[Video] Aksi Lori Selamba Buat Pusingan U Hingga Sebabkan Rider Terbabas Bikin Ramai Berang
Kejadian lori membuat pusingan U di susur keluar stesen minyak hingga menyebabkan penunggang motosikal itu kemalangan berlaku di Kilometer 48.7 Lebuhraya Dengkil-Puchong.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebagai seorang pengguna jalan raya adalah penting bagi setiap individu menerapkan pemanduan berhemah tidak kiralah pemandu kereta dan kenderaan berat atau penunggang motosikal.
Pun begitu, masih ada yang bertindak melanggar peraturan sedia ada yang sudah ditetapkan sebagai contoh membuat pusingan U di tempat larangan.
Seperti sebelum ini, seorang pemandu Perodua Viva dengan selamba membuat pusingan U di hadapan sebuah sekolah hingga menyebabkan keretanya merempuh sebuah kereta Perodua Axia.
Kelihatan kereta Perodua Axia turut mengalami kerosakan di bahagian lampu hadapan akibat kemalangan itu.
Baca Artikel Berkaitan: “Panas Hati Aku” – Perodua Viva Selamba Buat Pusingan U Hingga Sebabkan Kemalangan Buat Ramai Berang [Video]
Lori Buat Pusingan U Di Susur Keluar Punca Rider Terbabas
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman X (Twitter @update11111) menyaksikan situasi cemas yang berlaku di Kilometer 48.7 Lebuhraya Dengkil-Puchong.
Menerusi video dashcam tersebut, kelihatan sebuah lori cuba untuk melakukan pusingan U di tempat yang tidak sepatutnya iaitu di susur keluar.
Perbuatan itu dilakukan dipercayai kerana pemandu lori mahu melalui jalan singkat bagi menuju ke stesen minyak berhampiran.
Namun, tindakan melulu tersebut telah membawa padah apabila seorang penunggang motosikal yang melalui susur keluar hilang kawalan selepas terlanggar dengan lori terbabit.
Rider itu kemudiannya terbabas ke arah lorong kanan jalan raya dan menyebabkan dia terjatuh lalu dilanggar pula oleh sebuah kereta Perodua jenis Axia yang turut tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum rempuhan berlaku.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintenden G Shan Gopal, kejadian mengakibatkan mangsa mengalami cedera ringan selain luka dan calar di tangan serta kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
Buat Pusingan U Di Tempat Tak Sepatutnya Boleh Didenda Hingga RM500
Untuk info, pengguna jalan raya yang membuat ‘U-turn’ di kawasan tanpa tiada papan tanda pusingan U dikira sebagai satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM500.
Hal ini kerana, kesalahan tersebut telah melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Seksyen 79 (2) dan kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang hanya membenarkan pusingan U dilakukan di kawasan dibenarkan sahaja.
Ramai Berang Dengan Tindakan Pemandu Lori
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai dilihat berang dengan tindakan pemandu lori yang tidak bertanggungjawab.
“Tak tahu nak cakap. Begitu rendah nilai diri, ilmu dan pertimbangan. Memang b*doh dan perlu hukuman yang sangat berat kepada pemandu macam ni,” kata seorang lelaki.
Malah, ramai juga berharap agar pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia boleh mengambil tindakan wajar ke atas pemandu yang tidak berhemah.
Sementara itu, ramai juga beranggapan bahawa kereta jenis Honda Civic yang sama-sama memperlahankan kenderaan di belakang lori tersebut pada awalnya mahu melakukan aksi yang sama.
“Kereta merah tu pun tengok gaya macam nak buat benda sama (pusingan U) itu sebab duduk kiri je. Dia orang ni nak pergi simpang dekat kiri tu ke? Nak jalan singkat?” tanya seorang individu.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] 8 Kenderaan Buat ‘U-turn’ Berjemaah Di Jalan Raya. Seragam Pula Tu!
Baca Artikel Berkaitan: [Video] PDRM Jalankan Siasatan Insiden Bas Polis Buat U-Turn Di Tempat Tidak Sepatutnya & Terlanggar Kereta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram