Now Reading
Uyaina Kongsi Pengalaman Individu Kena Gangguan Seksual, Seawal 4 & 5 Tahun

Uyaina Kongsi Pengalaman Individu Kena Gangguan Seksual, Seawal 4 & 5 Tahun

Terdapat mangsa yang telah mengalami gangguan seksual seawal usia 4, 5 tahun dan tidak mengetahui bahawa ia adalah suatu perkara yang salah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, isu pedofilia menjadi salah satu perbincangan hangat di sosial media ekoran kes pemandu bas yang menghasilkan ‘content’ tidak bersesuaian dengan murid-murid sekolah.

Sehubungan itu, banyak pihak berusaha untuk berkongsi kesedaran tentang ‘child grooming’, pedofilia serta gangguan seksual dan sentuhan tidak selamat terhadap kanak-kanak.

AMARAN: Artikel ini mengandungi penceritaan tentang gangguan seksual.


11 Individu Kongsi Pengalaman Gangguan Seksual

Baru-baru ini pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, telah menerima maklum balas menerusi ‘NGL’ di Instagram Story daripada sekitar 11 orang individu yang berkongsi tentang pengalaman diganggu secara seksual.

Menurutnya, kesemua maklum balas itu diterima oleh orang yang tidak dikenali. Apa yang dikongsikan olehnya hanyalah sebahagian daripada NGL yang diterima.

Lebih meruntun jiwa apabila mereka melalui pengalaman hitam itu seawal usia 4, 5 tahun. Ketika itu kebanyakan mereka masih belum memahami tentang sentuhan tidak selamat dan tidak menganggap ia sebagai suatu perkara yang salah.

Walaupun perkara itu telah terjadi bertahun-tahun lamanya, mereka masih tidak boleh melupakan insiden tersebut.

Ada yang sehingga mengalami mimpi buruk kerana teringatkan gangguan seksual yang dihadapi. Malah, ada juga yang mengalami isu kesihatan mental.


Semua Mangsa Diganggu Oleh Orang Yang Dikenali

Apa yang lebih menyedihkan lagi adalah kesemua mangsa memaklumkan bahawa mereka diganggu oleh individu yang dikenali, termasuklah ahli keluarga dan guru sendiri.

Beberapa individu berkata bahawa mereka pernah memaklumkan kepada ibu tentang gangguan seksual yang dialami, namun tiada tindakan diambil dan isu itu cuba ditutup begitu sahaja.

Uyaina menekankan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang gangguan seksual. Tambahnya lagi, anak-anak juga perlu diajar sejak kecil tentang sentuhan selamat dan tidak selamat.

“Dalam kita berdoa supaya anak-anak kita dilindungi, jangan lupa untuk berdoa juga semoga keturunan kita tidak menjadi manusia yang memudaratkan orang & hidupan lain,” tambahnya.


Uyaina Tak Serik Bawa Isu Gangguan Seksual Ke Hadapan

Dalam satu laporan media, Uyaina menjelaskan bahawa dia tidak akan pernah serik untuk bersuara tentang isu gangguan seksual walaupun menerima sebarang kecaman.

“Saya tidak serik untuk bersuara. Sama ada kecaman, makian, kritikan atau kutukan, saya terima. Alhamdulillah bagi saya, inilah cabaran untuk memberi pendidikan kepada umum,” katanya dipetik Malaysia Kini.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang, dia berkata isu ini hanya memerlukan logik akal.

“Lagipun, isu dibangkitkan terkait akta sudah diciptakan, bukan saya buat sendiri. Apa dilakukan (tindakan) itu menurut akta tersebut adalah salah, jadi siapa saya untuk cakap sesuka hati?” katanya.


Ibu Bapa Perlu Ajar Anak Tentang Jenis-Jenis Sentuhan

Seperti yang dikongsikan oleh hampir kesemua mangsa di atas, mereka tidak mengetahui bahawa gangguan seksual yang dihadapi adalah sesuatu yang salah.

Oleh itu, penting agar ibu bapa menegaskan tentang zon tubuh yang tidak sepatutnya disentuh oleh orang lain iaitu:

  • Mulut
  • Dada
  • Bahagian kemaluan
  • Kawasan antara peha
  • Punggung
Sumber: Berita RTM

Di samping itu, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak tentang jenis-jenis sentuhan pada usia seawal mungkin. Terdapat tiga jenis sentuhan seperti berikut:

Sentuhan selamat

  • Termasuk memeluk, menepuk di belakang dan merangkul bahu.
  • Sentuhan berkaitan kesihatan yang dilakukan oleh petugas kesihatan, namun lebih elok sekiranya ibu bapa menemani anak.

Sentuhan tidak selamat

  • Sentuhan yang menyakiti tubuh seperti menolak, memukul, mencubit dan menendang.
  • Termasuk juga sentuhan dengan niat buruk pada bahagian privasi seperti dada, alat sulit dan leher.
  • Terangkan kepada anak bahawa sentuhan ini adalah bersifat negatif dengan tujuan untuk menyakitinya.
  • Ingatkan anak agar melaporkan sebarang sentuhan tidak selamat kepada ibu bapa atau orang yang dipercayai.

Sentuhan yang tidak diingini

  • Ini mungkin sentuhan selamat, namun tidak diingini oleh anak.
  • Tidak mengapa jika anak mengatakan tidak pada sentuhan ini walaupun bersalaman atau memeluk.
  • Jangan dipaksa kerana ia dapat menetapkan sempadan peribadi mereka.

Ibu bapa juga diingatkan agar mengambil tindakan sekiranya anak-anak menceritakan mereka diganggu secara seksual.

Jangan anggap anak-anak akan melupakan perkara ini kerana masih kecil, sebaliknya ia akan memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan mental mereka.

Baca Artikel Berkaitan: “Ibu Bapa Perlu Tahu Batas Sentuhan Dengan Anak-Anak Semasa Bergurau” – Jurulatih Parenting

Baca Artikel Berkaitan: “Terdedah Konten Seksual” – Pakar Anggap Telefon Bukan Satu Keperluan Untuk Pelajar Sekolah

Baca Artikel Berkaitan: Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa Jika Gagal Lapor Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd