Now Reading
Aksi Perarakan Sempena Maulidur Rasul Guna Lampu Berhias Cetus Perdebatan

Aksi Perarakan Sempena Maulidur Rasul Guna Lampu Berhias Cetus Perdebatan

Menerusi video tular, kelihatan penduduk sebuah kampung di Kelantan yang terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak sedang menyertai perarakan lampu tanglung bersempena sambutan Maulid Nabi atau Maulidur Rasul 2024.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, 16 September lalu merupakan Hari Maulidur Rasul 1446 Hijrah iaitu hari bagi umat Islam memperingati sejarah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Bagi mengimarahkan hari berkenaan, orang ramai di ibu negara telah berarak sekeliling Bukit Bintang, Kuala Lumpur sambil berselawat ke atas Baginda.

Kelihatan orang ramai dengan bersemangat melaungkan selawat sambil mengangkat sepanduk masing-masing. Walaupun lokasi tersebut sesak, namun momen menyentuh hati itu bukanlah satu fenomena yang selalu dilihat.

Baca Artikel Berkaitan: “Bukit Bintang Bergema” – Umat Islam Berselawat Sempena Sambutan Maulidur Rasul Raih Perhatian


Cara Sambut Malidur Rasul Zaman Kini Jadi Perdebatan

Namun semalam (26 September) tular satu hantaran di laman X (Twitter) apabila seorang lelaki dikenali sebagai Zac (@ZacZakirin13) berkongsi pandangannya tentang cara-cara umat Islam masa kini menyambut Maulidur Rasul.

Menurutnya, sambutan hari peristiwa ini semasa zaman dahulu dilakukan dengan cara orang ramai berarak mengelilingi satu kawasan sambil berselawat ke atas junjungan Nabi SAW.

Namun, dia mendakwa bahawa generasi baru kemudiannya menambah ‘elemen’ dan aktiviti bagi menyambut ulang tahun kelahiran Nabi ini sebagai contoh memainkan kompang.


Penduduk Sertai Perarakan Lantera Ketika Sambut Maulid Nabi

Menerusi video yang dikongsi, kelihatan penduduk sebuah kampung di Kelantan sedang menyambut Maulid Nabi pada waktu malam dengan meriah. Perkara yang mengundang perhatian adalah apabila mereka mengadakan perarakan ‘tanglung’ atau lampu berhias.

Deko itu kemudian akan dibawa sekali sepanjang perarakan selawat berlangsung. Menerusi maklumat pada video asal di TikTok, perkara tersebut dilakukan untuk mendapatkan sedikit kelainan berbanding sambutan Maulidur Rasul pada tahun-tahun sebelumnya.

Ia juga diadakan pada waktu malam khas untuk kanak-kanak manakala perarakan utama seperti kebiasaaan sudah berlangsung pada waktu pagi.

Sumber: TikTok

Hantaran tersebut membuatkan Zac berpandangan bahawa masyarakat sering menambah sesuatu yang tidak diperlukan ketika sambutan hari itu.

“Lagi kemudian, ditambah cosplay tentera jihad, ada yang jadi unta dan sebagainya. Terkini, ditambah pula pada waktu malam dan bertanglung pula. Tahun depan nak tambah apa pula?

“Cukuplah Rasulullah SAW tinggalkan al-Quran dan sunnah untuk kita ikuti. Tak perlu sampai berarak untuk selawat. Nak ingat Rasulullah SAW, korang selawatlah sendiri dan amalkan sunnah yang dituntut dan tinggalkan perkara-perkara dilarang,” ujar Zac.

Sumber: X

Harap Rakyat Malaysia Tak Lakukan Perkara Pelik Ketika Sambut Maulid Nabi

Dalam satu hantaran lain, Zac menjelaskan bahawa perkara sebegini perlu dititiberatkan agar orang ramai tidak melakukan perkara yang aneh untuk menyambut hari tersebut.

Dia turut berkongsi beberapa video yang mendakwa cara penduduk di negara jiran, Indonesia menyambut Maulid Nabi. Kelihatan telur dihiasi sekeliling replika Kaabah manakala wang kertas digantung pada ranting pokok palsu.

“Tengok sendiri cara mereka sambut Maulidur Rasul, siap ada telur berhias bersama dengan replika dan wang,” tambah lelaki itu.


Adakah Sambut Maulidur Rasul Adalah Bidaah?

Menerusi semakan kami di laman Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini berpandangan sambutan Maulidur Rasul adalah harus. Namun ia teramasuk dalam bidaah hasanah dan jika mahu diraikan perlulah dengan beberapa syarat utama, antaranya:

  • Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
  • Menutup aurat.
  • Tiada unsur maksiat.
  • Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun. 
  • Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW
  • Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. 

Sebagai info, terdapat dua jenis bidaah iaitu Bidaah Hasanah (bidaah baik) dan Bidaah Dalalah (bidaah yang sesat). Makna bidaah sebenarnya bermaksud rekaan. Ia merujuk kepada perkara baharu dalam agama yang tidak diamalkan Rasulullah SAW.

Pun begitu sesetengah ulama berpendapat Bidaah Hasanah boleh diamalkan sekiranya ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan selari dengan sunnah Nabi SAW.


Orang Beri Pelbagai Reaksi Lihat Anjuran Perarakan Lampu Berhias Ketika Maulid Nabi

Menjengah ke ruangan balas hantaran Zac, ramai meluahkan rasa bimbang sekiranya Maulidur Rasul disambut dengan cara yang salah pada masa akan datang.

“Lama-lama jadi macam perayaan Halloween untuk kanak-kanak. Generasi 30 tahun lagi jadi makin jauh dari ajaran sebenar al-Quran dan sunnah kalau tak ada yang menegur,” kata seorang individu.

Namun, ada juga yang berpendapat bahawa perarakan lampu atau tanglung itu dilakukan bagi menarik minat kanak-kanak untuk menghidupkan lagi sambutan Maulidur Rasul.

Sementara itu, ramai juga berpendapat adalah lebih baik bagi masyarakat setempat tidak tersasar daripada ajaran al-Quran serta sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Kita tak boleh cakap nak buat juga sebab daripada dulu dah buat. Soalan dia, Rasulullah SAW ada suruh buat tak? Jadi kita ni nak beramal lagi pandai dari Rasulullah SAW? Ikutlah al-Quran dan sunnah, itu yang terbaik,” ujar seorang pengguna X.

Sumber: X (@ZacZakirin13)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd