaiki terlebih dahulu sebelum meminta orang ramai untuk membuat pendaftaran.
Apa Itu MyDigital ID?
Pada 1 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional (IDN) dan menjadi individu pertama di Malaysia yang memiliki pengenalan digital itu.
Untuk pengetahuan umum, MyDigital ID digunakan sebagai kaedah pengesahan bagi memudahkan semua perkhidmatan digital kerajaan dan memperkukuhkan keselamatan transaksi dalam talian.
Selain itu, penggunaan MyDigital ID pada portal kerajaan juga dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang diperakui keselamatannya oleh Pensijilan Kriteria Umum menerusi pengiktirafan EAL3+ di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, pendaftaran MyDigital ID hanya dibuka kepada semua kakitangan kerajaan sahaja sebelum ia mula ditawarkan kepada orang awam bermula Mac 2024.
Walau bagaimanapun, isu mengenai MyDigital ID menjadi kebimbangan rakyat selepas wujud dakwaan bahawa sistem ini memerlukan penggunanya memasukkan cip ke dalam tubuh badan.
MIMOS Berhad iaitu agensi di bawah MOSTI menegaskan bahawa sistem MyDigital ID ini tidak menyimpan sebarang data jenis biometrik seperti cap jari, maklumat mata atau pengecaman muka dan tidak menggunakan sebarang cip mahupun implan.
Malah, identiti digital ini juga tidak menggantikan MyKad sebagai bukti pengenalan diri seseorang.
Baca Artikel Berkaitan: Pendaftaran MyDigital ID Akan Dibuka Bermula Mac 2024
Baca Artikel Berkaitan: Kenali e-Estonia, Sistem Tadbir Urus Digital Yang Diguna Kerajaan Estonia 2 Dekad Sebelum Wujudnya PADU
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.