Dakwaan UPSR Bebanan Pelajar Adalah ‘Fitnah Besar’, Pakar Akademik Harap Ujian Ini Dikembalikan Semula
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata semakin ramai murid hilang minat pada subjek Sains dan Matematik akibat pemansuhan UPSR.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila orang ramai mula mendebatkan tentang cadangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk dikembalikan semula.
Isu ini mula timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan dapatan dari perbincangannya bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Kenyataan itu turut disokong mantan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sekiranya UPSR dan juga PT3 ini diperkenalkan semula.
Beliau berpendapat bahawa ujian tersebut mempunyai nilainya tersendiri dan adalah salah satu komponen terpenting dalam sistem pendidikan Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: Bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid Sokong UPSR & PT3 Dikembalikan Semula
Dakwaan UPSR Beban Kepada Murid Adalah Satu ‘Fitnah’
Fadhlina kemudian mengumumkan yang dua peperiksaan besar tersebut tidak akan dikembalikan dan akan kekal dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Baca Artikel Berkaitan: “Anak Kita Bukan Tikus Makmal” – KPM Kekal Mansuhkan UPSR & PT3, Kata Fadhlina Sidek
Hari ini (24 September), pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pengembalian UPSR sebagai satu beban serta sudah tidak sesuai dengan zaman ini adalah satu ‘fitnah’ yang besar.
Menurut beliau, UPSR telah mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi memenuhi matlamat Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dimulakan pada tahun 1983.
Tambah Prof. Dr Anuar, kewujudan UPSR juga telah diselarikan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang dirumuskan pada tahun 1987.
UPSR 1988 Diperkenalkan Bagi Elak Murid Terbeban Dengan Penilaian Darjah Lima
UPSR dimulakan pada tahun tersebut selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi mengelakkan murid-murid terus tertekan dengan amalan peperiksaan Penilaian Darjah Lima.
“Tujuan UPSR 1988 jelas, hanya sebagai satu ujian pengesanan sahaja. Hanya pada tahun-tahun kemudiannya, datang ‘penunggang-penunggang’ UPSR yang mula menjadikan ia satu peperiksaan.
“Kuatnya mereka ‘menunggang’ UPSR sehingga sampai ke tahap mereka berjaya menjadikan begitu gahnya pengumuman keputusan UPSR sama seperti mana sewaktu mengumumkan keputusan peperiksaan SPM,” kata Prof. Dr. Anuar menerusi perkongsian di Facebook.
Harap UPSR Versi 1988 Dikembalikan Untuk Perkukuh 3M Pelajar
Oleh disebabkan itu, beliau berharap agar UPSR versi 1988 dikembalikan supaya penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira) murid boleh diperkukuhkan lagi.
“Ramai murid yang sedang keciciran 3M. Ramai murid yang semakin hilang minat pada Sains dan Matematik. Saya mahu kita kembalikan keseronokan belajar di sekolah rendah tanpa perlunya peperiksaan.
“Cukuplah sekadar UPSR 1988 yang bersifat ujian pengesanan. Supaya apabila murid melangkah ke tingkatan satu, mereka semua akan berada di garisan kemahiran 3M yang sama.
“Supaya semua murid berpeluang belajar dengan baik di sekolah menengah. Tidaklah ada yang ketinggalan kerana keciciran 3M. Itulah tujuan UPSR 1988,” jelas beliau.
Ramai Anggap UPSR Adalah Peperiksaan Besar
Ulas pakar itu lagi, ramai pihak yang menyalah anggap pendirian untuk mengembalikan UPSR yang mana mereka berfikiran bahawa ujian ini adalah sebuah peperiksaan besar.
“Jadi mereka tidak mahu UPSR dikembalikan. Mereka hanya nampak dan faham versi UPSR yang telah dirosakkan oleh ‘penunggang’ UPSR.
“Mereka tidak mampu melihat kemurnian UPSR versi 1988. Mereka tidak faham mengapa UPSR versi asal telah dimulakan 35 tahun lalu,” tegas Anuar Ahmad di akhir perkongsian.
Anak Bukan Tikus Makmal – Fadhlina Sidek
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika ini akan kekal dengan keputusan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.
“Anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada.
“Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” ujar Fadhlina Sidek.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram