‘Soalan’ Firdaus Wong Tentang Non-Muslim Buat Konten Guna Bahasa Melayu Cetus Perdebatan
Difahamkan ‘soalan’ tersebut yang diutarakan Firdaus Wong sebenarnya berkait dengan satu topik yang dikupasnya dalam satu sesi temu bual di YouTube.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui, media sosial merupakan platform yang digunakan oleh masyarakat dunia termasuklah rakyat Malaysia.
Malah anda juga boleh lihat semakin banyak konten atau video yang dimuat naik oleh Mat Saleh tanpa mengira agama seperti influencer Mat Dan, Rhys William dan banyak lagi adalah dalam Bahasa Melayu.
Namun baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila timbul persoalan oleh sesetengah pihak yang bertanya tentang apakah niat sebenar golongan bukan Muslim untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan itu.
Pelik bukan kenapa soalan seperti ini timbul.
Firdaus Wong Persoal Tindakan ‘Non-Muslim’ Guna Bahasa Melayu Ketika Buat Konten
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook apabila pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung bertanya mengapa ramai individu bukan Muslim membuat dan memuat naik konten menggunakan Bahasa Melayu.
Perkongsian itu kemudian mendapat pelbagai reaksi dan mencetuskan perdebatan di kalangan pengguna media sosial.
Ada yang berkata bahawa individu berbangsa Melayu merupakan sasaran kepada konten yang dimuat naik. Ada juga yang berpendapat ia bukan masalah memandangkan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaaan. Justeru ia lebih difahami berbanding bahasa yang lain.
Malah, ada yang bertanya sama ada Bahasa Melayu hanya dikhaskan buat para Muslim sahaja.
Lelaki Tak Bersetuju Dengan Soalan Dilontarkan Firdaus Wong
Dalam satu hantaran lain, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Parthiban Ramachandran tidak bersetuju dengan soalan yang ditimbulkan selain mempertikai niat sebenar Firdaus Wong untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.
Tambah Parthiban Ramachandran, soalan itu adalah tidak wajar untuk ditanya memandangkan rakyat negara ini baru sahaja menyambut Hari Malaysia pada 16 September lalu.
“Adakah perlu untuk tanya soalan itu pada masa ini? Kalau persoalannya adalah, ‘kenapa ramai bukan Melayu buat konten Bahasa Melayu?’ masuk akal sedikit. Tetapi sini dia guna (istilah) Bahasa Melayu dan non-Muslim.
“Mungkin sebab dia ni Cina Muslim (mualaf) takut nanti ada orang yang tanya kenapa dia buat konten dalam Bahasa Melayu,” kata lelaki tersebut.
Dakwa Firdaus Wong Selalu Timbulkan Kontroversi Melibatkan Agama
Bukan itu sahaja, Parthiban Ramachandran turut mendakwa pendakwah bebas tersebut selalu menimbulkan kontroversi dan menyebabkan ketidaktenteraman di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza di negara ini.
“Apa pun, dia selalu suka mencetuskan ketidakharmonian agama dengan kenyataan dan komen kontroversinya. Dia dikenali sebab itu. Dia perlu tahu topik seperti ini tidak wajar dan tidak diperlukan.
“Mungkin ini juga satu teknik bagi dapatkan lebih banyak tontonan untuk ‘kontennya’. Hanya Tuhan yang tahu (niat sebenar Firdaus Wong),” kata pengguna Facebook tersebut.
‘Soalan’ Sebenarnya Mengandungi Link Ke Video YouTube
Semakan kami di hantaran berkenaan mendapati ‘soalan’ tersebut sebenarnya adalah satu topik dalam temu bual Firdaus bersama beberapa orang individu.
Ini boleh dilihat apabila tajuk video tersebut menyamai ‘soalan’ pada hantaran di Facebooknya.
Firdaus Wong Bandingkan Influencer Lain Dengan Apek Cina
Menerusi video YouTube tersebut, pendakwah berkenaan telah membincangkan topik itu dengan lebih lanjut.
“Tak kira dia Muslim atau non-Muslim, dia berbalik kepada niat. Yang mana ia sebenarnya bagus (buat konten dalam Bahasa Kebangsaan). Tetapi kita kena faham, apabila mereka membuat konten dalam Bahasa Melayu, dia berbeza dengan Apek Cina (influncer media sosial Tai Zee How).
“Apek Cina dia buat konten dalam Bahasa Melayu bukan kerana dia nak dapatkan sokongan orang Melayu tetapi dia nak mempromosikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama (di Malaysia),” ujar Firdaus Wong.
Kaitkan Isu Ini Dengan Segelintir Bukan Muslim Yang Menentang Tulisan Jawi
Di dalam video sama, Firdaus turut mengaitkan isu ini dengan segelintir golongan bukan Muslim yang tidak mahu subjek Jawi diajar di sekolah namun boleh menerima perkataan Jawi (status halal) dilabel produk mereka.
“Sebagaimana orang yang menentang Jawi yang diajar di sekolah, tetapi mereka tak ada masalah untuk menggunakan perkataan Jawi di label atau jenama mereka.
“Jadi dari sudut ekonomi (mereka fikir), okay untuk guna Jawi tetapi dalam bidang pendidikan adalah sebaliknya. Jadi kita nampak niat mereka itu apa,” tambah pendakwah tersebut lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram