Filem Thunderbolts* Oleh Marvel Studios Tampilkan Babak Di Malaysia
Babak filem Thunderbolts* di sekitar Malaysia dipercayai dirakam Jun lalu, membabitkan pelakon Florence Pugh yang memainkan watak Yelena Belova.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (23 September), Marvel Studios telah melancarkan trailer filem terbaharu mereka, Thunderbolts*, sekaligus menimbulkan rasa teruja dalam kalangan peminat francais filem Marvel Cinematic Universe (MCU).
Namun apa yang lebih menarik perhatian rakyat Malaysia adalah apabila wujudnya babak yang dirakam di negara ini!
Menerusi video trailer tersebut, pelakon Florence Pugh yang memainkan watak Yelena Belova dapat dilihat berada di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.
Dalam satu babak, penonton dapat melihat Menara HSBC meletup di latar belakang dan papan tanda “Kedai Kopi Kong Hoe” betul-betul di atas Yelena. Malah, papan tanda CIMB Bank juga dapat dilihat sipi-sipi.
Bukan sahaja bangunannya yang membuktikan babak itu dirakam di Kuala Lumpur, tetapi juga orang di sekeliling.
Wanita Melayu bertudung serta individu berbangsa Cina dan India dilihat melarikan diri setelah meletupnya Menara HSBC di belakang. Betul-betul muhibbah!
“Memang confirm Malaysia! Mana lagi boleh nampak perempuan bertudung dengan seorang Cina dan dua lelaki India dalam satu gambar,” kata seorang pengguna media sosial.
CIMB Bank is officially in the MCU pic.twitter.com/yk10URCXzz
— DoktorRezz 🇲🇾 (@doktorrezz) September 23, 2024
Penggambaran Di Malaysia Pada Jun
Menurut CNA, Pugh dilihat terlibat dalam satu penggambaran di Malaysia pada Jun lepas. Malah, kakaknya, Arabella Gibbins telah memuat naik gambar berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas dan menyebut (tag) Pugh di Instagram.
Dalam satu temubual bersama saluran hiburan Amerika Syarikat, Variety, Pugh mengesahkan bahawa dia telah menyertai penggambaran di Malaysia dan “terjun daripada bangunan kedua tertinggi di dunia.”
Untuk info, Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter kini dinobatkan sebagai bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.
Thunderbolts* Filem Terakhir Phase Five MCU
Filem Thunderbolts* tersebut berkisar mengenai kumpulan superhero ‘Thunderbolts’ dalam Marvel Comics. Ia merupakan sambungan bagi karya Marvel sebelum ini termasuk ‘Black Widow’ (2021) dan siri Disney+Â ‘The Falcon And The Winter Soldier’.
Ia mengisahkan tentang ‘kumpulan anti-hero’ yang sebelum ini memegang watak sokongan seperti Yelena, Red Guardian (David Harbour), Ghost (Hannah John-Kamen), Bucky Barnes (Sebastian Stan), U.S. Agent (Wyatt Russell), Sentry (Lewis Pullman), dan Taskmaster (Olga Kurylenko) yang menjalankan misi rahsia bagi kerajaan AS.
Beberapa watak turut membuat kemunculan semula dalam filem ini termasuk Valentina Allegra de Fontaine (Julia Louis-Dreyfus), Bill Foster (Laurence Fishburne) dan Melina Vostokoff (Rachel Weisz).
Timbul spekulasi berkenaan tajuk filem itu memandangkan terdapat tanda bintang (*) di hujungnya. Ini menyebabkan beberapa pihak mempercayai bahawa Thunderbolts hanyalah nama ‘placeholder’.
Thunderbolts* bakal ditayangkan di Malaysia pada Mei 2025 dan akan menjadi filem terakhir bagi Phase Five Marvel Cinematic Universe (MCU).
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.