[Video] Aksi Kucing Nak ‘Bersalin’ Bikin Ribut Satu Office!
Situasi kelam-kabut kerana seekor kucing hendak melahirkan anak dipercayai berlaku di sebuah pejabat kerajaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila seekor ibu kucing mahu melahirkan anak, ia kebiasaannya akan mencari tempat yang tersorok seperti di dalam kotak atau almari untuk mengelak daripada terdedah kepada bahaya.
Namun ada juga kucing peliharaan yang manja dan terus mencari tuannya atau seseorang untuk menjadi teman saat melahirkan bayi.
Siapa sangka inilah yang terjadi baru-baru ini apabila seekor ibu kucing yang hamil masuk ke sebuah pejabat kerajaan.
Pegawai Kerajaan Berebut Tengok Kucing Nak Beranak
Seorang pengguna TikTok, Yaniey, yang dipercayai merupakan Pegawai Tadbir kerajaan, memuat naik video menyaksikan keadaan di pejabatnya ketika seekor ibu kucing hendak melahirkan anak.
Berlatar belakangkan lagu ‘Oggy and the Cockroaches’, suasana di pejabat itu kelihatan sungguh kelam-kabut!
Melihat kepada video tersebut, seekor kucing betina berwarna kelabu sedang berbaring di atas kerusi sebelum diangkat. Ia kemudiannya diletakkan ke dalam kotak yang dilapikkan dengan kertas dan kain.
“Berebut tengok artis ❌ Berebut tengok kucing sakit perut nak beranak 🤣🤣” tulis Yaniey pada video tersebut.
4 Ekor Bayi Kucing Selamat Dilahirkan, Namun Seekor Mati
Menerusi ruangan komen, Yaniey berkata kucing tersebut telah melahirkan empat ekor anak. Namun begitu seekor telah mati meninggalkan tiga si bulus yang comel.
Katanya kesemua anak kucing itu telah dinamakan sebagai Siti 1, Siti 2 dan Siti 3. Senang betul!
Orang ramai turut tertarik dengan keadaan di pejabat tersebut. Ada yang berseloroh bahawa kucing itu pasti berasa tidak tenang untuk melahirkan anak kerana dikelilingi ramai manusia.
Seorang individu menyifatkan keadaan tersebut seperti doktor pelatih dengan pesakitnya ketika di dalam Dewan Bersalin.
Ada juga yang berkata pejabat pasti dibuka sedikit lambat memandangkan semua pegawai menguruskan kucing beranak.
“Ramainya mak angkat dia. Satu office. Semua jadi nenek dah,” seloroh seorang pengguna TikTok.
Lakukan 3 Perkara Ini Sebagai Persediaan Menyambut Kelahiran Bayi Kucing
Kucing yang ingin melahirkan anak kebiasaannya akan menguruskan perkara itu sendiri. Namun, anda boleh juga membantu mereka dengan langkah-langkah berikut:
#1. Sediakan kotak untuk bersalin
Pastikan kotak tersebut cukup besar untuk diduduki oleh si ibu dan anak-anaknya. Lapikkan kotak dengan sesuatu yang dapat menyerap air seperti kain atau tuala.
Kotak boleh diletakkan di ruang yang sunyi, selesa dan tidak terlalu sejuk bagi memastikan keselesaan ibu kucing.
#2. Bantu ibu kucing untuk bertenang
Sebaiknya jangan membuat bising atau melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ibu kucing berasa tertekan sewaktu hendak melahirkan anak. Ini kerana tekanan boleh melambatkan proses bersalin.
#3. Sediakan peralatan yang bersesuaian
Jika tiada sebarang masalah, ibu kucing sepatutnya akan melahirkan anaknya dengan mudah. Namun boleh juga lakukan sedikit persediaan sekiranya berlaku sebarang kesukaran.
Antara perkara yang boleh disediakan ialah:
- Tuala atau kain yang bersih
- Sarung tangan pakai buang
- Flos gigi dan gunting
- Semangkuk air yang bersih
- Tempat letak atau sangkar kucing
- Nombor telefon veterinar
Bawa Ibu Kucing Ke Vet Jika Perlu
Selepas anak kucing dilahirkan, ibu akan membersihkan dan memastikan air ketubannya pecah agar bayi boleh bernafas. Kucing juga akan memutuskan sendiri tali pusat yang bersambung dengan anaknya.
Namun dalam keadaan kucing tidak melakukan kedua-dua perkara ini, anda bolehlah membantu mereka. Gunakan tuala atau kain untuk memecahkan air ketuban.
Bagi tali pusat, ikatkan dengan flos gigi di dua bahagian sebelum memotong di antara kedua ikatan itu.
Jika anda perasan ibu kucing berada dalam kesakitan atau ketidakselesaan selepas melahirkan anak, segera bawa berjumpa vet untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.