Pernah Dimiliki Oleh Jho Low, Karya Rothko Ini Akan Dilelong Di Sotheby’s Hong Kong
Bidaan karya ‘Untitled (Yellow and Blue)’ oleh pelukis, Mark Rothko, akan dilakukan di jualan perasmian Sotheby’s di Hong Kong pada November ini dengan anggaran pra-jualan antara RM126 juta hingga RM189 juta.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi sesetengah jutawan, karya seni menjadi salah satu simbol yang dapat menunjukkan kekayaan mereka.
Para peminat seni pasti mengenali ‘art collector’ yang terkaya di dunia termasuk Francois Pinault dan Bernard Arnault yang mengumpul karya-karya seni oleh Andy Warhol, Damien Hirst, Jean-Michel Basquiat Pablo Picasso, Takashi Murakami serta banyak lagi.
Namun siapa sangka apabila satu karya seni terkenal (dan mahal) turut pernah dimiliki oleh seorang individu yang ‘wanted’ di Malaysia.
Untitled (Yellow and Blue) Oleh Mark Rothko Akan Dilelong Di Sotheby’s Hong Kong
Bertajuk ‘Untitled (Yellow and Blue)’ (c. 1954), sebuah lukisan berwarna kuning dan biru oleh pelukis Mark Rothko akan membuat kemunculan di lelongan karya seni kontemporari di Sotheby’s Maison, Hong Kong pada 8 November 2024.
Ia merupakan satu saat yang sangat jarang berlaku apabila karya oleh pelukis abstrak ekspresionis itu ditawarkan di lelongan seni di Asia.
Berukuran kira-kira 8 kaki tinggi dan 6 kaki lebar, karya yang menyerupai bendera Ukrain yang diterbalikkan itu menjadi lukisan minyak Rothko pertama dilelong di Asia, dengan anggaran pra-jualan antara $30 juta hingga $45 juta (RM126 juta hingga RM189 juta).
Pada tahun 2015, Untitled (Yellow and Blue) telah dijual pada harga $46.5 juta (RM195.4 juta) di Sotheby’s, New York. Harganya kini dianggarkan antara $40 juta hingga $60 juta (RM168 juta hingga RM252 juta).
Untitled (Yellow and Blue) Dibeli Jho Low Pada 2013
Kini berusia sekitar 70 tahun, karya oleh pelukis abstrak ekspresionis tersebut mempunyai sejarah pemilikan yang menakjubkan.
Ia pertama kali diperolehi oleh dermawan Amerika, Paul and Bunny Mellon, sekitar tahun 1970 atau 1971 sejurus selepas kematian Rothko yang mengambil nyawanya sendiri.
Ia kemudiannya dijual kepada pemilik Christie’s, Francois Pinault, yang merupakan seorang jutawan Perancis.
Info ini pasti menarik minat ramai rakyat Malaysia apabila karya Rothko itu pernah diperolehi oleh pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low pada tahun 2013.
Jho Low Cagarkan Untitled (Yellow and Blue) Untuk Pinjaman
Untitled (Yellow and Blue) kemudiannya dijual oleh Sotheby’s pada tahun 2015 apabila digunakan sebagai cagaran oleh Low untuk membuat pinjaman dan menjadi milik seorang jutawan Azerbaijan-Rusia, Farhad Akhmedow.
Menurut Artnet, lukisan itu merupakan sebuah karya yang ‘vibrant and striking’ dan pernah dipamerkan di galeri-galeri berprestij di seluruh dunia.
Perjalanan lukisan berkenaan dari dimiliki oleh Low ke lelongan seni menjadi bukti peristiwa yang menyelubungi skandal 1MDB.
Pelarian itu juga pernah memiliki karya seni lain oleh Pablo Picasso, Jean-Michel Basquiat, Diane Arbus, Monet dan Van Gogh yang kemudiannya telah diserahkan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada persetujuan penyelesaian bersama Jabatan Kehakiman AS.
Untuk info, Low telah didakwa oleh kerajaan Malaysia kerana menggelapkan berbilion dolar daripada dana pembangunan 1MDB, dan menggunakannya bagi membeli aset mewah, termasuklah lukisan Rothko tersebut.
Untitled (Yellow and Blue) Gubahan Ringkas Rothko
Merujuk kepada markrothko.org, karya Untitled (Yellow and Blue) merupakan salah satu daripada “gubahannya yang ringkas”.
Sekali pandang, karya dengan blok berwarna kuning dan biru itu kelihatan seperti boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja. Namun apa yang menarik perhatian adalah dimensinya yang tinggi lebih dua meter.
Saiznya yang besar merupakan elemen penting bagi keinginan pelukis untuk menimbulkan rasa terkejut dan teruja dalam kalangan penonton. Ini kerana kanvas akan terkeluar daripada penglihatan sisi (peripheral vision), sekaligus ‘menarik’ mereka masuk ke dalam dunia warna.
Rotkho merupakan seorang pelukis penting di AS dalam gerakan abstrak ekspresionisme. Dia telah berpindah ke AS sewaktu kecil selepas dilahirkan di Rusia pada 1903.
Karyawan itu terkenal dengan lukisannya yang petak, berwarna-warni dan bersaiz besar, hingga sering kali menimbulkan tindak balas emosi yang kuat.
Karya-karyanya boleh dikenal pasti daripada warna-warna segi empat tepat yang terapung dan mempunyai ‘soft-edge’, serta seolah-olah bergabung bersama.
Sering kali dikaitkan dengan tema tragedi, kehilangan dan keadaan manusia, Rothko percaya hasil seninya harus membangkitkan pengalaman yang kontemplatif dan meditatif dalam penonton.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.