Now Reading
[Video] Walaupun Sudah Berusia 99 Tahun, Kereta Dipandu Tun Dr Mahathir Cecah 150km/j Di Litar Sepang

[Video] Walaupun Sudah Berusia 99 Tahun, Kereta Dipandu Tun Dr Mahathir Cecah 150km/j Di Litar Sepang

Tun Dr Mahathir telah ditemubual oleh Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, Tan Seri Azman Yahya, mengenai pembinaan litar itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menjadi idola ramai, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dua kali memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia (keempat dan ketujuh).

Tidak dapat dinafikan bahawa banyak sumbangan dibuat oleh tokoh yang digelar Bapa Pemodenan Malaysia itu, termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah, beliau turut membuka Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Mac 1999, sekaligus menyaksikannya sebagai litar lumba kereta Formula One (F1) dunia pertama di Asia Tenggara.


Tun M Sertai Ujian Kecekapan Pemanduan Di DEC SIC

Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Mahathir bin Mohamad, dilihat beliau berada di tempat duduk penumpang dalam kereta yang dipandu oleh Pengerusi SIC, Tan Seri Azman Yahya, di litar tersebut.

Difahamkan Azman ketika itu sedang menjalani ujian kecekapan pemanduan menerusi fasiliti ‘kick plate’ di Pusat Pengalaman Memandu (DEC) SIC.

Walaupun kereta bergoyang dengan agak kuat, Tun M kelihatan tersenyum dan turut bersetuju untuk melalui ujian sama buat kali kedua dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Untuk info, DEC yang dirasmikan pada Jun 2022 itu adalah yang pertama di Asia Tenggara dan merupakan sebahagian daripada pelan SIC.

Sumber gambar: Dr Mahathir bin Mohamad/ Facebook

SIC Dibina Untuk Tarik Pelancong Luar Negara, Hiburkan Rakyat

Dalam satu temubual bersama Azman, bekas Perdana Menteri yang turut mesra dengan panggilan Che Det itu ditanya tentang perkara yang menginspirasikan pembinaan litar itu.

Beliau menjelaskan bahawa negara ketika itu tidak mempunyai banyak tarikan pelancong. Tambahnya, menganjurkan perlumbaan dapat merangsang kedatangan pelancong dari luar negara ke Malaysia.

“Kita juga perlu menghiburkan rakyat. Rakyat ingin menyaksikan sesuatu. Mereka cuma tonton di kaca TV dan mahu melihat perkara yang sebenar,” jelasnya.

Tun M berkata beliau dan bekas Pengerusi SIC, Tan Seri Basir Ismail, kemudian membincangkan idea itu dan beranggapan berbaloi untuk membuat pelaburan tersebut. Ketika itu litar tersebut hanya dibangunakan untuk Formula One sahaja.


“Malaysia Negara Membangun Pertama Bawa F1” – Tun Dr Mahathir

Apabila ditanya sama ada Formula One telah mencapai objektifnya di Malaysia, Tun M membalas beliau tidak menyangka akan terdapat perkara-perkara lain yang akan diperkenalkan di SIC.

“Ia adalah sesuatu yang kita boleh banggakan kerana tidak banyak negara terfikir untuk membawa Formula One. Malaysia ialah negara membangun pertama (yang membawanya),” katannya.

“Malaysia juga mungkin negara kedua di Asia selepas Jepun ketika itu. Tiada negara lain,” tambah Azman.

Tun M turut menjelaskan bahawa lokasi litar dibina di Sepang kerana terdapat tanah kosong ketika itu. Kata beliau, sebanyak 25 ribu ekar tanah telah diperolehi bagi pembinaan KLIA.

Tambahnya, lokasi yang berhampiran lapangan terbang akan memudahkan kedatangan pelancong ke sana.

Menurut Azman, antara perlumbaan yang pernah diadakan di SIC ialah Porsche Carrera Cup Asia, Ferrari Challenge, dan GT World Challenge Asia yang menggemari lokasi itu kerana memudahkan mereka.


Tun M Pecut Lebih 150km/j Di SIC

Apa yang lebih mengejutkan dalam video temubual itu adalah saat Tun M dilihat memecut kereta yang dipandu sehingga 154 km sejam. Bukan calang-calang ya bekas Perdana Menteri kita ini!

Perkara ini mendapat pujian orang ramai memandangkan usianya yang hampir mencecah 100 tahun. Beberapa individu beranggapan beliau boleh ‘speeding’ sehingga 180km/j, malah 250km/j di litar itu.

“Buat rekod dunia pemandu berumur lebih 90 tahun paling laju di dunia,” kata seorang pengguna media sosial.

Sumber gambar: Dr Mahathir bin Mohamad/ Facebook

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd