“Macam Flying Fox”- Orang Ramai Teruja Peniaga Hantar Makanan Guna Tali Kepada Pelanggan
Difahamkan, pelanggan itu meletakkan duit terlebih dahulu di dalam plastik sebelum bungkusan makanan dari bangunan sebelah dihantar kepadanya menggunakan tali.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Zaman sekarang ini, ramai peniaga yang semakin kreatif untuk menarik lebih ramai pelanggan dengan menggunakan pelbagai teknik pemasaran.
Sesetengah peniaga dilihat melakukan video mengikut trend terkini di media sosial dan ada juga yang kerap melakukan promosi untuk meningkatkan jualan dalam kalangan pelanggan.
Tetapi teknik yang digunakan oleh seorang penjual di Damansara, Kuala Lumpur ini pun boleh tahan menarik juga. Cukup memudahkan!
Peniaga Guna Tali Untuk Hantar Makanan Kepada Pelanggan Di Bangunan Sebelah
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@dayahwan8683), peniaga di sebuah bangunan dilihat menggunakan cara kreatif untuk menghantar makanan yang dibeli oleh pelanggan di bangunan bersebelahan.
Unik betul idea penjual tersebut kerana dia dilihat menggunakan tali panjang berkonsepkan takal untuk memudahkan pembeli membayar dan mendapatkan makanan jualannya tanpa memerlukan mereka berjalan ke bangunan sebelah.
Difahamkan, lelaki tersebut perlu meletakkan duit terlebih dahulu di dalam plastik sebelum ia ditarik oleh peniaga warung berkenaan.
Selepas bayaran dilakukan, barulah bungkusan makanan di dalam plastik disangkut pada tali untuk dihulurkan kepada pelanggan.
Orang Ramai Terhibur Lihat Gelagat Peniaga Guna Tali Untuk Hulur Makanan Kepada Pembeli
Ruangan komen video berkenaan mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat dengan rata-ratanya meluahkan rasa terhibur selepas melihat interaksi antara peniaga dan pembeli itu.
Siap ada yang menganggap cara tersebut seolah-olah sama seperti mana aktiviti sukan lasak flying fox dilakukan.
Mereka turut bimbang jika bungkusan hidangan yang dibeli itu tidak sempat diambil dan terjatuh ke bawah.
“Mantap makanan pun naik flying fox dulu,” gurau netizen.
Pada masa yang sama, ada juga pengguna media sosial yang tertanya-tanya makanan apakah yang dibeli dan dijual di warung tersebut.
Oleh kerana cara itu dilihat memudahkan pelanggan untuk membeli hidangan, sesetengah masyarakat bergurau agar perkara ini tidak dilakukan ketika bulan puasa.
“Nanti bulan puasa, jangan buat macam ni pula ya,” ujar netizen.
Perkara Sama Turut Dilakukan Di Indonesia
Sebelum ini, seorang influencer Korea iaitu Noona Rosa yang menetap di Indonesia menunjukkan cara hampir sama dilakukan oleh peniaga di negara tersebut ketika memesan hidangan dari dua buah kedai terletak di seberang sungai.
Difahamkan hidangan yang dihantar merentasi sungai itu menggunakan sistem ‘pulley’ melibatkan tali serta sebuah baldi.
Boleh tahan jauh juga lokasi influencer ini dengan kedai tersebut. Jadi nak tak nak, mereka perlu saling menjerit untuk berkomunikasi.
Aduhai, macam-macam cara orang berniaga sekarang ya. Yang penting ia tidak membahayakan dan mendatangkan mudarat keselamatan.
Baca Artikel Berkaitan: Influencer Korea Teruja Peniaga Di Indonesia Guna Sistem ‘Pulley’ Untuk Hantar Makanan Dari Seberang Sungai
Baca Artikel Berkaitan: Lebih 1.6 Juta Tontonan Di TikTok, Gelagat Staf Disimbah Air Hingga Kuyup Demi Marketing Cuit Hati Netizen
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.